Penyakit Endometriosis – Diagnosis dan Rawatan

Jenis rawatan untuk penyakit endometriosis bergantung kepada tahap keterukan simptom yang anda alami dan juga jika anda ingin mencuba untuk hamil.

Diagnosis

Doktor akan bertanyakan dengan lebih mendalam berkenaan simptom dan sejarah penyakit beserta lokasi pada bahagian pelvis yang sakit.

Pemeriksaan fizikal dan beberapa prosedur mungkin akan dijalankan seperti:

  • Pemeriksaan pelvis. Pemeriksaan pelvis dijalankan untuk melihat sebarang tanda tidak normal seperti ketumbuhan, parut ataupun bekas pembedahan lama. Selalunya sukar untuk merasai sebarang ketumbuhan atau cyst semasa pemeriksaan fizikal dan ujian lanjut perlu dijalankan.
  • Ultrasound. Imbasan ultrasound digunakan untuk melihat keadaan dalaman bahagian perut dan pelvis. Ultrasound boleh juga dimasukkan melalui laluan faraj untuk melihat dengan lebih jelas keadaan dalaman pelvis. Ultrasound dapat membantu mellihat sebarang struktur tidak normal seperti ketumbuhan ataupun cyst.
  • Imbasan MRI. Ujian pengimejan MRI membantu melihat keadaan tisu dan organ di bahagian pelvis dan abdomen. MRI juga dapat membantu dalam perancangan pembedahan, kerana pakar bedah boleh mengenalpasti lokasi dan saiz tisu endometrium yang berada di luar rahim.
  • Laparoskopi. Laparoskopi merupakan pembedahan memasukkan kamera melalui abdomen untuk melihat dengan lebih jelas lagi keadaan di dalam abdomen dan pelvis. Anda akan diberikan bius penuh dan potongan kecil akan dibuat untuk memasukkan kamera. Laparoskopi membantu doktor mencari tisu endometrium dari segi lokasi, saiz dan organ yang terlibat. Selain itu, sampel untuk ujian boleh terus diambil untuk merancang rawatan yang seterusnya. Rawatan juga boleh terus dilakukan di mana tisu endometrium boleh dikeluarkan semasa prosedur laparoskopi.

Rawatan

Rawatan endometriosis selalunya melibatkan ubat-ubatan dan pembedahan. Jenis rawatan bergantung kepada tahap keterukan simptom yang anda alami dan juga jika anda ingin mencuba untuk hamil.

Selalunya doktor akan mencuba rawatan konservatif (ubat-ubatan) dahulu dan jika masih gagal barulah pembedahan akan dijalankan.

Ubat penahan sakit

Doktor akan menggunakan ubat penahan sakit seperti kumpulan NSAIDs contohnya ubat ibuprofen dan naproxen untuk melegakan kesakitan dan kekejangan ketika haid.

Rawatan hormon juga boleh diberikan bersama-sama ubat penahan sakit jika anda tidak mahu mencuba untuk hamil.

Rawatan hormon

Rawatan hormon kadangkala berkesan untuk mengurangkan atau menghilangkan kesakitan akibat endometriosis. Peningkatan dan pengurangan hormon ketika kitaran haid menyebabkan sel endometrium menebal dan menghasilkan darah haid. Rawatan hormon mungkin boleh merencatkan aktiviti tisu endometrium dan mengelakkan penghasilan sel endometrium yang baru.

Walaupun begitu, rawatan hormon bukanlah rawatan jangka panjang kerana simptom akan muncul semula selepas pengambilan hormon dihentikan.

Antara ubat dan hormon yang boleh digunakan untuk merawat endometriosis adalah seperti:

  • Ubat pencegah kehamilan. Ubat pencegah kehamilan boleh diambil dalam bentuk pil, implan dan lain-lain lagi. Ianya mengandungi hormon yang dapat membantu mengawal aktiviti tisu endometrium semasa kitaran haid. Selalunya pesakit akan mendapat haid dalam jumlah yang sedikit dan sekejap apabila mengambil hormon ini dan membantu dalam mengurangkan simptom endometriosis.
  • Gonadotropin-releasing hormone (Gn-RH) agonis dan antagonis. Ubat ini dapat menghalang penghasilan hormon perangsang ovari, seterusnya mengurangkan kadar estrogen lalu menghalang kitaran haid berlaku. Ianya juga boleh menyebabkan sel endometrium mengecut. Ubat ini akan menyebabkan menopaus sementara dan kitaran haid akan kembali seperti biasa apabila pengambilan ubat ini dihentikan.
  • Terapi Progestin. Boleh didapati dalam bentuk alat dalam rahim, implant dan juga pil. Ianya membantu untuk menghentikan kitaran haid dan aktiviti tisu endometrium seterusnya mengurangkan simptom endometriosis.
  • Ubat Penghalang Aromatase. Penghalang aromatase merupakan kumpulan ubat yang dapat mengurangkan kadar estrogen dalam badan. Doktor selalunya akan menggabungkan kumpulan ini dengan ubat progestin atau ubat pencegah kehamilan untuk merawat endometriosis.

