Senarai Vitamin – Fungsi, Sumber dan Kesan Kekurangannya

Vitamin adalah elemen penting yang diperlukan oleh kita dalam kuantiti yang kecil untuk pertumbuhan dan perkembangan tubuh badan yang sihat.

Vitamin adalah elemen penting yang diperlukan oleh kita dalam kuantiti yang kecil untuk pertumbuhan dan perkembangan tubuh badan yang sihat. Berikut disenaraikan vitamin yang diperlukan oleh badan:

Vitamin A

Fungsi

Vitamin A adalah salah satu daripada keluarga vitamin larut lemak. Retinol salah satu jenis vitamin A ialah bahan yang sangat aktif atau berguna dan ia didapati daripada haiwan seperti hati dan telur.  Ia boleh ditukarkan menjadi retinal dan retinoic acid, iaitu jenis lain dalam keluarga vitamin A.    

Vitamin A diperlukan untuk tumbesaran , tulang dan gigi yang kuat bagi kanak-kanak. Ia juga perlu untuk penglihatan yang normal dan struktur gigi yang sihat. Ia membantu memelihara kulit yang sihat dan mencegah lapisan mulut, hidung, tekak, paru-paru, penghadaman dan salurkencing dari dijangkiti kuman. 

Vitamin A juga menolong badan kita mengatur sistem kekebalan (immune system) di mana sistem kekebalan badan ini membantu mencegah atau melawan jangkitan dengan membuat sel darah putih yang  menghapuskan bakteria dan virus merbahaya.

Sumber

Vitamin A boleh diperolehi daripada telur, susu, dan hati adalah di antara sumber semulajadi makanan yang kaya dengan vitamin A. Vitamin A terdapat pada bahagian lemak susu, oleh itu ia tidak terdapat pada susu tanpa lemak.

Kebanyakan susu/susu tepung tanpa lemak yang terdapat di pasaran telah diperkayakan dengan vitamin A. Terdapat banyak makanan yang diperkayakan seperti bijirin sarapan pagi yang mengandungi vitamin A.

Adalah mustahak anda sentiasa mengambil makanan yang membekalkan vitamin A atau beta-kerotin walaupun badan anda boleh menyimpan vitamin tersebut di dalam hati. Vitamin A yang tersimpan dalam hati akan membantu memenuhi keperluan badan anda bila mana pengambilan vitamin tersebut adalah rendah.

Kesan jika kekurangan

Kekurangan vitamin A boleh menyebabkan lemah daya penglihatan pada waktu malam, rabun malam, kekeringan pada bahagian mata putih, selaput seperti keju pada mata putih. Lemah daya tahan badan dan ini akan lebih terdedah pada jangkitan.

Kulit menjadi kering dan gatal, hilang selera makan. Tulang dan gigi menjadi lemah dan keratomalacia iaitu sejenis penyakit di mana terjadi kerosakkan teruk pada kornea mata yang boleh menjadi buta.

Vitamin B1  (Thiamine)

Fungsi

Vitamin B1 atau Thiamine adalah penting untuk pencerakinan dan penggunaan karbohidrat, lemak dan protin. Ia juga membantu memelihara sistem saraf dan otot yang sihat serta fungsi jantung yang normal. Setiap sel badan kita memerlukan vitamin B1 bagi membentuk ATP – iaitu bahanapi untuk badan bekerja.

Vitamin B1 bekerja seiring dengan vitamin B2 dan vitamin B3 oleh yang demikian pakar makanan akan mengesyorkan vitamin B1 diambil  sebahagian daripada vitamin B complex atau lain-lain multivitamin tambahan. 

Sumber

Vitamin B1 boleh diperolehi daripada gandum atau hasil gandum, kacang pis,kacang, tepung yang diperkayakan ,ikan kacang tanah, dan daging adalah sumber-sumber yang kaya dengan vitamin B1.

Kesan kekurangan

Kekurangan vitamin B1 boleh menyebabkan :

  • Keletihan, lemah badan, hilang selera makan.
  • Kegelisahan, gangguan tidur.
  • Beriberi, iaitu sejenis penyakit “metabolic disorder” dengan gejala seperti cirit, bengkak buku lali dan kaki, kebas tangan dan kaki, kesakitan dan kegagalan jantung.
  • Sakit pada bahagian abdomen.
  • Sembelit
  • Gangguan mental atau emosi.

