Sukan Lontar Peluru – Teknik, Gaya dan Latihan

Acara lontar peluru ini memerlukan kemahiran yang khusus jika seseorang individu itu ingin melibatkan diri dalam bidang sukan ini.

Acara lontar peluru adalah satu acara olahraga iaitu acara padang yang melibatkan dari segi melontar dalam pergerakan menolak satu bola logam besi berat sejauh yang boleh. Asal usul acara lontar peluru tidak mempunyai sejarah yang lama jika dibandingkan dengan acara merejam lembing dan melempar cakera.

Mengikut sejarah, aktiviti melontar batu telah dijadikan pertandingan bermula pada abad ke-19. Orang Scotland dan Ireland telah dianggap sebagai golongan pertama yang mencipta acara lontar peluru, berdasarkan pertandingan melontar batu yang mereka lakukan ketika itu.

Bagaimanapun, acara lontar peluru tidak dapat diterima sebagai acara sukan di kedua-dua buah negara ini. Setelah diperkenalkan di Amerika Syarikat, acara lontar peluru telah mendapat sambutan di beberapa kejohanan sukan olahraga. Sebagai sebuah negara yang mengambil berat tentang kegiatan sukan, Amerika Syarikat telah menganggap kegiatan sukan lontar peluru sebagai sangat menarik, dan akhirnya menjadi acara olahraga yang dipertandingkan. Lontar peluru merupakan acara yang memerlukan kekuatan dan kemahiran tertentu bagi menghasilkan jarak yang baik.

Ramai beranggapan lontar peluru boleh dilakukan oleh mereka yang mempunyai tubuh badan yang besar. Ini satu tanggapan yang salah. Acara lontar peluru memerlukan peserta yang mempunyai struktur fizikal yang tegap di samping kecekapan mengimbang badan dengan baik untuk memastikan jarak yang maksimum.

Peralatan dan kawasan melontar peluru.

Teknik dan Gaya Lontar Peluru

Teknik atau gaya melontar peluru yang biasa diamalkan ialah:

Gaya berdiri dan melontar tanpa lungsuran

Lakuan sedia

Peserta berdiri di bahagian hadapan bulatan dengan bahu kirinya menghala kea rah lontaran. Setelah menempatkan peluru di bahagian yang sesuai lebih kurang dibawah telinga, peserta hendaklah merendahkan badan dengan membengkokkan kaki kanannya yang terletak hampir dengan garis pusat bulatan. Berat badan peserta hendaklah dipindahkan ke kaki belakang.

Kilasan badan

Ianya dimulakan dengan bahu tangan bebas digerakkan ke hadapan. Kemudian diikuti dengan bahagian pinggul kanan bergerak ke hadapan dan ke atas. Serentak dengan kesemua pergerakan ini tangan harus mula menolak peluru.

Lontaran

Tolakan peluru diteruskan dengan kaki belakang kaki kanan diluruskan sambil menekan ke atas tanah sehingga badan menjadi terangkat. Peluru pun dilontar keluar dari tangan menuju ke hadapan dank e atas. Tangan pelontar mengakhiri pergerakan ini dalam keadaan lurus. Mata pelontar pula mengikuti pergerakan peluru sehingga peluru itu mendarat.

Pulihan

Dalam gaya berdiri ini pelontar tidak melakukan lungsuran dan pergerakan badan pula tidak begitu kuat. Oleh itu fasa pulihan tidak ditegaskan dalam gaya ini.

Gaya melungsur selangkah

Lakuan sedia

Pelontar berdiri di bahagian belakang bulatan dengan membelakangkan kawasan lontaran. Selepas menempatkan peluru di ntempat yang sepatutnya, bongkokkan badan dengan membengkokkan kaki kanan. Kaki kiri dibiarkan dalam keadaan selesa bengkok dan mencecah bahagian tengah bulatan dengan hujung kaki .Tangan bebas berperanan untuk mengimbangi kedudukan badan dan ia diletakkan di hadapan badan pelontar dengan sikunya dibengkokkan sedikit.

Lungsuran

Daripada lakuan sedia menolak dengan kaki kiri supaya kaki kanan pelontar dapat membuat lungsuran ke bahagian tengah bulatan. Lungsuran ini dilakukan secara pantas dan licin. Berat badan pelontar mestilah masih berada di atas kaki kanan, manakala bahagian badan pula terus dibiarkan membongkok jangan tegakkan badan semasa melungsur . Kaki kiri pelontar pula diletakkan di hadapan bulatan.

Kilasan badan

Sebaik sahaja kaki kanan bertapak semula dan proses lungsuran itu tamat, pinggul kanan dipusing ke kiri dan ke atas serantak dengan kilasan badan. Bahu dan tangan kanan yang memegang peluru masih menghala ke belakang.

