Keputihan Ketika Hamil – Warna & Jenis

Peningkatan cecair vagina merupakan perkara yang biasa ketika hamil, namun perubahan dari segi warna, tekstur dan jumlah boleh menandakan penyakit.

Kehamilan boleh menyebabkan perubahan pada cecair vagina, yang boleh berbeza dari segi warna, tekstur dan jumlah. Pertambahan keputihan dari vagina merupakan salah satu tanda awal kehamilan.

Terdapat juga perubahan pada warna cecair vagina yang boleh jadi normal, atau yang disebabkan penyakit seperti jangkitan kuman dan lain-lain.

Warna merupakan perubahan yang senang dilihat. Warna cecair vagina ini termasuklah:

  • jernih atau putih susu
  • hijau atau kuning
  • kelabu
  • coklat
  • merah jambu (pink)
  • merah

Artikel ini akan membincangkan mengenai keputihan atau cecair vagina sepanjang kehamilan, termasuk warna yang berbeza dan maksudnya serta bila perlu berjumpa doktor.

Keputihan yang normal

Adalah normal untuk mengalami keputihan pada hari-hari tertentu kitaran haid atau ketika mengandung. Keputihan normal ini dikenali juga sebagai leukorrhea, ianya merupakan lelehan yang nipis dan jernih atau berwarna putih dan hanya sedikit berbau.

Jumlah keputihan ini akan meningkat sepanjang kehamilan untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan pada vagina dan rahim. Keputihan ini berlaku paling banyak pada minggu-minggu terakhir kehamilan dan mungkin juga mengandungi mukus berwarna pink.

Mukus ini lebih pekat dan teksturnya seperti jeli, di mana ianya menandakan badan sudah bersedia untuk proses beranak.

Warna keputihan dan maksudnya

Warna cecair vagina yang berbeza boleh menandakan masalah yang berbeza. Warna-warna ini termasuklah:

Jernih atau putih

Warna ini selalunya adalah leukorrhea, iaitu keputihan yang normal dan sihat, ianya juga mempunyai bau yang tidak kuat.

Walaubagaimanapun perubahan dari segi kuantiti dan konsistensi juga merupakan satu isu. Wanita mengandung yang belum cukup bulan perlu mendapatkan pemeriksaan jika mengalami pertambahan cecair yang jernih tanpa henti atau berubah menjadi seperti jeli.

Ini mungkin boleh menandakan kelahiran pramatang.

Putih dan berketul

Keputihan yang berketul dan berwarna putih atau krim seperti keju boleh menandakan jangkitan kulat.

Jangkitan kulat kerap berlaku dan wanita hamil juga berisiko mendapat jangkitan ini. Antara gejala lain jangkitan kulat termasuklah gatal, pedih dan sakit ketika kencing atau ketika melakukan hubungan seksual.

Hijau atau kuning

Keputihan berwarna hijau atau kuning adalah tidak sihat dan mungkin boleh disebabkan penyakit kelamin seperti klamidia atau trikomoniasis. Antara gejala lain termasuklah kemerahan atau kegatalan pada kemaluan. Penyakit kelamin kadangkala tidak menyebabkan apa-apa gejala.

Penyakit kelamin boleh menyebabkan komplikasi berbahaya ketika hamil yang boleh memberi kesan kepada ibu dan juga bayi. Kadangkala komplikasi ini muncul selepas beberapa tahun kelahiran bayi di mana ianya boleh merosakkan sistem saraf dan perkembangan kanak-kanak serta menyebabkan masalah kesuburan pada ibu.

Kadangkala seseorang juga boleh tersilap membezakan lelehan vagina berwarna kuning dan air kencing.

Kelabu

Keputihan berwarna kelabu mungkin menandakan jangkitan vagina yang dikenali sebagai bakterial vaginosis, terutamanya jika terdapat bau hanyir yang menjadi lebih kuat ketika sedang melakukan hubungan seksual.

Bakterial vaginosis berlaku disebabkan ketidakseimbangan bakteria dalam vagina. Meruang dan melakukan hubungan seksual dengan ramai pasangan boleh meningkatkan risiko mendapat bakterial vaginosis. Bakterial vaginosis juga merupakan jangkitan yang paling kerap berlaku dalam tempoh kesuburan wanita.

