Ulser Perut – Punca, Tanda dan Rawatan

Ulser perut berlaku apabila lapisan mukus yang melindungi lapisan dalaman perut daripada cecair asid pencernaan semakin berkurang.

Ulser perut juga dikenali sebagai ulser gastrik atau penyakit gastrik. Ianya merupakan luka pada bahagian lapisan dalaman perut. Ulser perut merupakan sebahagian daripada penyakit ulser peptik. Ulser peptik bermaksud ulser yang berlaku pada kedua-dua lapisan dalaman perut dan usus kecil.

Ulser perut berlaku apabila lapisan mukus yang melindungi lapisan dalaman perut daripada cecair pencernaan semakin berkurang. Ini akan menyebabkan asid dalam perut yang membantu proses pencernaan akan memusnahkan lapisan dalaman perut lalu menyebabkan ulser.

Ulser perut boleh disembuhkan tetapi mampu menyebabkan komplikasi berbahaya jika tidak dirawat dengan segera.

Ulser pada lapisan dalaman perut.

Punca ulser perut

Ulser perut oleh terjadi disebabkan perkara berikut:

  • Jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H. pylori)
  • Penggunaan ubat nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs), seperti aspirin, ibuprofen, atau naproxen

Selain itu, penyakit sindrom Zollinger-Ellison juga boleh menyebabkan ulser perut dan usus dengan meningkatkan penghasilan asid oleh badan. Kurang dari 1 peratus masalah ulser peptik adalah disebabkan oleh penyakit ini.

Tanda-tanda dan gejala

Terdapat beberapa tanda dan gejala yang dikaitkan dengan ulser perut. Gejala ini bergantung kepada tahap keterukan ulser tersebut.

Gejala yang paling kerap berlaku adalah rasa sakit atau seperti terbakar di bahagian ulu hati atau tengah abdomen diantara dada dan pusat. Kesakitan ini akan semakin teruk jika perut kosong dan boleh berlaku selama beberapa minit sehingga beberapa jam.

Antara gejala-gejala lain pula adalah:

  • Sakit perut
  • Berat badan berkurang
  • Kurang selera makan kerana sakit
  • Mual dan muntah
  • Perut kembung
  • Cepat kenyang
  • Kerap sendawa atau asid refluks
  • Sakit ulu hati seperti terbakar
  • Sakit yang berkurang selepas makan, minum atau mengambil ubat antasid
  • Anemia yang boleh menyebabkan keletihan, sesak nafas dan pucat
  • Najis berwarna hitam dan melekit
  • Muntah darah atau berwarna coklat gelap

Dapatkan rawatan segera jika anda mempunya gejala-gejala seperti di atas. Walaupun gejala tersebut adalah ringan, namun ianya boleh menjadi semakin teruk jika tidak dirawat. Pendarahan daripada ulser perut boleh membahayakan nyawa.

Pengesanan ulser perut

Pengesanan dan rawatan ulser perut bergantung kepada gejala dan tahap keterukan. Untuk mengesan ulser perut, doktor akan mengambil sejarah perubatan termasuk gejala-gejala yang berlaku serta jika anda ada mengambil ubat-ubatan terutamanya ubat penahan sakit.

Untuk mengesan jangkitan H. pylori, ujian darah, najis atau pernafasan mungkin diperlukan. Untuk ujian pernafasan, anda perlu meminum sejenis cecair dan bernafas di dalam beg khas. Jika terdapat jangkitan H. pylori, paras karbon dioksida dalam sampel pernafasan tersebut akan meningkat.

Ujian dan prosedur lain yang boleh dijalankan termasuklah:

  • Menelan barium: Anda perlu meminum sejenis cecair putih iaitu barium yang akan melapisi lapisan salur pencernaan untuk membantu doktor melihat perut dan usus kecil dengan lebih jelas pada x-ray.
  • Endoskopi: Tiub yang kecil dan mempunyai kamera pada hujungnya akan dimasukkan melalui rongga mulut sehingga ke perut dan usus kecil bagi melihat jika terdapat ulser, pendarahan, atau penyakit yang lain.
  • Biopsi perut: Ketika endoskopi dilakukan, doktor boleh mengambil sampel dalaman perut untuk diuji di makmal.

Rawatan ulser perut

Rawatan bergantung kepada punca ulser seseorang pesakit. Kebanyakan ulser boleh dirawat menggunakan ubat namun dalam kes tertentu, pembedahan mungkin diperlukan.

Adalah penting untuk merawat masalah ulser ini. Bincang dengan doktor berkenaan rawatan yang paling sesuai. Jika ulser tersebut sedang berdarah, anda perlu dimasukkaan ke wad untuk rawatan lanjut menggunakan endoskopi dan ubat intravena. Anda juga berkemungkinan memerlukan pemindahan darah.

Ubat-ubatan

Jika ulser perut adalah disebabkan oleh H. pylori, anda akan diberikan ubaat antibiotik dan ubat proton pump inhibitors (PPIs). Ubat PPIs membantu mengurangkan penghasilan asid di dalam perut.

