Neuritis Optik – Diagnosis dan Rawatan

Kebanyakan penghidap akan mendapatkan semula penglihatan mereka dalam masa enam bulan serangan penyakit ini.

Diagnosis

Selalunya diagnosis akan dilakukan oleh pakar mata (ophthalmologis) berdasarkan simptom dan juga pemeriksaan. Doktor akan melakukan pemeriksaan berikut:

  • Pemeriksaan mata rutin. Doktor akan memeriksan tahap penglihatan dan kebolehan mengenalpasti warna dan juga pemeriksaan penglihatan sisi.
  • Ophthalmoskopi. Semasa pemeriksaan ini, doktor akan memancarkan cahaya ke arah mata untuk memeriksa struktur dalaman mata. Pemeriksaan ini dapat mengenalpasti masalah pada disk optik, bahagian di mana saraf optik memasuki retina di dalam mata. Satu daripada tiga pesakit yang menghidap neuritis optik akan mengalami bengkak pada disk optik.
  • Ujian reaksi cahaya pupillari. Doktor akan menggerakkan lampu suluh di depan mata untuk melihat bagaimana anak mata bertindakbalas apabila didedahkan dengan cahaya. Jika ada neuritis optik, anak mata tidak akan mengecil seperti bahagian yang normal apabila terdedah kepada cahaya.

Antara ujian lain yang boleh dijalankan untuk mengesan neuritis optik termasuklah:

  • Magnetic resonance imaging (MRI). Ujian MRI menggunakan medan magnetik dan tenaga gelombang radio untuk mendapatkan gambaran dalaman badan. Untuk pemeriksaan neuritis optik, anda mungkin akan diberikan cecair kontras untuk membolehkan saraf optik dan bahagian lain dalam otak mudah dilihat. MRI sangat penting bagi menentukan jika terdapat sebarang kecederaan dalam otak atau pada saraf. Kecederaan ini boleh diakibatkan penyakit yang lain seperti sklerosis berbilang. MRI juga boleh mengesan punca hilang penglihatan yang lain seperti ketumbuhan dalam otak.
  • Ujian darah. Ujian darah dapat menentukan jika terdapat sebarang jangkitan ataupun untuk mengesan antibodi spesifik. Penyakit neuromyelitis optika dikaitkan dengan sejenis antibodi yang boleh menyebabkan masalah optik neuritis yang teruk. Seseorang yang menghidap optik neuritis perlu menjalani ujian ini bagi melihat jika mereka mengalami neuromyelitis optika. Darah juga boleh diuji untuk antibodi MOG yang juga boleh menyebabkan neuritis optik.
  • Optical coherence tomography (OCT). Ujian ini bagi mengukur ketebalan lapisan saraf fiber pada retina, yang akan menjadi lebih nipis pada kes neuritis optik.
  • Ujian penglihatan periferi. Ujian ini bagi mengukur tahap penglihatan periferi yang akan menjadi semakin mengecil dalam kes neuritis optik.
  • Ujian respon visual. Dalam ujian ini, anda akan melihat skrin yang memaparkan corak tertentu. Anda juga akan dihubungkan dengan wayar pada bahagian kepala yang akan mengesan jika terdapat respon ketika ujian dilakukan. Kerosakan pada saraf optik boleh menyebabkan respon ke otak menjadi lambat.

Doktor juga akan menyarankan anda menjalani temujanji setiap dua ke empat minggu apabila diagnosis neuritis optik telah dipastikan.

Rawatan

Neuritis optik biasanya boleh pulih dengan sendiri. Dalam sesetengah kes, ubat steroid akan diberikan untuk mengurangkan keradangan pada saraf optik. Kesan sampingan pengambilan steroid termasuklah pertambahan berat badan, mood tidak stabil, sakit perut dan sukar tidur.

Rawatan steroid biasanya diberikan melalui salurah darah vena. Ianya dapat mempercepatkan pemulihan penglihatan tetapi mungkin penglihatan tidak dapat pulih sepenuhnya.

Apabila rawatan steroid gagal dan penglihatan tidak dapat dipulihkan, rawatan terapi pertukaran plasma mungkin boleh membantu . Namun kajian lanjut masih lagi dilakukan bagi rawatan ini.

Mencegah Sklerosis Berbilang (Multiple Sclerosis)

Jika anda mendapat neuritis optik, dan dikesan mempunyai dua atau lebih kecederaan pada otak ketika ujian MRI, anda mungkin mendapat manfaat melalui rawatan untuk Sklerosis Berbilang seperti penggunaan interferon beta-1a atau interferon beta-1b, yang akan melambatkan atau menghalang penyakit ini. Ubat ini akan diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi menghidap Sklerosis Berbilang. Kesan sampingan ubat ini adalah seperti kemurungan, sakit pada tempat suntikan dan simptom selsema.

Prognosis

Kebanyakan penghidap akan mendapatkan semula penglihatan mereka dalam masa enam bulan serangan penyakit ini.

Mereka yang pernah mendapat neuritis optik mempunyai risiko tinggi mendapat penyakit Sklerosis Berbilang, neuromyelitis optika atau penyakit berkaitan antibodi MOG. Neuritis optik boleh terjadi semula dan mereka yang tidak mempunyai apa-apa penyakit lain berpeluang untuk sembuh sepenuhnya apabila diserang neuritis optik.

Bacaan lanjut berkenaan neuritis optik:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.