Pembedahan konservatif

Jika anda menghidap endometriosis dan ingin hamil, pembedahan untuk membuang tisu endometriosis di luar rahim dan mengekalkan organ rahim dan ovari (pembedahan konservatif) boleh membantu meningkatkan peluang kehamilan. Jika anda menghadapi kesakitan teruk, pembedahan ini juga boleh membantu, namun penyakit endometriosis dan kesakitan boleh berulang.

Pembedahan ini boleh dilakukan secara laparoskopik ataupun melalui belahan perut jika kawasan terlibat lebih meluas. Walaubagaimanapun pembedahan ini selalunya dilakukan secara laparoskopik.

Dalam pembedahan laparoskopik, belahan kecil akan dilakukan berdekatan pusat dan kamera kecil akan dimasukkan. Peralatan untuk membuang tisu endometrium akan dimasukkan melalui lubang yang lain. Selepas pembedahan, doktor mungkin akan mencadangkan rawatan hormon untuk membantu mengurangkan kesakitan.

rawatan penyakit endometriosis
Laparoskopi dilakukan untuk melihat bahagian pelvis

Rawatan kesuburan

Endometriosis boleh menyebabkan masalah kesuburan. Jika anda sukar untuk hamil, doktor boleh mencadangkan rawatan kesuburan di bawah seliaan pakar kesuburan. Rawatan ini boleh dilakukan melalui rangsangan ovari untuk mengeluarkan telur sebelum persenyawaan in vitro dilakukan. Doktor pakar kesuburan akan mencadangkan rawatan bergantung kepada keadaan pesakit.

Pembedahan membuang rahim dan ovari

Pembedahan untuk membuang rahim (histerektomi) dan ovari (oophorektomi) dahulunya merupakan rawatan utama untuk endometriosis. Namun kini pakar hanya akan melakukannya selepas cubaan membuang kesemua tisu endometrium di luar rahim terlebih dahulu.

Pembuangan ovari akan menyebabkan haid terhenti (menopaus). Apabila ovari dibuang, hormon akan kurang dihasilkan dan simptom endometriosis juga akan berkurang namun ada yang masih mengalami simptom berterusan. Menapaus awal juga boleh menyebabkan risiko penyakit jantung dan salur darah yang lain termasuk masalah metabolik.

Pembuangan rahim kadangkala boleh merawat simptom endometriosis seperti pendarahan haid yang banyak dan kesakitan disebabkan oleh kekejangan rahim. Selain itu, tiada lagi peluang untuk mengandung dan kesihatan jangka panjang juga mungkin terjejas jika ianya dibuang sebelum berumur 35 tahun.

Doktor akan mencadangkan pembedahan yang sesuai mengikut keadaan dan pilihan setiap individu. Bincang dengan mendalam bersama doktor anda sebelum membuat keputusan.

Perubahan gaya hidup

Jika sakit masih berterusan sementara menunggu rawatan daripada doktor, anda boleh mencuba tips berikut untuk memberikan kelegaan.

  • Mandian air panas atau pad haba untuk meregangkan otot pelvis yang membantu untuk mengurangkan kekejangan serta kesakitan.
  • Ubat penahan sakit yang dibeli dari farmasi contohnya ubat dari kumpulan NSAIDs seperti ibuprofen dan naproxen untuk mengurangkan kesakitan dan kekejangan ketika haid.

Perubatan alternatif

Terdapat sesetengah laporan menyatakan kesakitan akibat endometriosis boleh dikurangkan dengan rawatan akupuntur. Namun tiada kajian yang benar-benar kukuh sama ada akupuntur ataupun rawatan alternatif lain dapat membantu. Namun rawatan ini boleh dicuba setelah mendapat nasihat doktor.

Sokongan dan adaptasi

Jika anda menghidap penyakit endometriosis, anda boleh menyertai kumpulan sokongan untuk endometriosis ataupun masalah kesuburan. Kadangkala perkongsian dengan pesakit yang lain dapat membantu menghadapi masalah ini. Kumpulan sokongan mestilah yang bertauliah dan bukannya melibatkan penjual produk.

Bacaan lanjut berkenaan penyakit endometriosis:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.