Skoliosis – Diagnosis dan Rawatan

Skoliosis boleh menjadi teruk pada sesetengah orang sehingga doktor mencadangkan pembedahan untuk mengurangkan pembengkokan tulang belakang.

Diagnosis

Doktor akan bertanyakan sejarah perubatan dan pertumbuhan. Ketika pemeriksaan fizikal, doktor akan menyuruh pesakit berdiri dan menunduk ke bawah dari bahagian pinggang untuk melihat sebarang perubahan fizikal tidak sekata.

Doktor juga mungkin akan membuat pemeriksaan saraf untuk melihat:

  • Sebarang kelemahan otot
  • Kebas
  • Refleks yang tidak normal

Ujian Pengimejan

Selalunya x-ray sudah cukup untuk mengesahkan diagnosis skoliosis dan untuk melihat tahap keterukan. Jika doktor mengesyaki masalah lain seperti ketumbuhan yang menyebabkan skoliosis, ujian lain seperti MRI akan dilakukan.

Rawatan

Majoriti pesakit yang menghidap skoliosis ringan tidak memerlukan rawatan lanjut tetapi masih dalam pemerhatian. Temu janji seterusnya akan diberikan termasuk ujian x-ray bersiri untuk melihat jika tahap keterukan skoliosis bertambah.

Keputusan untuk rawatan selalunya bergantung kepada aspek berikut:

  • Jantina. Wanita lebih mudah menjadi teruk berbanding lelaki.
  • Lengkungan. Tahap lengkungan yang tinggi mempunya lebih risiko komplikasi.
  • Jumlah lengkungan. Lebih banyak lengkungan menyebabkan lebih tinggi risiko untuk menjadi lebih teruk.
  • Lokasi lengkungan. Lengkungan tulang belakang di bahagian dada (thoracic) lebih mudah menjadi teruk berbanding kawasan lain.
  • Pertumbuhan tulang. Jika tulang sudah berhenti bertumbuh, risiko menjadi teruk akan berkurang berbanding bagi individu yang masih membesar seperti kanak-kanak.

Pemakaian Pendakap

Jika kanak-kanak sadang membesar dan ada masalah skoliosis sederhana, doktor akan mencadangkan untuk memakai pendakap. Walaupun pendakap ini tidak akan menyembuhkan skoliosis tetapi dapat mencegah dari menjadi lebih teruk.

Selalunya pendakap dibuat dari plastik dan mengikut bentuk badan. Pendakap ini tidak akan kelihatan di bawah baju dan selalunya tiada masalah pergerakan ketika memakainya.

Pendakap perlu dipakai waktu siang dan malam, keberkesanan meningkat semakin lama pendakap dipakai setiap hari. Tiada masalah untuk pemakai menjalankan aktiviti harian seperti biasa. Pendakap boleh dibuang seketika ketika menjalankan aktiviti seperti bersukan.

Pendakap boleh dihentikan setelah tulang berhenti bertumbuh. Selalunya apabila:

  • Selepas 2 tahun datang haid bagi wanita
  • Apabila lelaki perlu bercukur setiap hari
  • Apabila tiada lagi pertambahan ketinggian
Pemakaian pendakap skoliosis

Pembedahan

Skoliosis boleh menjadi teruk pada sesetengah orang sehingga doktor mencadangkan pembedahan untuk mengurangkan pembengkokan tulang belakang dan mencegahnya menjadi lebih teruk. Pembedahan yang selalu dilakukan adalah penggabungan tulang belakang (spinal fusion).

Dalam pembedahan ini, pakar ortopedik akan menyambungkan 2 atau lebih tulang belakang untuk mengurangkan pergerakannya. Proses gabungan ini menggunakan peralatan seperti rod besi, skru, cangkuk atau wayar mengikut keperluan pesakit.

Jika skoliosis menjadi teruk dengan cepat ketika kanak-kanak sedang membesar, pakar ortopedik boleh memasukkan satu rod yang boleh diubah kepanjangannya mengikut proses pembesaran. Rod ini boleh dipanjangkan setiap 6 bulan mengikut pertumbuhan pesakit.

Komplikasi pembedahan termasuk pendarahan, jangkitan, kesakitan atau kerosakan saraf. Kadangkala tulang tidak dapat bercantum dan pembedahan seterusnya diperlukan.

Pembedahan membetulkan skoliosis

Perubahan gaya hidup

Walaupun aktiviti fizikal tidak dapat memulihkan skoliosis, tetapi ianya dapat membantu pergerakan dan kesihatan keseluruhan pesakit termasuk membina keyakinan diri.

Sokongan dan adaptasi

Kadangkala pesakit sukar menerima keadaan mengalami skoliosis terutama remaja yang sedang membesar. Perasaan malu, takut dan rendah diri akan muncul dan boleh merosakkan masa depan.

Sokongan daripada keluarga, kawan-kawan dan masyarakat amat penting pada tahap ini. Pesakit boleh melakukan sebarang aktiviti yang sama seperti dilakukan orang lain walaupun perlu memakai pendakap.

Galakkan anak-anak untuk berbincang dan berkongsi masalah fizikal dan mental yang dialami.

Bacaan selanjutnya:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.