Penyakit Anemia – Punca, Tanda dan Rawatan

Anemia boleh menandakan seseorang itu mungkin mengalami penyakit yang lebih serius seperti kanser, penyakit hati dan pendarahan dalaman.

Anemia berlaku apabila paras sel darah merah yang normal dalam badan menjadi rendah. Sel darah merah berfungsi menghantar oksigen ke seluruh tisu badan, jadi paras sel darah merah yang rendah bermaksud kandungan oksigen di dalam darah juga menjadi rendah.

Kebanyakan gejala penyakit anemia adalah disebabkan oleh kekurangan oksigen yang dihantar kepada organ dan tisu badan. Tahap anemia dikira berdasarkan jumlah kandungan hemoglobin – sejenis protein di dalam sel darah merah yang membawa oksigen daripada paru-paru ke tisu badan yang lain.

Lebih kurang 1.6 bilion orang di seluruh dunia menghidap anemia. Wanita dan penghidap penyakit kronik seperti kanser lebih berisiko mendapat anemia.

Punca-punca anemia

Zat besi, vitamin B-12 dan folate amat penting bagi membolehkan sel darah merah menjadi matang. Setiap hari, lebih kurang 1 peratus daripada keseluruhan sel darah merah perlu digantikan kerana jangka hayat sel darah merah adalah selama 100 ke 120 hari sahaja. Jika keseimbangan sel darah merah terganggu, seperti kurang penghasilan atau banyak sel darah merah yang musnah, maka anemia akan berlaku.

Punca-punca anemia boleh dibahagikan kepada punca yang boleh mengurangkan penghasilan sel darah merah dan juga punca yang boleh meningkatkan kemusnahan sel darah merah.

Punca yang mengurangkan penghasilan sel darah merah

Antara punca pengurangan penghasilan sel darah merah termasuklah:

  • Kekurangan hormon erythropoietin yang dihasilkan oleh buah pinggang yang berfungsi untuk merangsang penghasilan sel darah merah
  • Kekurangan pengambilan vitamin B-12, zat besi dan folate
  • Masalah hipotiroidism

Punca yang meningkatkan kemusnahan sel darah merah

Punca utama yang menyebabkan kemusnahan atau kehilangan sel darah merah adalah pendarahan. Pendarahan boleh berlaku ketika:

  • Endometriosis
  • Kemalangan
  • Luka pada saluran pencernaan
  • Darah haid
  • Proses melahirkan anak
  • Pendarahan rahim berlebihan
  • Pembedahan
  • Sirosis hati, iaitu parut pada hati
  • Fibrosis (tisu parut) di dalam sum-sum tulang
  • Hemolisis, kemusnahan sel darah merah yang boleh berlaku disebabkan sesetengah ubat atau ketidaksesuaian darah Rh
  • Penyakit hati dan limpa
  • Penyakit genetik seperti:

Anemia yang disebabkan kekurangan zat besi adalah yang paling kerap berlaku dan meliputi lebih kurang separuh daripada keseluruhan kes-kes anemia di seluruh dunia.

Keperluan nutrisi harian dan anemia

Keperluan harian vitamin dan zat besi berbeza mengikut jantina dan umur.

Wanita memerlukan lebih banyak zat besi dan folate daripada lelaki kerana terdapat kehilangan zat besi ketika kitaran haid dan juga untuk perkembangan janin ketika mengandung serta menyusu badan.

Zat besi

Pengambilan zat besi harian yang dicadangkan bagi orang dewasa berumur 19 ke 50 tahun adalah seperti berikut:

Untuk lelaki8 mg
Untuk wanita18 mg
Ketika mengandung27 mg
Ketika menyusu badan9 mg

Lelaki dan wanita berumur melebihi 50 tahun hanya memerlukan 8 mg zat besi setiap hari. Namun jika pengambilan melalui pemakanan masih tidak mencukupi, suplemen mungkin diperlukan.

Antara sumber pemakanan yang kaya dengan zat besi termasuklah:

  • Hati ayam dan lembu
  • Daging ayam belanda
  • Daging merah seperti daging lembu
  • Makanan laut
  • Oatmeal
  • Lentil
  • Kekacang
  • Sayur bayam

Folate

Folate merupakan sejenis asid folik yang dihasilkan secara semulajadi oleh badan.

Lelaki dan wanita yang berumur lebih dari 14 tahun memerlukan lebih kurang 400 mikrogram (mcg) folate setiap hari.

Bagi wanita yang sedang mengandung atau menyusu badan pula, pengambilan yang disarankan adalah sebanyak 500 ke 600 mcg sehari.

Antara makanan yang kaya dengan folate termasuklah:

  • Hati lembu
  • Lentil
  • Bayam
  • Kekacang
  • Asparagus
  • Telur

Selain itu ianya juga boleh didapati dari roti dan cereal yang telah diperkaya.

Vitamin B-12

Cadangan pengambilan vitamin B-12 untuk orang dewasa adalah sebanyak 2.4 mcg setiap hari. Bagi wanita mengandung pula perlu mengambil sebanyak 2.6 mcg setiap hari manakala bagi yang menyusu badan pula sebanyak 2.8 mcg sehari.