Selain itu, doktor juga mungkin memberikan rawatan berikut:

  • Penghalang reseptor H2 (ubat yang mengurangkan penghasilan asid)
  • Menghentikan penggunaan semua NSAIDs
  • Melakukan endoskopi
  • Probiotik (membantu membunuh H. pylori)
  • Suplemen bismuth

Gejala ulser mungkin akan berkurang dengan cepat setelah menerima rawatan namun pesakit masih perlu mengambil ubat seperti yang diarahkan oleh doktor terutamanya antibiotik supaya semua bakteria dapat dihapuskan.

Antara kesan sampingan ubat-ubatan yang diberikan termasuklah:

  • Mual
  • Muntah
  • Sakit kepala
  • Cirit-birit
  • Sakit perut

Kesan sampingan ini hanyalah sementara namun jika anda tidak tahan, sila beritahu doktor anda untuk menukar ubat yang lain.

Pembedahan

Kadangkala, masalah ulser perut memerlukan pembedahan. Pembedahan selalunya diperlukan dalam keadaan berikut:

  • Kes yang berulang
  • Tidak sembuh
  • Berdarah
  • Kebocoran pada perut
  • Menyebabkan saluran pencernaan tersumbat

Antara pembedahan yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Membuang kawasan ulser
  • Mengambil tisu daripada kawasan usus yang lain dan ditampal di kawasan ulser
  • Mengikat kawasan pendarahan
  • Memotong saraf pada perut bagi mengurangkan penghasilan asid

Perubahan diet

Ramai yang menyangka ulser perut adalah disebabkan oleh pemakanan, namun ianya adalah tidak benar. Walaubagaimanapun pemakanan yang sihat dapat membantu mencegah terjadinya ulser perut.

Secara umumnya, makan makanan yang mengandungi banyak buah-buahan, sayur-sayuran serta fiber.

Terdapat juga pemakanan yang dikatakan boleh membantu menyingkirkan H. pylori. Antara makanan ini termasuklah:

  • Brokoli, kobis, kobis bunga dan lobak
  • Sayuran hijau seperti sawi dan kangkung
  • Makanan yan kaya probiotik seperti sauerkraut, miso, kombucha, yogurt (terutamanya dengan lactobacillus dan Sacharomyces)
  • Epal
  • Buah blueberry, raspberry, strawberry, dan blackberry
  • Minyak zaitun

Selain itu, elakkan juga makanan yang berasid seperti makanan pedas atau masam ketika sedang menerima rawatan ulser.

Rawatan di rumah

Selain mengamalkan pemakanan sihat, perkara berikut juga boleh dilakukan untuk membantu melawan bakteria H. pylori iaitu bakteria yang menjadi punca ulser. Walaubagaimanapun rawatan di rumah ini bukanlah untuk menggantikan rawatan perubatan yang diberikan oleh doktor dan ianya mestilah diteruskan.

Antara perkara yang anda boleh ambil di rumah termasuklah:

  • Probiotik
  • Madu
  • Glutamin (sumbernya adalah dari ayam, ikan, telur, bayam dan kobis)

Tanya juga doktor anda berkenaan tips-tips lain yang boleh membantu mengurangkan kesakitan ulser ketika di rumah.

Bila perlu berjumpa doktor

Jika anda mumpunyai gejala-gejala ulser, jumpa doktor dengan segera. Bincang dengan doktor berkenaan gejala dan rawatan yang sesuai.

Adalah penting untuk mendapatkan rawatan segera kerana jika dibiarkan, ulser perut boleh menyebabkan komplikasi seperti berikut:

  • Pendarahan ulser yang boleh membahayakan nyawa
  • Kebocoran pada perut apabila ulser menjadi terlalu dalam dan menyebabkannya tembus ke ruangan abdomen
  • Kerosakan organ lain seperti pankreas apabila ulser yang terjadi pada perut tembus ke pankreas
  • Saluran pencernaan tersumbat disebabkan keradangan tisu atau lapisan dalam perut yang membengkak
  • Kanser perut, selalunya kanser perut jenis bukan kardia
Komplikasi kebocoran pada perut.

Antara gejala komplikasi-komplikasi di atas termasuklah:

  • Badan letih
  • Sesak nafas
  • Muntah darah atau berwarna coklat gelap
  • Najis berwarna hitam pekat
  • Sakit yang keterlaluan pada abdomen dan tidak berkurang

Dapatkan rawatan segera jika anda mempunyai gejala ini.

Pencegahan ulser perut

Untuk mencegah jangkitan bakteria yang menyebabkan ulser, basuh tangan anda menggunakan sabun dan air dengan kerap. Pastikan juga kebersihan makanan dan ianya dimasak.

Untuk mencegah ulser yang disebabkan NSAIDs pula, hentikan penggunaan ubat ini jika boleh atau kurangkan penggunaannya apabila betul-betul perlu sahaja. Jika anda perlu mengambil ubat ini, pastikan dos adalah betul dan jangan ambil bersekali dengan alkohol. Pastikan juga anda mengambil ubat ini bersama makanan dan minuman dan bukan ketika perut kosong.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.