Kelebihan dan Khasiat Madu Kelulut

Madu kelulut yang dihasilkan oleh lebah kelulut merupakan antara makanan kesihatan yang popular di Malaysia kerana mengandungi pelbagai manfaat.

Madu kelulut dihasilkan oleh sejenis lebah yang tidak menyengat yang dikenali sebagai lebah kelulut. Habitat haiwan ini terletak di kawasan tropika seperti di Asia Tenggara. Madu ini terdapat beberapa kegunaan dan manfaat buat manusia. Antaranya termasuklah memelihara pankreas. Organ ini berfungsi sebagai penghasil insulin dan glukagon untuk mengawal paras gula di dalam darah. Maka, madu ini amat penting buat mereka yang menghidap penyakit kencing manis.

Lebah kelulut (stingless bee)

Selain itu, madu kelulut dapat mencepatkan proses penyembuhan luka. Praktis ini telah dijalankan secara turun-temurun oleh masyarakat setempat dan madu dianggap sebagai salah satu bahan perubatan tradisional. Hal ini kerana isi kandungan madu kelulut mempunyai sifat antimikrob yang baik yang penting untuk mencegah penyebaran dan pembiakan bakteria. 

Seterusnya, sifat antioksida yang terkandung dalam madu kelulut mencegah tubuh badan daripada mengalami penyakit seperti radang, masalah jantung, kanser, arthritis, angin ahmar, masalah pernafasan, sistem imun yang cacat atau lemah, dan penyakit Parkinson. Sehubungan dengan itu, madu kelulut juga baik untuk mata di mana ia dapat mencegah atau melambatkan pembentukan katarak.

Secara umumnya, pengambilan bahan bergula dipercayai menyumbang kepada kenaikan berat badan ataupun obesiti. Tetapi dengan madu kelulut, terdapat kajian yang menunjukkan sebaliknya di mana pengguna madu kelulut mengalami penurunan berat badan setelah mengamalkan madu kelulut secara terkawal. Bahkan, paras kolesterol dalam tubuh badan juga akan terkawal melalui pengambilan madu kelulut.

Kemudian, madu kelulut dapat membantu seseorang dari sudut neurologi iaitu dengan menguatkan ingatan dan mengurangkan tekanan atau kegelisahan yang dihadapi. Dari sudut sistem reproduktif, madu kelulut dapat mencegah kerosakan pada sperma sebaliknya menambah baik kualiti sperma yang dihasilkan.

Tambahan pula, madu kelulut dapat membekalkan tenaga kepada penggunanya di samping meningkatkan kadar metabolisme dalam tubuh. Akhir sekali. madu kelulut dipercayai mempunyai unsur-unsur anti-kanser. Hal ini kerana terdapat kajian yang menunjukkan madu kelulut berfungsi dalam menghalang dan melambatkan pertumbuhan sel-sel kanser.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai manfaat dari sudut kesihatan yang boleh diperolehi daripada pengambilan madu kelulut yang terkawal.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.