Sindrom Kematian Mengejut Bayi dan Pencegahannya

Tindakan pencegahan ibu bapa seperti yang disenaraikan di dalam artikel ini boleh mengurangkan kadar kematian mengejut bayi.

Sindrom kematian mengejut bayi juga dikenali sebagai cot death dalam bahasa Inggerisnya bermaksud seseorang bayi yang berumur kurang daripada setahun dijumpai mati di tempat tidurnya (cot).

Pada masa kini belum diketahui apakah sebabnya sebilangan kecil kanak-kanak kurang daripada setahun boleh mati dalam keadaan begini. Walaubagaimanapun ianya dikaitkan dengan bahagian otak yang mengawal pernafasan dan tidur pada bayi.

Apa yang diketahui ialah kebanyakan bayi yang terlibat adalah bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan (pramatang) dan kurang berat lahirnya. Ibu bapa yang menghisap rokok juga merupakan ancaman terhadap kesihatan bayi mereka.

Faktor risiko

Faktor bayi:

  • Jantina: Bayi lelaki lebih berisiko berbanding perempuan
  • Umur: Bayi pada umur dua hingga empat bulan merupakan umur paling berisiko
  • Bangsa: Bayi yang bukan caucasian didapati lebih berisiko namun puncanya tidak diketahui
  • Sejarah keluarga: Bayi yang mempunyai adik-beradik atau saudara mara yang pernah mati mengejut lebih berisiko
  • Perokok pasif: Bayi yang tinggal di sekeliling perokok dan menghidu asap rokok lebih berisiko tinggi
  • Pramatang: Bayi pramatang lebih berisiko tinggi untuk mati mengejut

Faktor ibu:

  • Ibu berumur kurang dari 20 tahun
  • Ibu merokok
  • Ibu mengambil dadah atau alkohol
  • Tidak menghadiri klinik kehamilan

Pencegahan kematian mengejut bayi

  • Pastikan bayi tidur dalam keadaan terlentang, bukan mengiring atau meniarap. Walaubagaimanapun ianya tidak perlu dilakukan jika bayi belum tidur atau boleh bergolek sendiri tanpa bantuan. Pesan juga kepada penjaga bayi untuk melakukan perkara yang sama.
  • Jangan meletakkan terlampau banyak bantal dan barang lain di tempat tidur kerana boleh menutup muka bayi ketika sedang tidur.
  • Pastikan bilik tidur tidak terlampau panas.
  • Jangan membedung bayi terlampau ketat dan tebal kerana akan menyebabkan kepanasan melampau.
  • Jauhkan bayi daripada asap rokok.
  • Pemberian susu badan mampu mencegah kematian mengejut bayi pada enam bulan pertama.
  • Pemberian vaksin kepada bayi mampu mencegah kematian mengejut pada bayi.

Kadar kematian bayi di Malaysia yang disebabkan oleh kematian mengejut tidak diketahui. Walau bagaimanapun, tindakan ibu bapa untuk mengelakkannya seperti yang disenaraikan di atas boleh mengurangkan kadar kematian dan telah terbukti di negara-negara Barat.

Kajian-kajian yang dibuat di sana mendapati bahawa banyak kes kematian dalam kot dikaitkan dengan anak (selalunya yang dilahirkan tidak cukup bulan) yang ditidurkan meniarap dan dalam musim sejuk.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.