Vitamin B2  (Riboflavine) 

Fungsi

Riboflavin adalah perlu untuk pembentukan sel darah merah, penghasilan antibodi,  pernafasan sel, dan tumbesaran. Ia melegakan keletihan mata dan penting dalam pencegahan dan rawatan kataract. Ia membantu metabolisma karbohidrat, lemak dan protin.

Bersama dengan vitamin A, ia memelihara dan memperbaiki selaput mukosa dalam saluran penghadaman.  Riboflavin juga memudahkan penggunaan oksigen oleh tisu kulit, kuku dan rambut ; menghapuskan kelemumur ; dan membantu penyerapan zat besi dan vitamin B6.  

Pengambilan riboflavin pada amaun yang mencukupi sangat penting ketika mengandung, kerana kekurangan vitamin ini boleh merosakkan fetus yang sedang membesar sekalipun wanita tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda kekurangan vitamin B2. 

Sumber

Kandungan tinggi vitamin B2 boleh didapati dariapada makanan berikut: keju, putih telur, ikan, daging, susu, ternakan ayam & itik, bayam, biji-bijian, dan yogurt. Lain-lain sumber termasuk  asparagus, avocado, kobis bunga, rumpai laut, sayuran berdaun hijau, kulat, kacang dan selada air.

Kesan kekurangan

Kekurangan vitamin B2 boleh menyebabkan :

  • Keletihan, lemah badan.
  • Bibir merekah, sakit (bengkak) lidah dan di tepi mulut.
  • Lemah daya penglihatan, photophobia (terlalu sensitif pada cahaya).
  • Gatal kulit, pening, rambut gugur dan insomnia (susah tidur).
  • Lemah daya penghadaman, pembesaran terbantut,  dan lembab dalam tindakbalas mental.

Vitamin B3  (Niacin)

Fungsi

Vitamin B3 atau dikenali juga dengan nama Niacin diperlukan oleh badan kita untuk peredaran darah dan kulit yang sihat. Niacin adalah penting dalam menghasilkan tenaga daripada gula darah (blood sugar) dan dalam pembuatan lemak. Ia membantu dalam fungsi sistem saraf ; dalam metabolisma karbohidrat, lemak dan protin ; dan dalam pengeluaran asid hidroklorik untuk sistem penghadaman.

Ia juga terlibat dalam pengeluaran cecair hempedu dan perut yang normal dan sitesis hormon seks. . Niacin merendahkan paras kolestrol dan membaiki peredaran darah. Ia membantu dalam penyakit mental seperti schizophrenia  dan ia juga sebagai menambah ingatan.

Sumber

Niacin dan niacinamide didapati daripada hati lembu, ragi yang ditapai, kobis bunga, lobak merah, keju, tepung jagung, buah kurma,  telur, fish, susu, kacang tanah, ubi kentang,  tomato, gandum, dan hasil gandum.

Kesan kekurangan

Kekurangan vitamin B3 boleh menyebabkan :

  • Keletihan, lemah badan.
  • Pellegra iaitu sejenis penyakit dengan gejala bengkak; kulit merekah atau pecah; bengkak mulut dan lidah; cirit; gangguan mental; pening; lemah badan; sakit kepala; lemah otot; rendah gula dalam darah.

Vitamin B5  (Pantothenic Acid)

Fungsi

Vitamin B5 juga dikenali sebagai “vitamin anti-stress” ,  pantothenic acid memainkan peranan dalam pengeluaran hormon adrenal dan pembentukan antibodi, membantu dalam penggunaan vitamin, dan menolong menukarkan lemak, karbohidrat dan protin kepada tenaga.  Ia diperlukan oleh semua sel dalam badan dan tetumpu dalam organ badan. 

Ia juga terlibat dalam pengeluaran ” neurotransmitters “. Vitamin ini adalah elemen perlu koenzim A, bahan kimia badan  penting yang terlibat dalam  kebanyakkan fungsi metabolisma.  Pantothenic acid juga ialah penambah stamina dan mencegah sesetengah bentuk anemia. Ia diperlukan untuk salur perut-usus berfungsi dengan normal dan boleh menolong dalam merawat tekanan dan rasa cemas (anxiety).

Sumber

Makanan berikut mengandungi pantothenic Acid : daging lembu beef, ragi yang ditapai, telor, sayuran segar, buah pinggang, hati, kulat, kacang, royal jelly, ikan air masin, torula ragi, tepung dibuat dari rair, dan gandum.

