Tips Memupuk Tabiat Membaca Di Kalangan Kanak-kanak

Bila mengajar anak membaca pastikan anda tidak menggunakan paksaan atau ugutan. Paksaan atau ugutan hanya akan membuatkan mereka benci.

Jadikan Membaca Aktiviti Yang Paling Menyeronokkan (peringkat bayi hingga 6 tahun)

Apa sahaja aktiviti yang kita lakukan bersama anak ternyata elemen kegembiraan serta keseronokan perlu diadakan. Keseronokan membaca digabungkan dengan satu program yang sistematik dan konsisten akan menentukan anak anda bukan sahaja suka membaca tetapi dapat membaca dengan baik.

Bila mengajar anak membaca pastikan anda tidak menggunakan paksaan atau ugutan. Paksaan atau ugutan hanya akan membuat ia benci. Dengan itu ibu bapa seharusnya mencari cara yang kreatif untuk melaksanakan program bacaan.

Kreatifnya dari segi penyampaian mahupun bahan yang digunakan (buku, kad perkataan dan lain-lain). Ini bermakna tidak semestinya pengunaan kad terikat kepada cara menunjukkan kad itu kepada anak, dengan anak duduk di hadapan kita, memberi tumpuan.

Definasi membaca harus difahami. Membaca adalah kemampuan mengenal perkataan dan mengenal ertinya. Membaca adalah dengan mata bukan dengan mulut. “Flash” bererti sekejap, sekelip mata dan memadai anak memberi tumpuan, ‘sekelip mata’ untuk ia menerima imej perkataan tersebut.

Ini bererti, jika anak yang sedang berlari-lari dipanggil dan ditunjukkan kad, memadailah jika ia memandang kad dan terus berlari. Jika anda konsisten begini (sentiasa menunjukkan kad walau 1 hari) anda pasti akan melihat hasil yang membanggakan.

Ingat, kemajuan walau sekecil manapun adalah kejayaan bagi anak dan haruslah diberi pujian. Anak tidak perlu menyebut perkataan untuk dapat membaca.

Program-program yang kita laksanakan haruslah menyeronokkan untuk anak dan juga ibu. Jika ibu terasa tertekan atau tidak seronok tentu anak juga berasa begitu dan ibu harus menilai di mana kelemahannya.

Untuk memastikan program bacaan menjadi menarik, ibu-ibu perlu berusaha mencari idea yang kreatif serta mengambil masa dalam penyediaannya.

MAIN “TREASURE HUNT”

Permainan “Treasure Hunt” boleh digunakan sebagai aktiviti pengukuhan bacaan dan sekaligus aktiviti penyelesaian masalah. Ia boleh digunakan untuk bayi yang sudah diajar banyak perkataan serta anak yang sudah boleh membaca “Treasure Hunt” Versi I (untuk bayi dan anak yang baru dalam program bacaan). Perkataan-perkataan yang digunakan mestilah perkataan yang telah ditunjukkan sebelum ini seperti: dapur, bilik tidur, bawah, atas, belakang, kerusi, katil dan lain-lain.

Pertama, anda nyatakan bahawa anda telah sorokkan sesuatu dalam rumah – surprise! tetapi di mana letaknya, anak harus cari. Tunjukkan kepada anak-anak kad-kad perkataan “bilik tidur, dapur”, mungkin ia memilih bilik tidur dan anda kata “tidak, ia bukan dalam bilik tidur” (sambil menunjukkan kad). Dan apabila ia menunjuk ke arah “dapur”, anda katakan “ya ia ada di dalam dapur”.

Kemudian, minta pula ia memilih antara kad-kad (sebagai contoh) di bawah, belakang, atas serta kerusi, katil, sofa. Tanyalah semula dengan menggunakan kad seperti di atas dan benarkan ia mencari “hartanya”. “Harta karun” tersebut tidak semestinya hadiah yang dibeli. Anda boleh juga menggunakan sesi ini untuk memperkenalkan program cebisan yang baru.