Coklat

Keputihan berwarna coklat selalunya disebabkan darah lama yang keluar dari badan, yang boleh menjadi tanda awal kehamilan. Selalunya lelehan coklat ketika kehamilan bukanlah gejala yang merbahaya.

Walaubagaimanapun jika lelehan yang berlaku ketika hamil berwarna coklat gelap, sila dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.

Merah jambu (pink)

Keputihan yang berwarna pink boleh menjadi lelehan yang normal atau tidak normal. Lelehan berwarna merah jambu sedikit selalu berlaku pada awal kehamilan atau pada minggu terakhir ketika badan bersedia untuk proses kelahiran. Ianya juga boleh berlaku sebelum keguguran atau dalam kes kandungan luar rahim.

Menurut kajian, kebanyakan pendarahan spotting pada awal kehamilan (trimester pertama), terutamanya yang berlaku 1 ke 2 hari, tidak meningkatkan risiko untuk keguguran.

Punca lain bagi lelehan berwarna merah jambu ini termasuklah melakukan hubungan seksual atau disebabkan oleh jangkitan vagina.

Merah

Keputihan berwarna merah ketika kehamilan memerlukan pemeriksaan segera oleh doktor, terutamanya jika pendarahan berlaku dengan banyak, berketul atau terdapat juga gejala sakit dan kejang pada abdomen.

Gejala-gejala tersebut boleh menandakan keguguran atau kelahiran luar rahim. Lebih kurang 10 ke 15 peratus kehamilan berakhir dengan keguguran.

Punca lain bagi lelehan berwarna merah tetapi kurang berbahaya ketika trimester pertama adalah disebabkan pelekatan janin ke dinding rahim atau disebabkan jangkitan kuman. Kajian mendapati lebih kurang 7 ke 24 peratus wanita mengalami pendarahan di awal kehamilan.

Pendarahan pada lewat kehamilan boleh disebabakan masalah yang serius seperti kandungan tidak cukup bulan yang memerlukan rawatan segera oleh doktor.

Apa yang perlu dilakukan

Pertambahan jumlah cecair vagina yang tidak berbau kuat ketika kehamilan adalah normal, tetapi perubahan warna dan bau selalunya menandakan jangkitan telah berlaku.

Doktor boleh memberikan ubat antibiotik atau ubat lain bagi merawat jangkitan pada kawasan vagina.

Setiap wanita juga perlu sentiasa mengekalkan kesihatan vagina dengan melakukan perkara berikut:

  • Elakkan penggunaan tampon
  • Elakkan dari meruang atau douching
  • Gunakan produk penjagaan kebersihan vagina tanpa pewangi yang kuat termasuklah tisu tandas dan sabun
  • Memakai panty liner bagi menyerap lelehan berlebihan
  • Menyapu kawasan kemaluan dari depan ke belakang selepas membuang air kecil atau besar
  • Mengeringkan kawasan kemaluan selepas mandi atau berenang
  • Memakai pakaian dalam yang longgar supaya pengudaraan bagus
  • Mengelakkan memakai pakaian yang ketat seperti seluar jeans ketat yang boleh meningkatkan risiko jangkitan
  • Mengamalkan pemakanan sihat dan elakkan gula berlebihan yang boleh meningkatkan risiko jangkitan kulat
  • Mengambil suplemen dan makanan probiotik yang selamat ketika kehamilan yang boleh mencegah ketidakseimbangan bakteria pada vagina

Bila perlu berjumpa doktor

Adalah penting untuk memberitahu doktor mengenai perubahan warna keputihan atau lelehan vagina kerana ianya boleh menandakan terdapat jangkitan atau masalah lain ketika kehamilan yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan lanjut. Tanpa rawatan, jangkitan kuman boleh menyebabkan komplikasi serius kepada ibu dan bayi.

Rumusan

Pertambahan keputihan ketika kehamilan adalah normal, namun perubahan pada keputihan ini termasuk dari segi warna dan bau, serta rasa tidak selesa pada vagina dan abdomen boleh menandakan terdapatnya masalah kesihatan. Selalunya lelehan vagina yang tidak normal ini berwarna hijau, kuning atau kelabu.

Setiap wanita juga perlu mendapatkan pemeriksaan segera jika mengalami tompokan darah atau pendarahan teruk, yang berlaku melebihi satu hari atau berlaku bersama-sama gejala sakit dan kejang pada abdomen.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.