Kesan kekurangan

Kekurangan vitamin B5 boleh menyebabkan :

  • Keletihan, lemah badan.
  • Sakit kepala.
  • Loya , muntah.
  • Sakit abdomen
  • Lemah daya tahan kepada jangkitan saluran pernafasan.
  • Kebas dan sesemut pada kaki.
  • Kejang otot.

Vitamin B6  (Pyridoxine) 

Fungsi

Vitamin B6 ataupun pyridoxine adalah vitamin yang lebih banyak terlibat dalam fungsi badan berbanding dengan kebanyakkan nutrien yang lain. Ia memberi kesan kepada  kesihatan fizikal dan mental. Ia adalah perlu untuk proses ungkaibina dan penggunaan protin, karbohidrat dan lemak daripada makanan, untuk pelepasan karbohidrat yang tersimpan di dalam hati dan otot bagi pengeluaran tenaga.

Pyridoxine juga membantu mengimbangi tahap sodium dan potassium. Vitamin B6 ini juga perlu untuk pengeluaran sel darah merah dan antibodi. Ia perlu bagi sistem saraf dan otak berfungsi dengan normal dan untuk sintesis nukleik asid RNA dan DNA, yang mana mengandungi arahan-arahan genetik bagi pengeluaran semula semua sel-sel dan pertumbuhan normal selular. Ia mengaktifkan banyak enzim dan membantu dalam penyerapan vitamin B12, dalam fungsi sistem imuniti, dan dalam pengeluaran antibodi.

Sumber

Semua makanan mengandungi sebahagian vitamin B6; bagaimanapun , berikut adalah makanan yang mengandungi amaun yang tertinggi : ragi yang ditapai, lobak merah, ayam , telur, ikan, daging, kacang pis, bayam, biji bunga matahari dan walnuts.

Sumber lain termasuk avocado, pisang, kacang, blackstrap molasses, kobis bunga, beras perang, dan bijirin, kobis, cantaloupe, jagung, ubi kentang, kulit beras, kacang soya, dan tempe. 

Kesan kekurangan

Kekurangan vitamin B6 boleh menyebabkan :

  • Keletihan, lemah badan.
  • Kegelisahan.
  • Kemurungan (depresi).
  • Penyakit kulit.
  • Bibir merekah, bengkak mulut dan lidah.
  • Anemia.
  • Sawan pada bayi.

Vitamin B12  (Cyanocobalamin)

Fungsi

Vitamin B12 atau cyanocobalamin adalah diperlukan bagi pembuatan bahan genetik pada sel (DNA) untuk pertumbuhan dan pembesaran. Pembentukan sel darah merah oleh sum-sum tulang adalah bergantung pada vitamin ini. 

Ia menolong memelihara sel saraf dan sel darah merah.  Ia juga terlibat dalam penggunaan folik asid dan karbohidrat dalam makanan. Asid hydroklorik melepaskan vitamin B12 di dalam perut ketika proses penghadaman. Selepas itu ia bercantum dengan sejenis bahan yang dipanggil  faktor intrinsik (IF) sebelum ianya diserap ke dalam darah. Vitamin B12 juga perlu untuk memelihara sistem saraf yang sihat.

Sumber

Vitamin B12 is didapati secara semulajadi pada haiwan termasuk ikan, susu dan hasilnya, telur, daging, dan ayam/itik. Bijirin sarapan pagi yang diperkayakan adalah sumber yang sangat baik vitamin B12 dan merupakan juga sumber yang berharga bagi vegetarians. 

Kesan kekurangan

Kekurangan vitamin B12 boleh menyebabkan :

  • Keletihan, lemah badan.
  • Megaloblastic anaemia.
  • Sakit mulut dan lidah.
  • Kebas dan sesemut pada kaki dan tangan disebabkan oleh kerosakkan saraf tunjang.
  • Gangguan mental dan emosi.

Vitamin C  (Ascorbic Acid) 

Fungsi

Vitamin C ialah antioksidan yang diperlukan oleh sekurang-kurangnya 300 fungsi metabolik dalam badan, termasuklah pertumbuhan dan penggantian tisu, fungsi kilang adrenal,  dan untuk gusi yang sihat.  Ia menolong dalam pengeluaran hormon anti-stress dan interferon, sejenis protin sistem imuniti yang penting , dan diperlukan juga untuk metabolisma folik asid , tairosin, dan phenylalanine.

