Kenali Kolesterol Dan Cara-cara Untuk Mengawalnya

Kolesterol sebenarnya adalah sebahagian elemen penting bagi tubuh yang sihat kerana ianya membantu dalam fungsi-fungsi tubuh badan.

Apakah Itu Kolesterol

Kolesterol merupakan sejenis bahan yang seakan-akan lemak, lembut dan berlilin yang berada di dalam salur darah dan semua sel-sel badan anda. Kolesterol sebenarnya adalah sebahagian elemen penting bagi tubuh yang sihat kerana ianya digunakan untuk menghasilkan membran sel dan sesetengah hormon, dan juga membantu dalam fungsi-fungsi tubuh badan yang lain.

Walaubagaimanapun terlalu banyak kolesterol dalam darah adalah satu risiko yang besar untuk mendapat penyakit jantung koronari (yang akan membawa kepada serangan jantung) dan juga angin ahmar.

Bagaimanakah Kolesterol Wujud

Kolesterol datang dari dua sumber: badan anda dan makanan. Hati anda dan sel-sel lain dalam tubuh anda menghasilkan 75 peratus dari kolesterol dalam darah. Selebihnya 25 peratus datang dari makanan yang anda makan.

Kolesterol Low Density Lipoprotein atau LDL adalah kolesterol ‘jahat’. Apabila ia terlalu banyak terdapat di dalam darah, ia boleh menyumbat saluran arteri, meningkatkan risiko anda untuk mendapat serangan jantung dan strok.

Kolesterol berlebihan boleh menyumbat saluran darah

Kolesterol LDL dihasilkan secara semulajadi oleh tubuh, tetapi terdapat orang yang mewarisi gen yang boleh menyebabkan mereka menghasilkannya dengan terlalu banyak. Memakan lemak tepu, lemak trans dan kolesterol dalam makanan juga meningkatkan lagi jumlahnya dalam badan anda.

Saranan dari Pakar

Adalah penting bagi semua untuk mengetahui tahap kolesterol mereka. Jumlah kolesterol darah adalah ukuran paling biasa bagi kolesterol darah. Ia adalah jumlah yang anda perolehi dari keputusan ujian.

Kolesterol diukur dalam miligram per desiliter darah (mg/dL). Tahap kolesterol sebanyak 200 mg/dL atau lebih meletakkan diri anda dalam kategori berisiko tinggi dan menjadi penyebab untuk anda bertindak menurunkannya.

Bagaimana Untuk Merendahkan Tahap Kolesterol

Berita baiknya adalah, anda boleh menurunkan kolesterol anda dan mengurangkan risiko penyakit jantung dan angin ahmar. Sama ada anda telah diberi ubat preskripsi atau dinasihatkan untuk membuat perubahan diet dan gaya hidup untuk membantu menurunkan kolesterol anda, ikutilah saranan doktor anda dengan baik.

Untuk mengekalkan kolesterol anda dalam kawalan anda disarankan: membuat jadual untuk ujian kolesterol, makan makanan yang rendah kolesterol dan lemak tepu dan bebas dari lemak trans, kekalkan berat yang sihat, dan sentiasa aktif secara fizikalnya.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.