Lontaran

Apabila kilasan badan itu selesai badan menghadap ke arah lontaran, kaki yang melungsur kaki kanan yang di belakang menolak dengan kuat sehingga badan terangkat dan melentik. Pergerakan ini hendaklah disusuli dengan pergerakan menolak peluru yang bermula dengan menggunakan bahagian bahu diikuti pula dengan tangan yang memegang peluru. Tangan mengikut peluru sejauh yang boleh dan kaki mestilah digunakan untuk menahan dengan kuat. Kedua-dua belah kaki mesti bersentuhan dengan tanah semasa peluru dilontar.

Pulihan

Sebagai langkah mengelakkan pelontar daripada kehilangan keimbangan dan terjatuh di kawasan hadapan selepas melepaskan peluru, pergerakan pulihan hendaklah dilakukan jika perlu. Pergerakan ini merupakan sebahagian daripada pergerakan ikut lajak. Langkah pulihan ini dilakukan dengan membawa kaki kanan ke hadapan bulatan belakang papan penahan dan pada masa yang sama kaki kiri digerakkan ke belakang secara tergantung untuk membantu imbangan badan.

Gaya melontar dengan lungsuran (glide).

Gaya Parry O’Brien

Lakuan sedia

Sama seperti dalam gaya melungsur selangkah, pelontar berdiri membelangkan arah lontaran. Kaki bebas diangkat ke atas sambil bahagian badan dibongkokkan ke hadapan sehingga selari dengan tanah.

Lungsuran

Sebaik sahaja badan condong ke hadapan dan berat badan dirasa di atas kaki kanan, pergerakan melungsur dilakukan. Lungsuran ini dibuat dengan kaki kanan dijengketkan lutut dibiarkan bengkok ke belakang. Serentak dengan pergerakan ini, kaki kiri ditendang ke bahagian hadapan bulatan. Badan pelontar ketika ini masih di dalam keadaan condong.

Kilasan badan

Pada akhir pergerakan lungsuran dan apabila kaki bebas kaki kiri telah bertapak di belakang papan penahan, badan pun mula mengilas ke atas dan ke hadapan teknik mengilas badan adalah hampir sama dengan teknik yang diterangkan dalam gaya melungsur selangkah sebelum ini . Butiran yang penting ditegaskan ialah lungsuran dan kilasan badan hendaklah dilakukan sebagai satu pergerakan yang terus-menerus supaya tidak menjejaskan pengumpulan daya untuk membuat lontaran.

Lontaran, ikut lajak dan pulihan

Gaya ini sama dan boleh rujuk kepada lontaran dan pulihan dalam gaya melungsur selangkah. Sebenarnya teknik kesemua fasa ini adalah hampir sama.

Fasa Pergerakan Lontar Peluru

Pegangan peluru

Peluru harus terletak atas tapak jari-jari yang dikembangkan dengan ibu jari dan jari kelingking member sokongan sisian.Pergelangan tangan haruslah membengkoklurus (flexed). Para peserta tidak boleh memegang peluru di tapak tangan. Ini merupakan satu kesalahan biasa yang dibuat oleh kebanyakkan peserta yang baru belajar melontar peluru.

Teknik asas memegang peluru secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

  1. Teknik memegang peluru dengan tiga jari – Peluru disokong di pangkal ketiga-tiga jari tengah dan ibu jari. Jari kelingking dibengkokkan di sisi peluru.
  2. Teknik memegang peluru dengan lima jari – Kelima-lima jari digunakan. Ibu jari dan jari kelinking mengimbangi kedudukan peluru. Teknik disyorkan untuk para pelajar sekolah rendah.
Cara memegang peluru.

Menyokong peluru

Letakkan peluru dengan selesa di rongga tulang selangka berhampiran leher dengan pangkal tangan menghadapke luar dan siku berada jauh sedikit daripada badan.

Cara menyokong peluru.

Latihan / Drill ansur maju

Ansur maju untuk gaya berdiri

Bahagian terakhir lontaran akan diajar dahulu kerana ia adalah posisi asas untuk melontar peluru.

  1. Berdiri dengan kaki terbuka,lutut dibengkokkan,punggung ke dalam dan tangan berada di pinggul. Berat badan dipindahkan ke atas kaki belakang (kaki kanan).Kaki kiri diletakkan dengan ringan di atas tanah.
  2. Semasa menolak dari kaki belakangberat badab harus dinaikkan (semasa kaki belakang diluruskan) memutar dan bergarak ka hadapan di atas kaki depan (kaki kiri). Tolakan diakhiri dengan kedua-dua kaki berdiri di atas jari-jari kaki yang masih menyentuh tanah.
  3. Dengan atau tidak memegang peluru,ambil posisi berdiri seperti digambarkan di sebelah.
  4. Menolak lengan (dengan atau tanpa peluru) ke hadapan dan ke atas.
  5. Berdiri dengan lebih lebar dan membongkokkan tubuh ke belakang. Lengan kiri dibengkokkan dengan siku berada tinggi.
  6. Putarkan batang tubuh ke hadapan untuk menolak peluru dengan kuat. Selapas tolakan kaki dan tarikan badan diperolehi,di mana pergerakan untuk mendapatkan semula imbangan adalah diperlukan untuk mencengah faul,langkah pemulihan patut dipelajari.
  7. Pemulihan: Kedua-dua kaki bertukar posisi,iaitu kaki depan bergerak ke belakang sebelum kaki belakang sampai ke papan penahan.