“TREASURE HUNT” VERSI II (UNTUK ANAK YANG LEBIH BESAR)

Tuliskan perkataan-perkataan di papan putih (white board) atau tampalkan kad-kad kata pada papan putih. Nyatakan pada anak bahawa anda telah menyembunyikan kad yang sepadan dengan apa yang tertulis/tertampal di papan putih di dalam kawasan bilik. Galakkan anak mencari kad-kad yang tersembunyi itu. Beri pujian setiap kali ia berjaya.

“PICTIONARY” (ANAK YANG BERUMUR 3-6 TAHUN)

Pictionary adalah sama seperti rancangan TV bertajuk “Wins, Loose or Draw”. Untuk anak yang masih berada di tahap (1) program bacaan iaitu kad-kad perkataan tunggal, minta anak melukis gambar yang ada pada kad yang ditunjukkan.

Mungkin anda boleh meminta anak anda memilih kadnya sendiri atau meletakkan beberapa keping dalam bakul atau sampul surat untuk dipilih oleh anak. Aktiviti ini boleh juga anda gunakan untuk anak yang lebih mahir membaca. Yang penting suaikan dengan tahap program bacaan mereka.

Ia juga boleh dibuat dalam kumpulan. Pelbagaikan aktiviti ini, anda boleh meminta anak menulis pula apa yang dilukis (syaratnya anak itu sudah boleh menulis).

Aktiviti yang menyeronokkan ini sekaligus merupakan aktiviti perkayaan dan aktiviti penyelesaian masalah. Aktiviti ini juga menggalakkan minat dalam lukisan serta tulisan.

LETAKKAN LABEL

Letakkan label pada perabot di dalam rumah, atau bahagian-bahagian tertentu pada poster. Kadang-kadang anda boleh secara sengaja meletakkan label pada tempat yang salah. Perhatikan samada anak dapat mengesan kesilapan yang anda lakukan.

Aktiviti ini boleh dilakukan juga sebagai langkah kedua selepas memperkenalkan kad-kad yang mengandungi perkataaannya. Kemudian sebagai konsolidasi, ajar anak bermain – suruh anak pilih 2 kad dari 2 sampul. Umpamanya jika anak memilih “merangkak” dari sampul dan “telefon” di sampul yang lain, anak mestilah merangkak ke telefon dan menampal kadnya di atas telefon. Bukankah ini cara yang menyeronokkan untuk menggabungkan program bacaan dan program fizikal?

MENULIS MENU SENARAI BARANGAN, RESIPI, INVENTORI

Dengan kad-kad yang mengandungi perkataan-perkataan bertemakan makanan, anda boleh mengajak anak anda mengatur menu harian/mingguan.

Anda boleh juga menyediakan resipi tertentu dengan menggunakan kad-kad makanan yang ditampalkan pada kertas Manila atau kertas Mahjong.

Anda boleh juga mengajak anak membuat senarai barangan yang perlu dibawa bersama (tentu orang lain berasa aneh melihat senarai barangan anda terutama jika senarai barangan anda ditulis di atas kertas yang besar dan berwarna merah!). Apabila pulang, buat pula inventori barangan untuk memastikan semua barangan yang patut dibeli telah dibeli.

Aktiviti ini menjadi lebih bermakna lagi jika anda juga membandingkan harga barangan yang dibeli. Anda tidak perlu mengira jumlah yang dibayar, memadai jika anda menyatakan jumlah yang dibelanjakan serta jumlah yang anda serahkan pada jurujual serta baki yang diterima.

Tulis persamaan matematik ini pada kertas lain. Inventori boleh dilakukan untuk barang-barang lain di dalam rumah.

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh kita lakukan untuk memastikan sesi lebih menyeronokkan. Sebagai ibu, kita mestilah rajin mencari idea baru dan menyediakan bahan kreatif, cohtohnya buku-buku yang direka dan ditulis sendiri.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.