Tonsil Bengkak (Tonsillitis) – Simptom dan Punca

Tanda-tanda tonsillitis termasuklah tonsil yang bengkak, sakit tekak, susah menelan dan juga kelenjar limfatik membesar di bahagian leher.

Tonsil bengkak ataupun dikenali sebagai tonsillitis merupakan sejenis keradangan pada tonsil. Tonsil merupakan sekumpulan tisu berbentuk bujur yang terletak pada kedua-dua belah dinding tepi bahagian belakang tekak.

Tanda-tanda tonsillitis termasuklah tonsil yang bengkak, sakit tekak, susah menelan dan juga kelenjar limfatik membesar di bahagian leher.

Kebanyakan kes tonsillitis adalah disebabkan jangkitan virus, tetapi ianya juga boleh disebabkan jangkitan bakteria.

Rawatan untuk tonsillitis bergantung kepada puncanya, jadi amat penting untuk mendapatkan diagnosis yang tepat. Pembedahan untuk membuang tonsil pada masa kini hanya dilakukan apabila terdapat jangkitan berulang, tidak berkesan terhadap ubat atau jika ianya menyebabkan komplikasi merbahaya.

tonsil bengkak tonsillitis
Tonsil yang bengkak dengan selaput keputihan

Tanda-tanda dan simptom

Tonsillitis biasanya menyerang kanak-kanak dalam dalam lingkungan umur tadika sehingga pertengahan remaja. Tanda-tanda dan simptom tonsillitis termasuklah:

  • Tonsil bengkak dan merah
  • Terdapat selaput atau tompokan putih pada tonsil
  • Sakit tekak
  • Susah menelan atau sakit ketika menelan
  • Demam
  • Kelenjar limfatik membesar di bahagian leher luar (rasa seperti biji)
  • Tekak terasa gatal
  • Suara garau
  • Nafas berbau
  • Sakit perut, selalunya pada kanak-kanak
  • Sakit leher
  • Sakit kepala

Untuk kanak-kanak kecil yang belum pandai bercakap, tanda-tandanya termasuklah:

  • Air liur meleleh atau sakit ketika menelan
  • Tidak mahu makan
  • Kerap menangis dan gelisah

Bila perlu berjumpa doktor

Adalah penting untuk berjumpa doktor jika tonsil anak anda kelihatan membesar atau mempunyai tanda-tanda di atas untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat.

Bawa ke klinik biasa dalam masa 24 ke 48 jam jika anak anda:

  • Sakit tekak yang tidak hilang dalam masa 24-48 jam
  • Susah menelan atau sakit ketika menelan
  • Nampak lemah, lesu atau gelisah

Dapatkan rawatan kecemasan segera jika anak anda:

  • Susah bernafas
  • Langsung tidak boleh menelan
  • Air liur meleleh dengan banyak

Punca

Tonsillitis selalunya disebabkan oleh virus biasa, tetapi boleh juga disebabkan jangkitan bakteria.

Bakteria yang boleh menyebabkan tonsillitis termasuklah Streptococcus pyogenes (streptococcus kumpulan A). Streptococcus kumpulan lain juga boleh menyebabkan tonsillitis.

Kenapa tonsil mendapat jangkitan?

Tonsil merupakan lapisan pertama sistem imuniti badan bagi melawan jangkitan bakteria dan virus yang masuk melalui mulut. Jadi jangkitan ini akan cuba dimusnahkan oleh tisu tonsil dahulu. Bagaimanapun fungsi ini akan berkurangan selepas akil baligh, oleh sebab itu jarang orang dewasa mendapat tonsillitis.

Faktor risiko

Antara faktor yang meningkatkan risiko mendapat tonsillitis termasuklah:

  • Umur yang muda. Tonsillitis banyak berlaku pada kanak-kanak tetapi jarang jika berumur kurang dari 2 tahun. Tonsillitis yang disebabkan bakteria selalunya berlaku pada umur 5 hingga 15 tahun dan disebabkan virus pula pada kanak-kanak yang lebih muda.
  • Selalu terdedah kepada kuman. Kanak-kanak di sekolah atau tadika lebih terdedah kepada kuman melalui sentuhan atau aktiviti bersama rakan.

Komplikasi

Keradangan dan bengkak pada tonsil yang berulang atau berterusan (kronik) boleh menyebabkan komplikasi seperti:

  • Susah bernafas
  • Pernafasan terganggu ketika tidur (apnea tidur tersumbat)
  • Jangkitan yang boleh menular dari tonsil ke kawasan sekitar (selulitis tonsillar)
  • Jangkitan yang boleh menyebabkan pengumpulan nanah (abscess peritonsillar)

Jangkitan streptococcus

Jika tonsillitis yang disebabkan oleh jangkitan bakteria streptococcus kumpulan A atau streptococcus yang lain tidak dirawat, ataupun antibiotik tidak dihabiskan, anak anda mungkin mendapat komplikasi berikut:

  • Demam rheumatik, iaitu keradangan sistemik yang melibatkan jantung, sendi dan tisu badan yang lain
  • Gromerulonephritis post-streptococcal, iaitu keradangan pada buah pinggang yang menyebabkan masalah pembuangan bahan kumuh dan air dari badan.

Pencegahan

Kuman yang menyebabkan jangkitan virus dan bakteria pada tonsil boleh menjangkiti orang lain. Pencegahan terbaik adalah dengan mengamalkan aspek kebersihan. Ajar anak anda untuk:

  • Membasuh tangan dengan betul dan kerap, terutamanya selepas menggunakan tandas dan sebelum makan.
  • Elakkan berkongsi makanan, dan peralatan makan seperti gelas, botol air, dan sudu
  • Gantikan berus gigi yang baru apabila mendapat jangkitan tonsillitis

Untuk mengelakkan anak anda menyebarkan jangkitan tonsillitis kepada orang lain:

  • Elakkan anak anda keluar rumah ketika sedang sakit atau menerima rawatan
  • Dapatkan nasihat doktor bilakah boleh kembali ke sekolah
  • Ajar anak anda untuk batuk atau bersin ke dalam tisu atau ke arah siku (etika batuk dan bersin)
  • Ajar anak anda untuk membasuh tangan selepas batuk atau bersin

Bacaan lanjut berkenaan tonsil bengkak (tonsillitis):

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.