Tapak Kaki Rata (Flatfeet) – Punca dan Rawatan

Tapak kaki yang rata merupakan keadaan biasa dan tidak menyakitkan yang terjadi disebabkan lengkungan tidak terbentuk ketika proses pembesaran.

Tapak kaki yang rata bermaksud tiada lengkungan di bahagian bawah tapak kaki terutamanya di bahagian dalam yang menyebabkan keseluruhan permukaan tapak kaki menyentuh lantai apabila berdiri.

Tapak kaki yang rata merupakan keadaan biasa dan tidak menyakitkan. Ia berlaku disebabkan lengkungan tidak terbentuk ketika proses pembesaran. Ianya juga boleh terjadi disebabkan kecederaan ataupun proses penuaan.

Tapak kaki yang rata boleh menyebabkan masalah kepada buku lali dan lutut kerana perubahan postur berjalan. Jika tiada kesakitan, rawatan selalunya tidak diperlukan.

Beza tapak kaki normal dan rata

Tanda-tanda dan simptom

Selalunya tiada tanda-tanda yang jelas jika anda mempunyat tapak kaki yang rata. Sesetengah orang mendapat kesakitan pada bahagian tumit dan bahagian dalam tapak kaki. Sakit ini menjadi bertambah teruk ketika melakukan aktiviti dan bahagian yang sakit juga boleh membengkak.

Bila perlu berjumpa doktor

Jumpa doktor jika anda atau anak anda mengalami kesakitan kaki.

Punca

Tapak kaki yang rata adalah normal pada kanak-kanak kecil kerana lengkungan masih belum terbentuk. Lengkungan ini akan semakin jelas ketika kanak-kanak membesar tetapi sesetengah orang tidak mengalaminya. Ianya hanyalah variasi genetik biasa namun boleh menyebabkan masalah lain pada masa hadapan.

Ada kanak-kanak yang mempunyai kaki fleksibel di mana lengkungan hanya kelihatan ketika duduk atau menginjit tetapi hilang ketika berdiri biasa. Ia selalunya akan pulih apabila kanak-kanak tersebut membesar.

Lengkungan tapak kaki boleh menjadi semakin berkurang apabila umur meningkat akibat kehausan tendon yang terdapat pada buku lali yang menyokong lengkungan itu.

Faktor risiko

Faktor yang boleh menyebabkan tapak kaki rata termasuklah:

Diagnosis

Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal pada kaki untuk melihat mekanik bahagian depan dan belakang kaki terutamanya apabila berdiri. Doktor mungkin juga akan memeriksa corak kehausan pada kasut atau selipar anda.

Ujian pengimejan

Jika kaki anda berasa sakit yang keterlaluan, doktor akan melakukan ujian pengimejan seperti:

  • X-ray. Untuk melihat jika terdapat kecederaan pada tulang ataupun tanda-tanda arthritis.
  • CT scan. Untuk melihat dengan lebih mendalam lagi dari pelbagai sudut jika doktor mengesyaki kecederaan.
  • Ultrasound. Jika doktor mengesyaki kecederaan tendon dan tisu lembut yang lain.
  • MRI. Untuk melihat dengan lebih jelas kecederaan tisu lembut.

Rawatan

Tiada rawatan yang diperlukan jika tapak kaki yang rata tidak menyebabkan apa-apa kesakitan.

Terapi

Jika tapak kaki anda merasa sakit, doktor mungkin mencadangkan:

  • Alat sokongan orthotik. Alat sokongan ini boleh dibeli di farmasi dan mampu melegakan kesakitan. Alat sokongan ini akan mengikut bentuk kaki anda supaya tidak merasa sakit namun tidak mampu menghilangkan kerataan tapak kaki.
  • Alat regangan. Sesetengah masalah tapak kaki rata adalah disebabkan tendon Achilles yang pendek, senaman regangan untuk memanjangkan tendon ini dapat membantu.
  • Kasut sokongan. Kasut yang mempunyai struktur sokongan kaki mampu mengurangkan kesakitan.
  • Terapi fizikal. Tapak kaki rata boleh menyebabkan kecederaan tendon terutamanya jika anda kerap berlari. Ahli terapi boleh melakukan analisis video yang dapat membantu membetulkan teknik dan postur larian.

Pembedahan

Pembedahan yang dilakukan bukanlah untuk menambah lengkungan pada tapak kaki tetapi jika terdapat kecederaan berkaitan seperti tendon yang terkoyak atau putus.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.