Tahap Penggunaan Dadah dan Substans Terlarang

Adalah penting untuk memastikan setiap pengguna dadah berjaya berhenti atau mengawal penggunaan dadah sebelum sampai ke tahap penagihan.

Setiap pengguna dadah akan melalui tahap-tahap tertentu sebelum mereka menjadi seorang penagih dadah tegar. Adalah penting untuk memastikan setiap pengguna dadah berjaya berhenti atau mengawal penggunaan dadah sebelum sampai ke tahap penagihan. Berikut merupakan tahap-tahap penggunaan dadah secara ringkas.

Penggunaan Rekreasi/Eksperimentasi

Penggunaan substans secara rekreasi merupakan penggunaan yang berlaku di dalam kelompok sosial bersama rakan, tidak berlaku dengan kerap dan selalunya hanya menggunakan substans psikoaktif dalam jumlah kecil atau sederhana sahaja. Ianya disebabkan oleh perasaan ingin tahu atau tekanan daripada rakan (peer pressure). Mereka yang menggunakan dadah secara rekreasi jarang menghadapi masalah berkaitan substans ini. Namun mereka masih menyalahi undang-undang jika substans yang diambil adalah terlarang.

Penggunaan Dengan Tujuan Tertentu

Tahap ini berlaku apabila seseorang individu tersebut ingin mencapai sesuatu tujuan ketika mengambil substans seperti mengatasi stres, mengatasi perasaan malu dan sebagainya. Sebagai contoh, seorang yang pemalu akan mengambil marijuana untuk menjadi lebih relaks dan mampu bercakap dengan orang lain serta menjadi lebih sosial. Atau mereka yang menghidap kemurungan akan mengambil dadah untuk memulihkan mood mereka. Antara contoh lain yang lebih ekstrim termasuklah askar yang sedang berperang mengambil dadah untuk merasa lebih berani atau menghilangkan ketakutan. Pada tahap ini seseorang mungkin akan mula mengalami masalah berkaitan dadah tersebut.

Penggunaan Kerap

Sesetengah orang bermula dengan mengambil substans secara rekreasi atau dengan tujuan tertentu tetapi lama-kelamaan mengambilnya dengan lebih kerap. Apabila substans psikoaktif diambil setiap hari atau hampir setiap hari, dalam jumlah yang kecil atau sederhana, kesannya akan menjadi berganda. Pada tahap ini, seseorang akan menjadi lebih bermotivasi untuk mengekalkan tahap sedia ada yang disebabkan oleh pengambilan substans tersebut. Oleh sebab itu, mereka akan mula mengalami masalah berkaitan substans seperti ponteng kerja.

Penggunaan Kompulsif atau Penagihan

Penggunaan kompulsif atau penagihan merupakan tahap paling teruk dan merbahaya. Pada tahap ini, dos substans yang tinggi diperlukan setiap hari untuk mencapai atau mengekalkan kesan dadah dan juga mengelakkan gejala tarikan. Pada peringkat ini juga substans akan menjadi perkara paling penting dalam hidup seseorang, di mana semua aktiviti harian mereka akan disusun dengan tujuan untuk mencari dan mengambil substans. Walaupun menyedari mereka mengalami banyak masalah akibat menggunakan substans ini tetapi mereka terus menggunakannya.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.