Penyakit Berjangkit – Punca, Faktor Risiko dan Rawatan

Penyakit berjangkit berlaku diseluruh dunia namun terdapat penyakit yang lebih kerap berlaku di kawasan tertentu seperti demam denggi di Malaysia.

Penyakit berjangkit bermaksud penyakit yang boleh tersebar dari seorang individu kepada individu yang lain. Penyakit berjangkit adalah disebabkan oleh pelbagai jenis kuman termasuklah bakteria, virus, kulat dan parasit.

Penyakit berjangkit boleh disebarkan dengan pelbagai cara seperti:

  • Sentuhan terus
  • Melalui air atau makanan
  • Melalui udara
  • Melalui haiwan dan serangga seperti nyamuk

Tanda-tanda dan gejala penyakit berjangkit bergantung kepada perumah dan juga kuman yang menjangkiti pesakit.

Penyakit berjangkit berlaku diseluruh dunia. Namun terdapat penyakit berjangkit yang lebih kerap berlaku di kawasan-kawasan tertentu seperti demam denggi di Malaysia.

Faktor risiko

Sesiapa sahaja boleh mendapat penyakit berjangkit. Mereka yang mempunyai masalah kelemahan sistem imuniti lebih berisiko mendapat sesetengah penyakit berjangkit. Antara mereka yang berisiko termasuklah:

  • Mereka yang lemah sistem imuniti (pertahanan badan) seperti pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan atau mereka yang menerima pemindahan organ.
  • Mereka yang tidak divaksin untuk penyakit-penyakit tertentu.
  • Pekerja kesihatan.
  • Mereka yang mengembara ke kawasan berisiko tinggi mungkin terdedah kepada punca penyakit berjangkit seperti malaria, demam denggi dan penyakit Zika.

Komplikasi penyakit berjangkit

Kebanyakan penyakit berjangkit boleh menyebabkan pelbagai komplikasi. Ianya boleh menyebabkan komplikasi yang ringan seperti demam, bersin, ruam kulit atau kepenatan. Namun terdapat juga komplikasi yang lebih berbahaya seperti kanser yang boleh disebabkan oleh penyakit hepatitis B dan C dan juga virus HPV (human papillomavirus).

Bagi komplikasi yang ringan, ianya akan hilang setelah penyakit sembuh.

Tanda-tanda dan gejala

Tanda-tanda dan gejala penyakit berjangkit bergantung kepada kuman yang menyerang seseorang. Sebagai contoh gejala yang disebabkan oleh virus influenza termasuklah:

  • Demam
  • Menggigil
  • Hidung tersumbat
  • Letih
  • Sakit badan dan sakit kepala

Manakala bakteria Shigella pula akan menyebabkan gejala yang lebih teruk seperti:

  • Cirit-birit berdarah
  • Muntah
  • Demam
  • Kurang air (dehidrasi)
  • Renjatan (shock)

Seseorang pesakit selalunya akan mengalami lebih daripada satu gejala. Adalah penting untuk mendapatkan rawatan perubatan bagi mengenalpasti punca-punca penyakit berjangkit sebelum ianya menjadi lebih teruk.

Punca penyakit berjangkit

Antara punca penyakit berjangkit yang boleh menyerang manusia adalah disebabkan oleh mikroorganisma seperti berikut:

  • Virus yang menceroboh dan membiak di dalam sel manusia
  • Bakteria
  • Kulat
  • Parasit yang boleh hidup di dalam tubuh manusia seperti cacing

Penyakit berjangkit boleh tersebar melalui beberapa cara. Kebanyakannya adalah melalui sentuhan terus dari kulit-ke-kulit (termasuk ketika melakukan hubungan seksual) ataupun menyentuh objek yang pernah disentuh oleh mereka yang berpenyakit seperti tombol pintu.

Sentuhan dengan cecair tubuh pesakit seperti darah dan air liur juga boleh menyebarkan kuman. Sesetengah penyakit boleh disebarkan melalui titisan air apabila pesakit batuk atau bersin. Titisan air ini akan bergerak di udara dan boleh disedut oleh orang lain yang berdekatan.

Dalam sesetengah kes, terdapat kuman yang akan kekal di dalam udara dalam partikel yang kecil untuk suatu tempoh. Orang lain yang menyedut udara tersebut akan dijangkiti. Hanya beberapa kuman yang tersebar melalui cara ini seperti tuberkulosis dan virus rubella.

