Masalah Gagap – Simptom dan Punca

Simptom gagap boleh menjadi lebih teruk apabila penghidap merasa seronok, penat, tertekan atau apabila mereka hendak cepat dan gelisah.

Gagap merupakan masalah percakapan yang menyebabkan aliran dan kefasihan bercakap terganggu. Mereka yang mempunyai masalah ini tahu apa yang ingin diucapkan tetapi menghadapi masalah apabila mahu menyebutnya. Sebagai contoh, mereka akan mengulang atau mengambil masa untuk menyebut sesuatu perkataan, atau sebutan dalam perkataan itu seperti bunyi konsonan dan vowel. Mereka juga mungkin terhenti-henti ketika bercakap terutamanya ketika menyebut perkataan yang sukar.

Gagap pada kanak-kanak kecil adalah perkara biasa ketika mereka baru belajar bercakap. Mereka boleh gagap kerana masih terdapat sistem percakapan dan bahasa di otak yang masih belum terbentuk sepenuhnya ketika kecil. Apabila membesar mereka biasanya akan pulih.

Kadangkala, masalah ini terbawa-bawa sehingga dewasa. Masalah gagap ini boleh memberi impak kepada keyakinan diri dan juga interaksi penghidap dengan orang lain.

Kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami masalah ini boleh diberi rawatan terapi percakapan, dengan menggunakan alat elektronik untuk memperbaiki kelancaran percakapan dan juga melakukan terapi tingkahlaku kognitif.

Tanda dan simptom gagap

Tanda dan simptom gagap termasuklah:

  • Susah untuk memulakan perkataan atau ayat
  • Tersangkut-sangkut ketika menyebut perkataan
  • Mengulang perkataan yang sama
  • Sebutan perkataan yang tidak lengkap, gagal menyebut sesetengah konsonan atau vowel
  • Menyebut ‘um’ jika menghadapi kesukaran menyebut perkataan seterusnya
  • Terdapat pergerakan muka berlebihan, bahasa badan yang tegang ketika cuba menyebut perkataan sukar
  • Rasa gelisah
  • Sukar berkomunikasi secara normal

Selain sebutan bermasalah, simptom lain yang boleh didapati termasuk:

  • Mata berkelip dengan kerap
  • Menggigil pada bibir dan rahang
  • Pergerakan muka
  • Pergerakan kepala
  • Genggaman tangan

Simptom gagap boleh menjadi lebih teruk apabila penghidap merasa seronok, penat, tertekan atau apabila mereka hendak cepat dan gelisah. Selalunya keadaan ini berlaku apabila bercakap di khalayak ramai ataupun di telefon.

Namun mereka boleh bercakap dengan lancar atau normal apabila bercakap dengan diri sendiri, menyanyi atau bercakap serentak bersama orang lain.

Bila perlu berjumpa doktor atau ahli terapi percakapan

Bagi kanak-kanak berumur 2 hingga 5 tahun yang baru mula belajar bercakap, kadangkala mereka akan gagap dan ianya merupakan perkara biasa. Ini merupakan proses pembelajaran bagi kanak-kanak dan mereka akan pulih dengan sendirinya. Walaubagaimanapun jika terus gagap selepas umur tersebut mungkin memerlukan rawatan untuk melancarkan percakapan.

Dapatkan rujukan daripada doktor kerajaan untuk berjumpa dengan ahli terapi percakapan atau boleh terus ke pusat swasta jika mengalami keadaan berikut:

  • Gagap melebihi 6 bulan
  • Terdapat masalah percakapan yang lain
  • Gagap menjadi lebih kerap atau tidak berhenti walaupun umur meningkat
  • Terdapat regangan otot atau riak muka yang dalam kesusahan ketika bercakap
  • Terdapat masalah komunikasi di sekolah, tempat kerja atau interaksi sosial
  • Menyebabkan masalah kegelisahan atau emosi, mengelak daripada bercakap langsung atau takut jika situasi memerlukan anda bercakap
  • Gagap secara tiba-tiba walaupun sebelum ini normal

Punca gagap

Kajian masih dijalankan untuk menentukan punca gagap ketika membesar. Mungkin terdapat kombinasi faktor yang menyebabkan masalah ini seperti:

  • Kawalan otot percakapan yang tidak normal. Masalah seperti pengawalan saraf, kordinasi motor dan deria sentuh mungkin terlibat.
  • Genetik. Masalah gagap selalu terjadi kepada beberapa orang dalam satu keluarga dan berkemungkinan disebabkan genetik yang tidak normal.

Gagap yang disebabkan masalah lain

Selain masalah ketika pertumbuhan, terdapat penyakit lain yang boleh menyebabkan gagap. Strok, kecederaan otak atau masalah organik pada otak yang lain boleh menyebabkan percakapan menjadi lambat, terhenti-henti dan berulang.

Kelancaran percakapan juga boleh terganggu ketika seseorang mengalami masalah emosi. Orang normal juga boleh menjadi gagap ketika tertekan atau gelisah. Bagi yang menghidap gagap akan menjadi lebih teruk.

Terdapat juga kes di mana masalah gagap muncul setelah seseorang mengalami trauma emosi (psikogenik) tetapi jarang berlaku.

Faktor risiko

Lelaki lebih mudah mendapat masalah gagap daripada wanita. Faktor yang meningkatkan risiko mendapat masalah gagap termasuk:

  • Masalah pembesaran lambat (development delay). Kanak-kanak yang lambat bercakap lebih mudah mengalami masalah gagap.
  • Ada ahli keluarga yang gagap. Kerana faktor genetik.
  • Tekanan. Tekanan daripada keluarga, harapan yang terlalu tinggi atau tekanan lain boleh menyebabkan masalah gagap menjadi lebih teruk.

Komplikasi

Masalah gagap boleh menyebabkan:

  • Masalah komunikasi
  • Rasa gelisah ketika hendak bercakap
  • Tidak mahu bercakap atau mengelak situasi yang memerlukan bercakap
  • Tidak bersosial di sekolah atau tempat kerja menyebabkan kurang kejayaan
  • Dibuli atau diperli
  • Merasa rendah diri

Bacaan lanjut berkenaan masalah gagap:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.