Penyakit Bronkiolitis – Tanda-tanda dan Rawatan

Virus yang menyebabkan bronkiolitis boleh merebak melalui titisan air apabila mereka yang menghidap penyakit ini batuk, bersin atau bercakap.

Bronkiolitis merupakan jangkitan virus terhadap saluran pemafasan kecil yang dipanggil bronkiol. Kuman virus yang sering sekali menyebabkan bronkiolitis ialah virus RSV (Respiratory Syncytial Virus).

Penyakit bronkiolitis sering terjadi pada kanak-kanak yang berumur kurang daripada setahun. Saluran penafasan ini akan mengecut akibat lendir yang dihasilkan oleh sel-sel bronkiol. Pengecilan saluran pernafasan ini boleh menyebabkan anak sakit tenat dan memerlukan rawatan di hospital.

Bronkiolitis sering sekali bermula dengan selesema dan anak mungkin akan batuk. Kanak-kanak akan beransur pulih dalam tempoh masa 3 hingga 10 hari.

Virus yang menyebabkan bronkiolitis boleh merebak melalui titisan air apabila mereka yang menghidap penyakit ini batuk, bersin atau bercakap. Ianya juga boleh berjangkit melalui sentuhan atau virus pada objek yang dikongsi dengan pesakit.

Tanda-tanda

  • Umur kurang daripada setahun
  • Batuk
  • Kadar pemafasan yang cepat (lebih 60 seminit)
  • Nafas berbunyi
  • Demam
  • Selesema
  • Enggan makan atau minum.
  • Kadangkala terdapat juga jangkitan telinga

Tindakan ibu bapa

  •  Peka terhadap pernafasan anak jika ianya lebih laju dari biasa atau berbunyi.
  • Sukat suhu badan anak setiap 6 jam dan beri ubat paracetamol jika anak demam. 
  • Jangan merokok kerana ini akan membuatkan jangkitan ini lebih teruk. 
  • Galakkan anak minum secukupnya.

Rujukan kepada doktor

  • Bayi yang dilahirkan pramatang mempunyai tanda-tanda di atas.
  • Bayi menghidap sakit jantung berlubang
  • Demam lebih daripada 38’C
  • Kurang daya makan atau minum, muntah-muntah
  • Kelihatan semput, pernafasan yang semakin sesak, kurang aktif
  • Antara tanda bayi sesak nafas adalah dada akan tertarik ke dalam ketika menarik nafas atau subcostal recession. Lihat video di bawah
  • Anak sesak nafas, menjadi biru atau berhenti bernafas adalah tanda yang serius, hantar anak ke hospital dengan segera!

Pencegahan Bronkiolitis

Bayi yang berumur kurang daripada 6 bulan harus dijauhi daripada sesiapa yang menghidap selesema atau demam. Basuh tangan anda dengan sabun sebelum memegang bayi. Ini akan mengurangkan risiko jangkitan virus terhadap bayi tersebut. Risiko menghidap bronkiolitis juga dapat dikurangkan jika bayi diberi susu badan. 

Komplikasi Bronkiolitis

Bronkiolitis yang teruk boleh menyebabkan masalah berikut:

  • Bibir atau kulit menjadi biru (cyanosis) disebabkan kekurangan oksigen
  • Pernafasan terhenti (apnea) yang biasa terjadi pada kanak-kanak pramatang atau umur kurang dari 2 bulan
  • Kekurangan air atau dehidrasi
  • Kegagalan pernafasan dan tahap oksigen rendah

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.