Kajian menunjukkan bahawa dengan mengambil vitamin C boleh mengurangkan gejala penyakit asma. Ia mencegah daripada kesan merbahaya pencemaran , menolong mencegah kanser, memelihara daripada jangkitan, dan meningkatkan imuniti. Vitamin C meningkatkan penyerapan zat besi. Ia boleh bercantum dengan bahan toksik seperti sesetengah logam berat, dan menjadikan mereka tidak merbahaya, oleh yang demekian bahan tersebut boleh dinyahkan daripada badan. Sedangkan racun labah hitam yang bisa boleh ditawarkan dengan memberi vitamin C dalam dos yang tinggi.

Vitamin ini juga boleh mengurangkan paras “low-density lipoproteins” (LDL) atau kolestrol yang tidak baik , dan pada masa yang sama meningkatkan ” high-density lipoproteins ” (HDL) atau kolestrol yang baik , juga menurunkan tekanan darah tinggi dan membantu mencegah ” atherosclerosis” . Ia juga sebagai keperluan dalam pembentukan collagen, vitamin C mencegah daripada pembekuan darah yang tidak normal dan lebam , boleh mengurangkan risiko katarak (cataracts), dan mencepatkan penyembuhan luka dan terbakar. 

Sumber

Oleh kerana badan kita tidak boleh menghasilkan vitamin C , ia mestilah diperolehi melalui makanan atau dalam bentuk tambahan. Agak malang, kebanyakkan vitamin C yang diperolehi daripada makanan hilang dalam air kencing.

Vitamin C diperolehi daripada buah beri, buah-buahan sitrus, dan sayuran hijau. Sumber yang baik termasuk asparagus, avocado,  black currants, kobis bunga,  anggur, kubis, lemon, mempelam, biji sawi hijau, bawang, oreng, betik, kacang peas hijau,  nenas,  bayam, strawberri, tomato, dan selada air.

Kesan kekurangan

Kekurangan vitamin C boleh menyebabkan :

  • Lemah badan.
  • Sakit-sakit dan sengal badan.
  • Bengkak gusi.
  • Hidung berdarah.
  • Scurvy ( pendarahan pada badan, lebam-lebam, dan gusi berdarah; gigi mudah tercabut; pendarahan ke dalam otot dan sendi, yang menyebabkan kesakitan).
  • Anemia

Vitamin D

Fungsi

Vitamin D, salah satu vitamin larut lemak yang mempunyai sifat sifat sebagai vitamin dan hormon, yang diperlukan untuk penyerapan dan penggunaan kalsium dan phosphorus. Ia juga perlu untuk tumbesaran, ia penting terutamanya untuk tumbesaran tulang dan gigi yang normal pada kanak-kanak.

Ia mencegah daripada otot menjadi lemah dan ia terlibat mengatur denyutan jantung. Ia juga penting dalam pencegahan dan rawatan kanser kolon, osteoarthritis, osteoporosis, dan hypocalcemia, meningkatkan imuniti, ia juga perlu untuk fungsi tairoid pembekuan darah yang normal.

Terdapat beberapa bentuk vitamin D , termasuk  vitamin D2 (ergocaliciferol), yang datang dari sumber makanan; vitamin D3 (cholecalciferol), yang disintesis dalam kulit kesan tindakbalas kepada dedahan cahaya ultraunggu matahari ; dan dalam bentuk tiruan dikenali sebagai vitamin D5. Daripada tiga bentuk vitamin D tersebut, vitamin D3 dianggap sebagai vitamin D dalam bentuk semulajadi dan lebih aktif.

Sumber

Vitamin D boleh diperolehi daripada minyak hati ikan, ikan air masin , hasil tenusu, dan telur . Ia juga didapati daripada mentega, minyak ikan kod, putih telur, ikan halibut, hati, susu, oat, ikan salmon, sardin, ubi kentang, tuna, dan minyak sayuran . Vitamin D juga terbentuk oleh badan kesan dari tindakbalas terhadap cahaya matahari pada kulit.

Kesan kekurangan

Kekurangan vitamin D boleh menyebabkan :

  • Rickets, pada kanak-kanak ( cacat tulang, terutamanya tulang belakang, kaki dan tengkorak; tulang mudah patah; bengkak sendi; dan lemah otot).
  • Osteomalacia, pada orang dewasa ( tulang menjadi lembut, yang menyebabkan sakit, terutamanya pada kaki, pinggang, leher, dan tulang dada; mudah patah tulang; kejang otot pada tangan, kaki, dan tekak).