Pengesanan penyakit berjangkit

Penyakit berjangkit boleh dikesan dengan menggunakan ujian makmal tertentu. Sampel darah, urin, najis, mukus dan cecair badan yang lain boleh diperiksa untuk menentukan jika terdapat kuman di dalam badan seseorang.

Terdapat juga kuman yang boleh dilihat di bawah mikroskop seperti malaria. Walaubagaimanapun kebanyakan kuman adalah bersaiz sangat halus dan perlu dibiakkan terlebih dahulu dengan menggunakan kultur bagi mengesahkan kehadirannya.

Rawatan penyakit berjangkit

Rawatan adalah bergantung kepada jenis mikroorganisma yang menyebabkan jangkitan.

  • Jika disebabkan bakteria, rawatan dengan menggunakan antibiotik selalunya berkesan.
  • Jika disebabkan jangkitan virus, rawatan sokongan akan diberikan seperti rehat dan memastikan pengambilan air yang mencukupi. Kadangkala ubat antivirus diperlukan seperti oseltamivir phosphate (TamifluĀ®).
  • Untuk rawatan kulat dan parasit pula, ubat antifungal seperti fluconazole, dan ubat anti-parasit, seperti seperti mebendazole boleh digunakan.

Untuk kebanyakan penyakit berjangkit, doktor akan merawat penyakit tersebut mengikut garispanduan terbaru yang dikeluarkan. Bincang dengan doktor anda berkenaan rawatan terbaik untuk jenis jangkitan yang anda alami.

Pencegahan penyakit berjangkit

Vaksin merupakan cara terbaik untuk mencegah penyakit berjangkit termasuklah hepatitis, diphtheria, influenza dan herpes zoster. Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjalankan Program Imunisasi Kebangsaan dengan memberikan vaksinasi percuma kepada kanak-kanak untuk penyakit tertentu.

Selain itu, vaksin tambahan juga boleh diambil di klinik swasta bagi meningkatkan lagi daya ketahanan seseorang atau jika mereka ingin pergi ke kawasan yang berisiko mendapat penyakit berjangkit.

Setiap tahun terdapat banyak vaksin baru yang dihasilkan, bincang dengan doktor anda jika terdapat vaksin yang dapat membantu mengurangkan jangkitan terhadap anda atau anak anda.

Risiko mendapat penyakit berjangkit juga boleh dikurangkan dengan melakukan perkara berikut:

  • Membasuh tangan menggunakan air dan sabun dengan kerap.
  • Menutup hidung dan mulut apabila batuk atau bersin.
  • Selalu menyahkuman kawasan yang kerap disentuh di rumah dan pejabat.
  • Elakkan berada berdekatan dengan mereka yang sedang menghidap penyakit berjangkit.
  • Jangan makan atau minum dari sumber air yang tercemar.
  • Jangan berkongsi makanan dan minuman dengan mereka yang sedang menghidap penyakit berjangkit.

Kesan jangka panjang

Selepas mendapat rawatan, selalunya pesakit akan pulih sepenuhnya. Namun terdapat sesetengah penyakit berjangkit yang masih belum dapat disembuhkan seperti HIV (human immunodeficiency virus). Rawatan adalah memfokuskan kepada pengawalan gejala dan mencegah penyakit ini daripada menjadi lebih teruk.

Namun sejak akhir-akhir ini, rawatan menggunakan ubat antibiotik mungkin tidak lagi berkesan terhadap sesetengah kuman kerana masalah kerintangan ubat antibiotik. Kuman ini akan menjadi kebal terhadap antibiotik tertentu dan semakin sukar untuk dipulihkan. Sila ikuti nasihat doktor berkenaan cara pengambilan antibiotik yang betul supaya masalah kerintangan ubat dapat dikurangkan.

Bila perlu berjumpa doktor

Jumpa doktor dengan segera jika anda mengalami gejala-gejala penyakit berjangkit, terutamanya jika ianya tidak pulih dan menjadi semakin teruk. Gejala seperti demam, muntah dan cirit-birit boleh menyebabkan komplikasi yang lebih berbahaya termasuk dehidrasi.

Selain itu jika anda ingin melancong ke kawasan berisiko tinggi, dapatkan nasihat doktor jika anda perlu mengambil vaksin.

Jika anda sedang menerima rawatan untuk penyakit berjangkit, pastikan ubat antibiotik yang diberikan dimakan sehinga habis bagi mengelakkan berlakunya kerintangan ubat antibiotik.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.