Sakit Tekak – Simptom dan Punca

Punca utama sakit tekak selalunya adalah jangkitan virus seperti selsema. Sakit tekak yang disebabkan virus akan pulih dengan sendiri.

Sakit tekak ataupun kegatalan tekak adalah disebabkan iritasi pada bahagian tersebut dan bertambah teruk apabila menelan. Punca utama sakit tekak selalunya adalah jangkitan virus seperti selsema. Sakit tekak yang disebabkan virus akan pulih dengan sendiri.

Jangkitan bakteria seperti streptococcal adalah lebih serius dan memerlukan antibiotik untuk mengelakkan komplikasi. Terdapat juga jangkitan lain yang memerlukan rawatan yang lebih kompleks.

Tanda dan Simptom

Tanda dan simptom sakit tekak berbeza mengikut puncanya. Tanda-tanda ini termasuk:

  • Sakit dan gatal di bahagian tekak
  • Sakit yang semakin teruk apabila menelan atau bercakap
  • Susah menelan
  • Bengkak dan sakit bahagian leher atau rahang
  • Tonsil yang bengkak dan merah
  • Nanah pada tonsil
  • Suara garau

Selain simptom di bahagian tekak, jangkitan juga boleh menyebabkan simptom lain seperti:

  • Demam
  • Batuk
  • Selsema
  • Bersin
  • Sakit badan
  • Sakit kepala
  • Pening dan muntah

Bila perlu berjumpa doktor

Bawa anak anda berjumpa doktor jika sakit tekak tidak hilang selepas sehari.

Bawa SEGERA jika ada tanda-tanda berikut:

  • Susah bernafas
  • Susah menelan
  • Air liur meleleh yang bermaksud tidak boleh menelan

Bagi orang dewasa, jika ada sakit tekak dan tanda berikut:

  • Sakit tekak melebihi seminggu
  • Susah menelan
  • Susah bernafas
  • Susah membuka mulut
  • Sakit sendi
  • Sakit telinga
  • Ruam badan
  • Demam melebihi 38.3 darjah celcius
  • Darah dalam air liur atau kahak
  • Sakit tekak yang kerap terjadi
  • Bengkak di leher
  • Suara garau melebihi 2 minggu
  • Bengkak di muka

Punca Sakit Tekak

Selalunya disebabkan oleh virus seperti virus selsema. Kadangkala boleh juga disebabkan oleh bakteria.

Jangkitan virus

Jangkitan virus yang boleh menyebabkan sakit tekak termasuk:

  • Virus selsema
  • Influenza
  • Mononucleosis
  • Virus demam campak (measles)
  • Virus cacar air (chickenpox)
  • Croup – selalu menyerang kanak-kanak dan menyebabkan batuk seperti menyalak

Jangkitan bakteria

Terdapat beberapa jenis bakteria yang boleh menyebabkan sakit tekak seperti Streptococcus pyogenes (streptococcus kumpulan A) yang boleh menyebabkan komplikasi lain.

Punca lain

Antara sebab lain sakit tekak termasuklah:

  • Alahan. Alahan menyebabkan keradangan di kawasan tekak dan boleh bertambah teruk jika menggunakan ubat titis hidung yang menyebabkan iritasi tekak.
  • Kekeringan. Udara kering boleh menyebabkan tekak kesat dan gatal. Selalunya disebabkan pernafasan menggunakan mulut kerana hidung tersumbat.
  • Pencemaran udara. Udara tercemar mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan iritasi kepada tekak. Selain itu mengunyah tembakau dan minum alkohol juga menyebabkan perkara yang sama.
  • Kecederaan otot. Otot di bahagian tekak boleh cedera jika menjerit atau bercakap kuat untuk tempoh yang lama.
  • Gastroesophageal reflux disease (GERD). GERD merupakan keadaan di mana asid dari perut boleh naik semula sehingga ke dalam mulut dan menyebabkan iritasi. Tanda lain seperti sakit ulu hati, masam di dalam mulut dan makanan terkeluar.
  • Jangkitan HIV. Pada awal jangkitan, simptom selsema dan sakit tekak boleh menyerang. Selain itu pesakit juga senang mendapat jangkitan berulang atau kronik disebabkan fungal atau virus cytomegalovirus yang boleh menjadi serius disebabkan kurang sistem imun badan.
  • Ketumbuhan. Kanser pada bahagian tekak, lidah, dan peti suara juga boleh menyebabkan sakit tekak. Tanda lain adalah seperti suara garau, susah menelan, nafas berbunyi, rasa ada sesuatu di leher dan darah di dalam air liur atau kahak.

Kadangkala, jangkitan nanah di dalam tekak atau bengkak pada peti suara juga boleh menyebabkan sakit tekak dan boleh menyebabkan keadaan kecemasan kerana boleh menghalang laluan udara.

Faktor risiko

Walaupun semua orang boleh mendapat sakit tekak, namun kumpulan berikut lebih cenderung dan senang mendapat komplikasi:

  • Umur. Kanak-kanak dan remaja lebih senang mendapat sakit tekak. Kanak-kanak dari umur 3 hingga 15 tahun juga lebih mudah mendapat jangkitan streptococcus.
  • Pendedahan kepada asap rokok. Tidak kira penghisap aktif atau pasif boleh menyebabkan iritasi pada tekak. Selain itu kumpulan ini juga berisiko mendapat kanser mulut, tekak dan peti suara.
  • Alahan. Selalunya bermusim atau pada persekitaran tertentu seperti habuk dan cuaca sejuk.
  • Pendedahan kepada bahan kimia. Jika udara tercemar atau bekerja di kilang yang memproses bahan kimia.
  • Sakit sinus kronik atau berulang. Lelehan dari hidung juga boleh menyebabkan iritasi pada tekak.
  • Tinggal di kawasan padat. Virus dan bakteria sangat mudah merebak jika kawasan padat seperti setinggan, pusat tahanan, pusat jagaan kanak-kanak dan juga sekolah.
  • Imuniti rendah. Selalunya pada pesakit HIV, kencing manis, atau menerima rawatan steroid atau kemoterapi. Boleh juga disebabkan kepenatan, stress dan kurang nutrisi.

Pencegahan

Cara terbaik mencegah sakit tekak adalah mengelakkan virus dan kuman seperti mengamalkan budaya kebersihan. Ikut tips berikut dan latih anak anda juga:

  • Basuh tangan dengan betul dan kerap lebih-lebih lagi selepas menggunakan tandas, sebelum makan dan selepas batuk atau bersin.
  • Elakkan berkongsi makanan, minuman dan peralatan makan.
  • Batuk atau bersin di dalam tisu dan terus buang. Atau jika tiada tisu boleh gunakan lengan.
  • Jangan sentuh mulut pada peralatan awam seperti telefon awam atau tempat minum air.
  • Selalu bersihkan peralatan rumah seperti telefon, remote TV, papan kekunci komputer dan sebagainya kerana kanak-kanak suka menghisap peralatan ini. Jika melancong bersihkan dulu peralatan hotel sebelum digunakan.
  • Elakkan mendekati orang yang sakit.
Amalkan etika batuk yang betul

Bacaan lanjut berkenaan sakit tekak:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.