Sakit Belakang – Punca, Pencegahan dan Rawatan

Struktur dan fungsi tulang belakang menyebabkan bahagian belakang lebih cenderung mengalami sakit belakang atau kecederaan.

Sakit belakang kerap dialami oleh kebanyakan orang dewasa sama ada sakit sedikit ataupun teruk. Struktur dan fungsi tulang belakang menyebabkan bahagian belakang  lebih cenderung mengalami kesakitan atau kecederaan.

Tulang belakang yang menyokong badan kita mempunyai 33 tulang vertebrae berasingan yang dipisahkan oleh pelapik kartilej bolehsuai yang dipanggil  ‘disc’ atau piring. Ia dikelilingi dan disulami dengan ligamen, otot, dan saraf.

Postur badan yang salah boleh menyebabkan sakit belakang

Sakit belakang boleh terjadi apabila berlaku pegerakan yang salah atau secara tiba-tiba, terlalu banyak tekanan bebanan apabila membawa atau mengangkat barang berat, atau posisi badan yang lemah.

Walaupun biasanya masalah ini tidak serius dan boleh diatasi dengan mudah namun kadangkala ianya boleh disebabkan oleh penyakit atau kecederaan yang terjadi pada tulang belakang, atau bagi sesetengah kes yang jarang berlaku iaitu penyakit pelvik dan abdomen seperti batu karang dan jangkitan.

Simptom dan gejala

Sakit atau sengal pada bahagian belakang, biasanya pada bahagian pinggang.

Punca sakit belakang

  • Kecederaan otot, seperti:
    • Bentuk badan yang lemah – disebabkan oleh otot abdomen dan belakang lemah, postur yang lemah, terlalu lama duduk, berdiri atau membongkok dan kurang bersenam.
    • Kecederaan – hasil daripada pergerakan secara tiba-tiba atau terlalu kuat, atau cara yang salah mengangkat barang berat.
    • Kekejangan – disebabkan oleh stres atau tekanan.
  • Terdapat penyakit tulang, sendi atau penyakit-penyakit lain seperti arthritis atau ketumbuhan.
  • Kegemukan yang mana memberi bebanan kepada tulang belakang.
  • Kasut bertumit tinggi, yang mana menolak pinggang kehadapan dan meletakkan bebanan berlebihan ke atas bahagian bawah belakang.
  • Bagi wanita , sakit belakang terjadi ketika sebelum atau semasa haid.

Cara mengurangkan sakit belakang

  • Sekiranya anda duduk, berdiri atau membongkok untuk tempoh yang lama, ubah kedudukan anda setiap 30 minit.
  • Mengamalkan postur ( posisi badan ) yang baik.
  • Memastikan anda tidur dalam posisi yang betul.
  • Tukar tilam kepada tilam yang lebih kemas yang boleh menyokong belakang anda.
  • Ambil ubat tahan sakit yang sederhana kekuatannya. Urut bahagian yang sakit dengan minyak, krim atau salap yang dapat menahan sakit atau mencegah bengkak.
  • Jika anda menerima rawatan bagi penyakit tekanan darah tinggi, sila ambil ubat-ubat tersebut mengikut peraturan dan jangan berhenti tanpa merujuk kepada doktor.
  • Jika anda gemuk, berusahalah untuk mengurangkan berat badan.
  • Selalulah bersenam terutamanya yang menguatkan otot belakang.
  • Tuam belakang anda dengan bahan panas seperti botol air panas, tuala panas, dedahan kepada sinaran lampu infra red, untuk kira-kira 15 minit sekali atau dua kali sehari.
  • Elakkan daripada memakai kasut bertumit tinggi.
  • Rujuk doktor apabila sakit tidak hilang atau menjadi lebih teruk , kaki anda menunjukkan tanda-tanda lemah, atau anda mengalami masalah mengawal kencing.
  • Panggil ambulan jika sakit belakang anda disebabkan oleh terjatuh atau terhentak pada bahagian tersebut.
Postur duduk yang betul bagi mengurangkan sakit belakang

Pencegahan sakit belakang

  • Amalkan postur yang baik dengan memastikan bahagian belakang anda tegak.
  • Gunakan kerusi yang dapat menyokong belakang anda dengan baik.
  • Tidur atas tilam yang sesuai (tidak terlalu lembut) dan elakkan berbaring dengan muka ke bawah.
  • Elakkan daripada duduk, berdiri atau membongkok terlalu lama.
  • Jangan mengangkat beban yang berat dengan membongkok.
  • Lakukan senaman terutama senaman yang dapat menguatkan otot abdomen dan belakang.
  • Jika berat anda meningkat, berusahalah untuk mengurangkannya bagi meringankan beban kepada tulang belakang.
  • Elakkan memakai kasut bertumit tinggi.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.