Penagihan Dadah dan Substans – Definisi dan Ciri-ciri

Penagihan menepati kriteria sebagai penyakit kerana penagihan merubah fungsi normal otak, dan ianya mempunyai gejala dan tanda tertentu.

Penagihan substans bukan sekadar bermaksud penggunaan substans dalam jumlah yang banyak. US National Institute of Drug Abuse mendefinisikan penagihan sebagai:

Penagihan adalah penyakit mental yang kronik dan berulang yang melibatkan pengambilan dan pencarian substans secara kompulsif, walaupun tahu ianya memberikan kesan buruk.

NIDA

US National Institute of Drug Abuse

Definisi bagi penyakit bermaksud sebarang perubahan pada struktur dan fungsi normal bagi setiap anggota badan, organ, atau sistem yang dapat dikenalpasti melalui sindrom, gejala dan tanda-tanda tertentu. Penagihan menepati kriteria penyakit kerana, seperti penyakit jantung, penagihan juga merubah fungsi normal organ, iaitu otak, dan ianya mempunyai gejala dan tanda tertentu.

  • Gejala adalah sesuatu yang subjektif – iaitu sesuatu yang dialami oleh seseorang dan tidak dapat dilihat atau dinilai oleh orang lain. Contohnya adalah seperti sakit perut, keletihan, atau pening. Salah satu gejala ketagihan adalah keinginan atau craving kepada dadah.
  • Tanda pula merupakan indikator fizikal yang objektif dan dapat dilihat serta dinilai oleh orang lain. Contohnya adalah seperti kudis, demam, atau tekanan darah tinggi. Salah satu tanda penagihan adalah bisul atau jangkitan di tempat suntikan dadah atau perbezaan aktiviti otak ketika imbasan otak dilakukan.

Teknik imbasan otak membolehkan saintis untuk mengkaji apa yang berlaku di dalam otak ketika menggunakan dadah dan ketika dalam ketagihan. Antara teknik imbasan yang digunakan termasuklah:

  • Magnetic Resonance Imaging (MRI)
  • Imbasan Positron emission tomography (PET)
  • Single photon emission computed tomography (SPECT)

Kajian menunjukkan yang otak penagih adalah berbeza secara fizikal dan biologikal daripada otak seorang yang normal, seperti juga perbezaan jantung seorang yang normal dan pesakit jantung.

Terma yang digunakan apabila membincangkan mengenai penyakit adalah agen etiologi ataupun punca penyakit. Sebagai contoh agen etiologi untuk penyakit AIDS adalah virus HIV. Jika anda mempunyai sakit tekak, agen etiologinya mungkin disebabkan oleh bakteria streptococcus.

Bagi ketagihan pula, agen etiologinya adalah jenis substans yang diambil. Namun tidak semua penyakit mempunyai agen etiologi luaran. Sakit jantung dan kencing manis misalnya adalah disebabkan oleh tindakbalas dalaman badan.

Walaupun agen etiologi adalah penyebab kepada sesuatu penyakit terjadi, ia selalunya tidak mencukupi jika tidak melibatkan faktor-faktor yang lain. Persekitaran, gaya hidup, dan keadaan genetik seseorang juga memainkan peranan penting dalam kewujudan sesuatu penyakit. Kajian menunjukkan lebih kurang separuh individu yang berisiko untuk menjadi penagih nikotin, alkohol, dan substans adalah berpunca dari genetik mereka.

Selain itu terma patogenesis juga digunakan dalam sesuatu penyakit yang bermaksud perkembangan penyakit itu dari peringkat awal sehingga menjadi kritikal dan jangkaan kesan penyakit tersebut terhadap badan seseorang. Kebanyakan penyakit jika tidak dirawat akan melalui pola perkembangan yang boleh dijangka dari segi gejala dan perubahan biologi. Ianya juga berlaku dalam ketagihan.

Eleman lain bagi ketagihan adalah ianya merupakan penyakit kronik. Penyakit kronik bermaksud penyakit yang berlaku untuk jangkamasa lama, sukar disembuhkan tetapi boleh dikawal.

Ketagihan dikatakan sebagai penyakit kronik kerana otak akan menunjukkan perubahan ketara yang akan kekal untuk jangkamasa yang panjang walaupun pengambilan substans sudah dihentikan. Sepertimana penyakit kencing manis dan darah tinggi, ianya tidak dapat disembuhkan tetapi boleh dikawal melalui farmakologi dan intervensi kaunseling, atau melalui intervensi kaunseling sahaja.

Ketagihan dianggap sebagai penyakit mental kerana substans psikoaktif akan merubah struktur di dalam otak dan bagaimana ianya berfungsi. Perubahan pada otak ini akan kekal untuk jangkamasa yang lama dan akan menyebabkan ketagihan dan tingkahlaku buruk ketika sedang ketagih.

Relaps juga merupakan salah satu ciri penyakit kronik di mana keadaan seseorang penagih itu boleh menjadi teruk semula. Ianya juga berlaku pada penyakit kronik yang lain dan bukan sahaja penagihan. Kadar relaps untuk ketagihan adalah sama sahaja dengan kadar relaps untuk penyakit kronik yang lain seperti darah tinggi dan kencing manis.

Adalah penting untuk membezakan antara lapse (tergelincir) dan relaps:

  • Lapse bermaksud gejala menjadi teruk untuk seketika sahaja, selalunya selepas sekali sahaja pengambilan semula substans. Sebagai contoh seseorang yang sedang dalam rawatan telah bertemu rakan lama dan mengambil semula substans dengan rakan tersebut tetapi terus menyesali perbuatannya. Lapse juga boleh disebabkan oleh stres, keletihan dan perasaan sedih.
  • Relaps pula bermaksud seseorang mengulangi sepenuhnya pengambilan substans psikoaktif sama seperti sebelum mereka berhenti.

Lapse merupakan perkara biasa yang akan dihadapi ketika permulaan kepulihan namun ianya boleh bertukar menjadi relaps tetapi boleh dielakkan.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.