Vitamin E

Fungsi

Vitamin E ialah salah satu antioksidan yang penting dalam pencegahan kanser dan penyakit kardiovaskular. Ia memperbaiki peredaran darah, yang mana perlu untuk memperbaiki tisu, dan sangat berguna dalam rawatan “premenstrual syndrome” dan penyakit fibrocystic buah dada.

Ia memelihara pembekuan darah yang normal dan penyembuhan, mengurangkan parut yang diakibatkan oleh sesetengah kecederaan, mengurangkan tekanan darah, membantu dalam pencegahan penyakit katarak, meningkatkan prestasi atlit, dan mengendurkan otot kaki dari kekejangan.

Vitamin E boleh meningkatkan pengeluaran air mani pada sesetengah lelaki. Ia juga mengekalkan kesihatan saraf dan otot dan di masa yang sama menguatkan dinding kapilari. Vitamin E menggalakkan kulit dan rambut menjadi sihat, dan membantu mencegah anemia dan “retrolental fibroplasia”, sejenis gejala mata yang boleh menjangkiti bayi pramatang.

Satu kajian yang dijalankan oleh National Cancer Institute pada tahun 1998 mendapati bahawa pengambilan vitamin E dalam jangka masa panjang dapat mengurangkan risiko kanser prostat di kalangan penghisap rokok. Lain-lain kajian megesyorkan bahawa vitamin ini dapat memperlahankan  perkembangan penyakit Alzheimer. Sepanjang ini diketahui bahawa vitamin E telah menunjukkan kesan pencegahan kepada lebih kurang 80 jenis penyakit.

Sumber

Vitamin E is didapati daripada sumber makanan berikut: minyak sayuran, sayuran berdaun hijau gelap, kacang, biji-bijian , dan semua bijirin. Vitamin E juga boleh didapati daripada beras perang, makanan daripada jagung,  telur, rumpai laut, hati yang dikeringkan, susu, oat, daging organ , kacang soya, ubi kentang, selada air, dan gandum. 

Kesan kekurangan

Kekurangan vitamin E boleh menyebabkan :

  • Mudah radang dan edema ( pengumpulan air dalam tisu) pada bayi.
  • Penuaan kulit sebelum masa.
  • Rambut gugur.
  • Anemia.

Vitamin K

Fungsi

Vitamin K is diperlukan untuk pengeluaran prothrombin, yang mana perlu untuk pembekuan darah. Ia juga mustahak untuk pembentukan dan pembaikian tulang; ia diperlukan untuk sintesis osteocalcin, protin yang terdapat dalam tisu tulang yang mana kalsium menjadi hablur. Akibatnya , ia boleh menolong mencegah osteoporosis.

Vitamin K memainkan peranan penting di dalam salur usus dan membantu menukarkan glukos kepada glikogen untuk disimpan dalam hati, memelihara fungsi hati sentiasa sihat. Ia boleh meningkatkan daya tahan kepada jangkitan pada kanak-kanak dan menolong mencegah kanser.

Ia menolong melanjutkan usia.Terdapat tiga bentuk vitamin K: vitamin K1 (phylloquinone atau phytonactone), didapati daripada tumbuhan; vitamin K2,keluarga daripada bahan dipanggil menaquinones, yang dibuat oleh bakteria usus; dan  vitamin K3 (menadione), adalah bahan sintetik.

Sumber

Vitamin K didapati daripada beberapa jenis makanan termasuk asparagus, blackstrap molasses, kobis bunga, Brussels sprouts, kobis, sayuran berdaun hijau gelap , puteh telur, daun salad , hati, oatl,, rai, kacang soya, gandum dan yogurt.

Bagaimanapun, majoriti bekalan vitamin ini untuk tubuh kita didapati hasil daripada sintesis bakteria  “baik” yang terdapat dalam usus.

Kesan kekurangan

Kekurangan vitamin K boleh menyebabkan lemah daya pembekuan darah yang boleh menyebabkan:

  • pendarahan gusi, hidung, usus, dan salur kencing
  • kehilangan banyak darah dari luka
  • pendarahan otak, bagi kes yang teruk

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.