Penyakit SLE – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit SLE merupakan penyakit autoimun yang kronik (jangka panjang) dan gejalanya boleh menjadi teruk dan kemudian hilang bersilih ganti.

Sistem imun badan berfungsi untuk melawan jangkitan kuman dan bendasing bagi memastikan badan kekal sihat. Penyakit autoimun berlaku apabila sistem imun badan tersilap menyerang badan sendiri akibat kekeliruan dalam mengenalpasti kuman dan bendasing. Terdapat banyak penyakit autoimun yang boleh berlaku dan salah satunya adalah penyakit SLE (systemic lupus erythematosus). 

Penyakit SLE juga dikenali sebagai lupus namun lupus sebenarnya terma umum yang digunakan bagi menggambarkan gejala-gejala yang disebabkan oleh penyakit autoimun kerana kebanyakan penyakit autoimun berkongsi gejala yang sama. Penyakit SLE merupakan antara penyakit lupus yang kerap berlaku.

Penyakit SLE merupakan penyakit kronik yang gejalanya boleh menjadi teruk dan kemudian hilang bersilih ganti. Kebanyakan penghidap SLE boleh hidup secara normal dengan bantuan rawatan perubatan.

Lebih kurang 10,000 pesakit SLE telah dikesan di Malaysia sejak 30 tahun lepas. 90 peratus daripadanya adalah wanita dalam lingkungan umur 15 ke 50 tahun. Selebihnya adalah pesakit wanita dan kanak-kanak.

Tanda-tanda dan gejala

Gejala penyakit SLE boleh berbeza-beza pada setiap pesakit dan boleh berubah mengikut masa. Antara gejala yang kerap berlaku termasuklah:

  • Keletihan yang teruk
  • Sakit sendi
  • Sendi membengkak
  • Sakit kepala
  • Ruam pada pipi dan hidung yang dikenali sebagai “ruam rama-rama”
  • Rambut gugur
  • Anemia
  • Masalah pembekuan darah
  • Jari bertukar menjadi warna putih dan biru apabila sejuk yang dikenali sebagai fenomena Raynaud
Ruam rama-rama pada penghidap SLE

Gejala lain bergantung kepada bahagian badan yang terkesan seperti saluran pencernaan, jantung atau kulit.

Gejala ini juga boleh berlaku pada penyakit lupus yang lain dan sukar untuk dibezakan. Jumpa doktor dengan segera jika anda mengalami gejala-gejala di atas.

Punca SLE

Punca sebenar penyakit SLE masih belum difahami tetapi beberapa faktor telah dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk mendapat penyakit ini.

Genetik

Penyakit SLE belum dapat dikaitkan dengan mana-mana gen yang spesifik tetapi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap SLE lebih berisiko tinggi mendapat penyakit ini.

Persekitaran

Faktor persekitaran yang boleh mencetuskan penyakit ini termasuklah:

  • Sinar ultraviolet (matahari)
  • Sesetengah ubat
  • Jangkitan virus
  • Tekanan fizikal atau emosi
  • Trauma

Jantina dan hormon

Penyakit SLE lebih banyak dihidapi oleh golongan wanita berbanding dengan lelaki. Wanita juga biasanya mempunyai gejala yang lebih teruk terutamanya ketika mengandung atau semasa kitaran haid. Terdapat pengkaji yang berpendapat bahawa hormon estrogen pada wanita mungkin memainkan peranan menyebabkan penyakit SLE. Walaubagaimanapun kajian lanjut masih dijalankan untuk membuktikan teori ini.

