Penyakit Busung atau Ascites – Punca, Tanda dan Rawatan

Ramai yang menganggap penyakit busung berpunca oleh sihir atau "buatan orang" namun ia sebenarnya adalah masalah perubatan yang perlu dirawat.

Penyakit busung dikenali juga sebagai ascites (sebutan a-sai-tis) dalam bidang perubatan. Penyakit ini berlaku apabila terdapat lebih daripada 25 mililiter (mL) cecair terkumpul di dalam ruang abdomen. Penyakit busung selalunya berlaku apabila fungsi hati terjejas. Hati yang rosak akan menyebabkan pengumpulan cecair pada ruang abdomen di sekeliling organ.

Menurut kajian, apabila penyakit busung berlaku akibat kerosakan hati, peluang hidup melebihi dua tahun adalah pada kadar 50 peratus sahaja. Jika anda mempunyai gejala busung sila berjumpa doktor dengan segera.

Ramai yang menganggap bahawa penyakit busung adalah disebabkan oleh sihir atau “buatan orang” namun ia sebenarnya adalah masalah perubatan yang perlu dirawat segera sebelum menjadi lebih teruk.

Punca penyakit busung

Busung atau ascites selalunya disebabkan oleh parut pada hati yang dikenali juga sebagai sirosis. Sirosis akan meningkatkan tekanan pada saluran darah dalam hati dan memaksa cecair pergi ke ruang lapisan dalam abdomen seterusnya menyebabkan busung.

Keratan rentas abdomen menunjukkan pengumpulan cecair ketika busung berlaku.

Faktor risiko busung

Kerosakan hati merupakan faktor risiko utama untuk seseorang mengalami busung. Antara punca kerosakan hati termasuklah:

  • Masalah sirosis
  • Hepatitis B dan C
  • Pengambilan alkohol

Penyakit lain yang boleh meningkatkan risiko mendapat busung termasuklah:

Bila perlu berjumpa doktor

Gejala penyakit busung boleh muncul secara tiba-tiba atau perlahan-lahan, bergantung kepada punca pengumpulan cecair di lapisan dalam abdomen.

Gejala tersebut bukanlah kecemasan tetapi anda perlu berjumpa doktor dengan segera untuk mencari puncanya dan mencegahnya dari menjadi lebih teruk. Antara gejala tersebut adalah:

  • Abdomen semakin membesar dan membengkak
  • Naik berat badan secara tiba-tiba dan mendadak
  • Sukar bernafas apabila baring
  • Kurang selera makan
  • Sakit abdomen
  • Perut kembung
  • Pening dan muntah
  • Sakit ulu hati

Selain itu mungkin juga terdapat gejala lain yang menjadi punca penyakit busung.

Pengesanan penyakit busung

Doktor akan bertanyakan mengenai sejarah penyakit dan gejala yang berlaku dengan lebih mendalam. Pemeriksaan fizikal juga akan dilakukan terutamanya pada bahagian abdomen.

Kemudian ujian pengimbasan akan dilakukan untuk mengesahkan kewujudan busung atau ascites. Antara ujian tersebut adalah:

  • Ultrasound
  • Imbasan CT
  • MRI
  • Ujian darah
  • Laparoskopi
  • Angiografi

Rawatan penyakit busung

Rawatan utama penyakit busung bergantung kepada puncanya. Namun beberapa rawatan boleh diberikan untuk mengurangkan gejala penyakit busung.

Ubat diuretik

Ubat diuretik boleh membantu merawat busung dengan meningkatkan pengeluaran garam serta air daripada badan seterusnya mengurangkan tekanan dalam salur darah vena pada hati.

Apabila mengambil diuretik, doktor akan memantau kandungan elektrolit dalam badan anda. Anda juga perlu mengurangkan pengambilan alkohol dan garam.

Prosedur paracentesis

Dalam prosedur ini, jarum yang halus dan panjang akan digunakan untuk membuang lebihan cecair di dalam lapisan abdomen. Ianya akan dimasukkan melalui kulit abdomen terus ke dalam ruangan abdomen. Terdapat risiko jangkitan dan jika ianya berlaku ubat antibiotik akan diberikan.

Prosedur ini akan dilakukan untuk gejala busung yang sangat teruk atau berulang. Diuretik selalunya kurang berkesan jika sudah mencapai tahap ini.

Prosedur paracentesis untuk membuang air dari ruang abdomen.

Pembedahan

Jika gejala terlampau teruk, sejenis tiub kekal mungkin perlu dimasukkan. Tiub ini berfungsi untuk mengalihkan aliran darah ke hati seterusnya mengurangkan tekanan yang menyebabkan terjadinya busung.

Jika masih tidak berkesan, doktor mungkin akan mencadangkan pemindahan hati terutamanya untuk kerosakan hati tahap akhir.

Komplikasi busung

Komplikasi yang boleh disebabkan penyakit busung termasuklah:

  • Sakit pada abdomen
  • Pleural effusion atau pengumpulan air di dalam lapisan sekeliling paru-paru yang boleh menyebabkan sesak nafas
  • Angin pasang atau hernia inguinal
  • Jangkitan kuman yang dipanggil spontaneous bacterial peritonitis (SBP)
  • Sindrom hepatorenal, iaitu kerosakan buah pinggang secara berterusan

Rumusan

Penyakit busung tidak boleh dicegah tanpa merawat puncanya. Anda perlu mengelakkan penyakit-penyakit yang boleh merosakkan hati. Tips berikut boleh diamalkan untuk menjaga kesihatan hati anda:

  • Berhenti atau kurangkan pengambilan alkohol untuk mencegah sirosis hati
  • Dapatkan vaksin hepatitis B
  • Amalkan seks selamat dengan menggunakan kondom kerana hepatitis boleh dijangkiti secara hubungan seksual
  • Elakkan perkongsian jarum
  • Tahu berkenaan kesan sampingan ubat anda. Tanya doktor atau ahli farmasi berkenaan kesan sampingan setiap ubat yang diambil terutamanya jika boleh merosakkan hati.
  • Jangan mengambil ubat suplemen, herba dan jamu secara sebarangan dan berlebihan.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.