Ubat Sakit Tekak Yang Berkesan dan Selamat

Beberapa produk dari farmasi atau di rumah boleh membantu anda dalam mengurangkan keradangan dan kesakitan pada kawasan tekak.

Sakit tekak selalunya akan sembuh dalam masa beberapa hari walaupun tanpa rawatan. Punca sakit tekak selalunya disebabkan oleh jangkitan virus, jadi ubat antibiotik tidak diperlukan.

Walaubagaimanapun banyak cara yang boleh dilakukan bagi melegakan sakit tekak. Beberapa produk dari farmasi atau di rumah boleh membantu anda dalam mengurangkan keradangan dan kesakitan pada kawasan tekak.

Antibiotik

Kebanyakan sakit tekak tidak memerlukan ubat antibiotik kerana berpunca dari jangkitan virus. Ini kerana ubat antibiotik tidak akan memberikan kesan terhadap virus tetapi boleh membunuh kuman-kuman yang lain seperti bakteria.

Jika doktor mengesyaki punca sakit tekak adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria seperti jangkitan streptokokal kumpulan A, ubat antibiotik akan diberikan. Walaubagaimanapun kadangkala doktor tidak memberikan ubat antibiotik walaupun sakit tekak adalah disebabkan oleh bakteria atas sebab-sebab tertentu seperti alahan atau kesan sampingan.

Antara kesan sampingan ubat antibiotik termasuklah mual, cirit-birit, sakit kepala dan ruam.

Jika anda diberikan antibiotik, pastikan anda mengambilnya sehingga habis mengikut nasihat doktor atau ahli farmasi walaupun semua gejala telah hilang. Kegagalan menghabiskan ubat antibiotik boleh menyebabkan jangkitan kembali semula dengan lebih teruk. Ini kerana kerintangan ubat boleh berlaku di mana bakteria akan menjadi kebal terhadap antibiotik tersebut.

Ubat tahan sakit

Ubat tahan sakit seperti Panadol (paracetamol) juga boleh diambil bagi mengurangkan gejala sakit tekak. Ubat ini juga boleh membantu menurunkan suhu badan akibat demam. Terdapat juga ubat selsema yang telah dicampurkan dengan paracetamol, dapatkan nasihat ahli farmasi bagi mengelakkan anda mengambil paracetamol secara berlebihan terutamanya untuk kanak-kanak.

Ubat NSAIDs (Non-steroidal anti-inflammatory drugs) seperti ibuprofen boleh digunakan tetapi perlu lebih berhati-hati terutamanya kepada pesakit gastrik, asma, dan mereka yang mengalami masalah pencernaan kerana NSAIDs boleh mencetuskan gejala-gejala penyakit ini.

Aspirin juga boleh melegakan sakit tekak dan demam tetapi boleh menyebabkan sakit perut. Terdapat juga orang yang sensitif dengan aspirin. Ubat Aspirin tidak boleh digunakan bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun kerana boleh menyebabkan komplikasi sindrom Reye yang berbahaya.

Ubat lozenge, spray dan cecair

Ubat lozenge yang seakan gula-gula, spray dan ubat kumur juga boleh didapati dari farmasi. Ubat ini selalunya memberikan kesan berikut:

  • Antiseptik
  • Antibakteria
  • Penahan sakit
  • Anti-keradangan
  • Bius setempat

Ada juga ubat yang mengandungi kombinasi kesan-kesan di atas.

Namun terdapat ubat-ubat ini yang tidak sesuai untuk sesetengah orang seperti terdapat ubat antiseptik yang tidak boleh diambil oleh wanita mengandung. Sila semak dahulu dengan doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil mana-mana ubat di atas bagi memastikan ianya sesuai dengan anda tanpa sebarang kesan sampingan yang berbahaya.

Ubat bius setempat pula boleh memberikan rasa kebas pada bahagian dalam mulut dan tekak, jadi apabila mengambil ubat ini pastikan anda tidak mengambil makanan atau minuman yang terlalu panas kerana boleh menyebabkan melecur.

Selain itu bagi ubat lozenge dan sirap pula, kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan pereputan gigi, terutamanya kepada kanak-kanak. Lozenge tidak digalakkan untuk diambil oleh kanak-kanak di bawah umur 4 tahun kerana risiko tercekik.

Contoh ubat jenis lozenge

Rawatan sendiri

Anda juga boleh mencuba rawatan sendiri di bawah bagi melegakan sakit tekak:

  • Berkumur dengan air garam
  • Mengemam air batu
  • Meminum air suam yang dicampur madu dan lemon
  • Tidak banyak bercakap atau merehatkan peti suara
  • Dapatkan rehat dan tidur yang cukup

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.