Pengesanan SLE

Doktor akan mengambil sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal bagi memeriksa gejala-gejala lupus seperti berikut:

  • Sensitif kepada cahaya matahari – jika terdapat ruam malar atau ruam rama-rama
  • Ulser pada membran mukus yang boleh berlaku di dalam mulut atau hidung
  • Arthritis iaitu bengkak dan sakit pada sendi-sendi yang kecil seperti pada tangan, kaki, lutut dan pergelangan tangan
  • Rambut gugur
  • Rambut menipis
  • Tanda-tanda kerosakan jantung atau paru-paru seperti bunyi murmur, geseran dan denyutan jantung tidak sekata

Tiada ujian khas untuk mengesahkan penyakit SLE tetapi terdapat ujian saringan yang dapat membantu doktor melakukan diagnosis seperti:

  • Ujian darah seperti ujian antibodi dan kiraan darah lengkap
  • Ujian analisis urin
  • Ujian x-ray dada

Doktor mungkin akan merujuk pesakit kepada pakar rheumatologi, iaitu pakar yang khusus untuk merawat penyakit sendi, tisu lembut dan penyakit autoimun.

Rawatan SLE

Sehingga kini belum ada rawatan bagi menyembuhkan penyakit SLE. Tujuan rawatan adalah bagi melegakan dan mengurangkan gejala. Rawatan bergantung kepada tahap keterukan dan bahagian badan yang terlibat. Antara rawatan yang boleh diberikan termasuklah:

  • Ubat anti-keradangan untuk sakit sendi
  • Krim steroid untuk ruam pada kulit
  • Ubat kortikosteroid untuk mengurangkan aktiviti sistem imun
  • Ubat antimalaria untuk masalah kulit dan sendi
  • Ubat merubah penyakit atau ubat yang boleh menyasarkan sistem imun untuk kes-kes yang teruk

Sila berbincang dengan doktor anda mengenai perubahan gaya hidup yang perlu dilakukan dan pemakanan yang sesuai. Mungkin terdapat makanan yang perlu dielakkan dan perubahan faktor-faktor lain seperti mengurangkan tekanan atau stres bagi mengelakkan gejala menjadi bertambah teruk.

Selain itu, jika pesakit mengambil ubat steroid, pesakit juga perlu menjalani ujian saringan osteoporosis kerana ubat ini boleh menyebabkan tulang rapuh. Doktor juga mungkin akan mencadangkan pesakit mengambil suntikan imunisasi bagi mengelakkan jangkitan dan juga saringan penyakit jantung serta buah pinggang.

Komplikasi SLE

Penyakit SLE boleh menyebabkan komplikasi jangkamasa panjang kepada kesemua sistem dan organ badan. Antara komplikasi yang boleh berlaku termasuklah:

  • Darah beku dan keradangan saluran darah (vaskulitis)
  • Keradangan pada jantung atau perikarditis
  • Serangan jantung
  • Angin ahmar
  • Perubahan memori
  • Perubahan tingkahlaku
  • Sawan
  • Keradangan pada tisu paru-paru dan lapisan luar paru-paru (pleuritis)
  • Keradangan buah pinggang
  • Kerosakan buah pinggang
  • Kegagalan buah pingang

Penyakit SLE juga boleh menyebabkan gejala yang teruk ketika pesakit sedang mengandung. Ianya boleh menyebabkan pelbagai komplikasi termasuklah keguguran. Bincang dengan doktor anda cara-cara mengurangkan atau mencegah komplikasi penyakit SLE.

Kesan jangka panjang

Pesakit SLE mempunyai gejala dan tahap keterukan yang berbeza-beza. Rawatan awal lebih berkesan dalam membantu mengurangkan gejala dan mengelakkan komplikasi jangka panjang. Adalah penting untuk berjumpa doktor dengan segera jika anda mengalami gejala-gejala penyakit SLE.

Hidup dengan penyakit SLE boleh memberikan pelbagai cabaran kepada pesakit. Dapatkan bantuan doktor dan kaunselor jika anda merasa stres atau mengalami gejala kemurungan disebabkan kesukaran menghadapi penyakit ini. Pesakit juga boleh menyertai kumpulan sokongan pesakit SLE bagi mendapatkan motivasi, tips, serta panduan bagaimana menangani penyakit ini dengan lebih berkesan.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.