Hati lembu dan kerang merupakan sumber vitamin B-12 terbaik. Selain itu, vitamin B-12 juga terdapat pada:

  • Ikan
  • Daging
  • Ayam
  • Telur
  • Produk tenusu

Namun jika masih tidak mencukupi, pengambilan suplemen mungkin diperlukan.

Tanda-tanda dan gejala

Mereka yang mengalami anemia akan menjadi pucat dan merasa sejuk.

Selain itu, mereka juga boleh mengalami:

  • Pening dan rasa ingin pitam terutamanya apabila berdiri atau melakukan aktiviti
  • Ingin memakan benda yang pelik seperti ais, tanah dan debu
  • Sukar menumpukan perhatian
  • Cepat penat
  • Sembelit

Sesetengah anemia boleh menyebabkan keradangan pada lidah yang akan menyebabkan lidah menjadi licin, berkilat, kemerahan dan sakit.

Jika anemia terlampau teruk, seseorang mungkin akan pengsan. Gejala lain yang boleh berlaku termasuklah:

  • Kuku menjadi rapuh
  • Sesak nafas
  • Sakit dada

Kandungan oksigen dalam darah boleh menjadi sangat rendah sehingga pesakit boleh mengalami serangan jantung.

Jika pemeriksaan fizikal dilakukan, antara tanda-tanda yang boleh didapati termasuklah:

  • Tekanan darah tinggi atau rendah
  • Kulit pucat
  • Jaundis
  • Kadar denyutan jantung meningkat
  • Bunyi murmur pada jantung
  • Kelenjar limfa membesar
  • Organ limpa atau hati membesar
  • Keradangan lidah atau atrophic glossitis

Mereka yang mengalami gejala-gejala di atas perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera, terutamanya jika pengsan dan sakit dada.

Pengesanan anemia

Pengesanan anemia dimulakan dengan pengambilan sejarah perubatan termasuk sejarah keluarga serta pemeriksaan fizikal.

Terdapat beberapa penyakit keturunan yang boleh menyebkan anemia seperti anemia sel sabit. Selain itu sejarah pendedahan kepada bahan toksik di rumah atau tempat kerja mungkin dapat membantu mengenalpasti punca anemia.

Ujian makmal dapat memberikan pengesahan tahap anemia dan membantu doktor mencari punca anemia.

Antara ujian makmal yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Pemeriksaan darah penuh. Ianya dapat menunjukkan paras hemoglobin dan saiz sel darah merah. Selain itu ianya juga dapat menunjukkan jika terdapat masalah pada sel darah yang lain termasuk platelet.
  • Paras zat besi dalam darah. Ianya dapat menunjukkan jika anemia disebabkan kekurangan zat besi.
  • Ujian ferritin. Menunjukkan penyimpanan zat besi dalam badan.
  • Ujian vitamin B-12. Dapat menunjukkan paras vitamin B-12 jika ianya terlalu rendah.
  • Ujian asid folik. Bagi melihat paras asid folik dalam darah.
  • Ujian mengesan darah dalam najis. Ianya dapat menunjukkan jika terdapat sel darah dalam sampel najis. Jika positif, bermaksud terdapat kehilangan darah daripada saluran pencernaan yang bermula dari mulut sehingga ke dubur. Penyakit seperti ulser perut, ulser kolitis dan kanser kolon boleh menyebabkan kehilangan darah melalui najis.

Ujian yang lain

Doktor mungkin juga akan melakukan ujian atau prosedur tambahan seperti berikut:

  • Ujian endoskopi
  • Barium enema
  • X-ray dada
  • Imbasan CT bahagian abdomen

Rawatan anemia

Rawatan anemia bergantung kepada puncanya.

Anemia yang disebabkan oleh kurangnya pengambilan zat besi, vitamin B-12 dan folate boleh dirawat dengan bantuan suplemen. Dalam sesetengah kes, suntikan vitamin B-12 mungkin diperlukan jika ianya tidak dapat diserap dengan baik di dalam saluran pencernaan.

Doktor dan pakar pemakanan juga akan mencadangkan diet yang mengandungi vitamin, zat galian serta nutrien yang mencukupi untuk anda. Pemakanan yang sihat dan seimbang boleh mencegah berulangnya anemia.

Selain itu untuk anemia yang teruk, suntikan eryhtropoietin juga boleh diberikan bagi meningkatkan penghasilan sel darah merah oleh sum-sum tulang. Jika paras hemoglobin seseorang menjadi sangat rendah, pemindahan darah mungkin diperlukan. Selalunya pemindahan darah perlu dijalankan untuk kes-kes pendarahan yang teruk.

Kesan jangka panjang

Kesan jangka panjang anemia bergantung kepada puncanya dan juga keberkesanan rawatan. Anemia mudah dirawat tetapi amat berbahaya jika dibiarkan sahaja.

Cegah anemia dengan pengambilan zat-zat dan vitamin yang mencukupi melalui pemakanan. Dapatkan rawatan segera jika anda mengalami gejala-gejala anemia. Ujian akan dilakukan bagi menentukan puncanya serta rawatan yang sesuai.

Selain itu anemia juga boleh menandakan seseorang itu mungkin mengalami penyakit yang lebih serius, jadi tumpukan perhatian kepada tubuh badan anda. Walaubagaimanapun dalam kebanyakan kes, pemakanan yang sihat dan seimbang dapat mencegah berlakunya anemia.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.