Lungsuran (The Glide)

  1. Ambil posisi seperti yang digambarkan di sebelah, dengan beratan yang mencukupi di atas kaki kiri.Cuba imbangan badan.Kaki kanan dibengkokkan sedikit.
  2. Menolak kaki belakang (kaki kanan) tetapi masih tidak meninggalkan tanah. Kaki kiri diangkat lebih kurang satu kaki di atas tanah.
  3. Pembaling mendarat di bahagian depan bulatan dengan kaki diletakkan seperti dalam gambar.
Latihan lungsuran lontar peluru.

Rangkaian sempurna

Peringkat akhir ini mengandungi rangkaian lungsuran kepada pergerakan-pergerakan lontaran berdiri dan pemulihan.

  1. Berdiri di bahagian belakang bulatan dengan membelakangkan arah lontaran bulatan dan kaki kiri di belakang kaki kanan.
  2. Bongkok ke depan dari pinggul, naikkan kaki kiri dan membawa paha kiri ke kaki kanan.
  3. Tolak kaki kiri ke atas dank e belakang kea rah papan penahan, dengan menggerakkan badan melintasi pertengahan bulatan.
  4. Tiba ke tengah bulatan dengan lutut kanan bengkok dan kaki kanan rata di atas tanah.
  5. Menolak ke atas dengan kaki kanan untuk menaikkan keseluruhan bahagian kanan badan dan dada ke atas sambil memindahkan tenaga melalui pinggul ke bahu, lengan, tangan dan melakukan tolakan akhir daripada pergelangan tangan semasa peluru dilepaskan.
  6. Selepas peluru dilepaskan,pindahkan berat badan dengan cepat daripada kaki kiri ke kaki kanan. Pergerakan ini bertindak sebagai satu pemulihan, menolong menahan momentum ke hadapan dan mencegah foul.

Aktiviti latihan kemahiran beransur maju

  1. Cara memegang peluru dengan menggunakan bola lisut tanpa memperkenalkan peluru dahulu.
  2. Memperkenalkan peluru.
  3. Dirian tanpa menggunakan peluru dan gelonsor ke belakang di atas trek yang lurus.
  4. Ulang aktiviti di atas tetapi kali ini seorang rakan akan berdiri di hadapan dan memegang tangan bebas pelaku.
  5. Geongsoran dengan menggunakan peluru.
  6. Gelongsor dengan menggunakan peluru kekedudukan dagu, lutut dan ibu jari kaki – “Power Position‟ (tapak kaki bersudut).
  7. Ulang aktiviti 4 dengan bantuan kawan memegang tangan bebas.
  8. Dengan bantuan kawan memegang tangan bebas, dan kedudukan ‘Power Position’ (chin-knee-toe) – dagu, lutut dan ibu jari, lakukan pergerakan pinggang menghala ke arah lontaran.
  9. Gabungkan keempat-empat pergerakan iaitu persediaan, gelungsuran, power position dan putaran pinggang.
  10. Dan kedudukan dinan buat gelongsoran dalam bulatan lontaran.
  11. Dalam bulatan lontaran, ulang aktiviti 8 tetapi tambah pergerakkan pinggang menhala ke arah lontaran.
  12. Dalam bulatan lontaran, gabungkan kesemua kemahiran yang telah dipelajari dan Iontar peluru melepasi tali yang direntangkan (tab direntangkan lebih kurang 7 kaki tinggi dan jarak 4 kaki dan bulatan lontaran).
  13. Membuat lontaran berdiri atau ‘Standing throw’.
  14. Membuat lontaran sisi.
  15. Membuat lontaran membelakangkan kawasan lontaran.
  16. Lakukan lontaran dengan cara Parry O’Brien iaitu gabungan semua kemahiran yang telah dipelajari dan jurulatih membetulkan kesalahan.
Kedudukan “Power position”.

Undang-undang dan Peraturan

Lontaran dibuat dalam bulatan bergaris pusat 2.13m. Pelontar masuk dan keluar dari bahagian belakang bulatan. Peluru mesti mendarat dalam sector 40°. Pelontar dikira batal apabila menyentuh kawasan luar bulatan atau memijak bahagian atas kayu penghadang berukuran 10cm tinggi itu semasa dan selepas peluru dilepaskan. Pelontar boleh keluar dari bahagin belakang bulatan lontaran selepas peluru mendarat.

Penutup

Acara lontar peluru ini memerlukan kemahiran yang khusus jika seseorang individu itu ingin melibatkan diri dalam bidang sukan ini. Sebagai acara pertandingan, lontar peluru lebih sesuai bagi para pelajar sekolah menengah. Walau bagaimanapun, asas melontar peluru seperti acara-acara olahraga yang lain, boleh juga diperkenalkan kepada para pelajar sekolah rendah. Cara pengajaran dan latihan hendaklah disesuaikan dengan kemampuan kumpulan pelajar yang diajar.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.