Penyakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE)

Penyakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) ataupun hanya dikenali sebagai lupus merupakan penyakit keradangan kronik disebabkan masalah autoimmune.

Penyakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) ataupun hanya dikenali sebagai lupus merupakan penyakit yang jarang didengari namun merupakan penyakit keradangan kronik yang boleh menjadi serius.

Patofisiologi Lupus

Lupus adalah radang teruk (inflamasi kronik) yang disebabkan oleh sistem imun badan pesakit sendiri (penyakit autoimun) di mana sistem pertahanan badan yang tidak normal melawan tisu badan sendiri.

Antara tisu badan dan organ yang boleh terlibat adalah seperti kulit, jantung, paru-paru, buah pinggang, sendi, dan sistem saraf. Jika tisu kulit sahaja yang terlibat, ia lebih dikenali sebagai diskoid lupus.

Jika organ-organ dalaman turut terlibat, ia dikenali sebagai Sistemik Lupus Erythematosus (SLE).

Punca Sistemik Lupus Erythematosus (SLE)

Sehingga kini faktor yang merangsangkan sistem pertahanan diri untuk menjadi tidak normal belum diketahui. Ada kemungkinan faktor genetik, kuman virus, sinaran ultraviolet, dan ubat-ubatan tertentu memainkan peranan.

Penyakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) ini lebih kerap ditemui di kalangan kaum wanita. Ini membayangkan bahawa hormon yang terdapat pada wanita memainkan peranan besar, walaubagaimanapun perkaitan antara Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) dan hormon wanita masih dalam kajian.

Penyakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) bukanlah suatu penyakit keturunan. Walaubagaimanapun, mewarisi gabungan gen tertentu meningkatkan lagi risiko seseorang itu menghidap penyakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE).

Tanda dan gejala penyakit lupus

Gejala-gejala Lupus

Diskoid Lupus

Ruam di muka, kepala dan anggota-anggota lain badan. Diskoid Lupus kelihatan merah dan timbul di pinggiran ruam. Ia biasanya tidak sakit atau gatal.

Ruam ini pulih dengan meninggalkan parut. Diskoid Lupus selalunya tidak serius dan jarang sekali melarat melibatkan orgon-organ lain.

Ruam diskoid lupus

Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) 
 

  • Kemerahan di muka terutamanya di pipi dan batang hidung, yang berbentuk rama-rama.
  • Ulser di dalam mulut
  • Keguguran rambut
  • Demam berpanjangan.
  • Sensitif terhadap pancaran matahari. Pesakit mudah mengalami kemerahan atau ruam di bahagian badan yang terdedah kepada pancaran matahari seperti muka dan tangan.
  • Radang (inflamasi) organ dalaman akan menimbulkan bermacam-macam tanda bergantung kepada organ yang terlibat. Contohnya, inflamasi otak boleh menyebabkan pesakit berasa sakit kepala, sawan, atau berkelakuan aneh seperti pesakit mental.
  • Penglibatan buah pinggang pula boleh menyebabkan bengkak kaki dan pengeluaran protin yang berlebihan dalam air kencing. Jika berlarutan tanpa dirawat, Sistemik Lupus Erythematosus boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang.

Tidak semestinya semua gejala-gejala ini berlaku di kalangan pesakit-pesakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) pada satu-satu masa.

Oleh itu penampilan penyakit ini boleh berbeza antara satu pesakit dengan yang lain bergantung kepada gabungan (kombinasi) organ dan gejala-gejala yang terlibat.

Ruam berbentuk rama-rama

Rawatan

Rawatan-rawatan yang ada sekarang bertujuan untuk mengawal gejala-gejala dan mengurangkan komplikasi yang disebabkan oleh penglibatan organ-organ dalaman.

Pesakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) yang  mengalami gejala-gejala ringan atau tidak serious tidak perlu ubat-ubatan tetapi memandai dengan ubat anti keradangan / (anti-inflamasi) untuk jangkamasa singkat sahaja.

Jika organ-organ dalaman yang terlibat, ubat-ubatan seperti steroid atau gabungan bersama ubat immunosuppression (ubat melawan imun) adalah diperlukan.

Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) dan Kehamilan

Memandangkan Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) lazim ditemui di kalangan wanita, masalah kehamilan selalu dipersoalkan. Antara masalah-masalah yang boleh dihadapi ialah:

  1. Risiko keguguran kandungan. 
    • Terutama di peringkat awal atau akhir mengandung. 
  2. Komplikasi lain semasa mengandung. 
    • Penyakit lupus menjadi aktif semula semasa mengandung.
  3. Risiko mengidap darah tinggi, kencing manis dan komplikasi buah pinggang adalah tinggi.

Oleh itu pesakit-pesakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) wanita adalah dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor yang merawat sebelum mengandung. Pesakit-pesakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) yang mengandung pula perlu membuat pemeriksaan antenatal yang kerap dan diwajibkan melahirkan anak di hospital.

Organ yang boleh terlibat dalam penyakit SLE

Bagaimana pesakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) boleh mengelak penyakit ini menjadi aktif.

Pesakit mestilah mengenal gejala-gejala Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) yang menandakan penyakit menjadi aktif semula supaya rawatan dapat disesuaikan diperingkat awal sebelum ia menjadi lebih teruk.

Antara saranan yang boleh dilakukan oleh pesakit SLE adalah seperti berikut:

  • Mengelakkan banyak terdedah kepada pancaran matahari. Ini boleh dilakukan dengan memakai baju berlengan panjang, berpayung, bertopi, dan juga memakai sunscreen.
  • Mengelakkan daripada putus ubat terutamanya steroida tanpa nasihat doktor yang merawat.
  • Perlu mengikuti rawatan lanjutan di klinik-klinik yang mengubati pesakit-pesakit SLE.

Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) adalah suatu penyakit yang boleh membabitkan pelbagai anggota badan, dan berpotensi menyebabkan penyakit yang serious.

Walaubagaimanapun, kebanyakan pesakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) boleh mengecapi kehidupan normal seperti orang lain. Kunci kejayaan ini bergantung kepada interaksi pesakit dan doktor yang merawat dan pemahaman terhadap penyakit Sistemik Lupus Erythematosus (SLE).

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.