Kehamilan Berisiko Tinggi Dan Cara Rawatannya

Kadangkala simptom kehamilan bertambah teruk dan akan memberi petanda kepada doktor bahawa anda memerlukan penjagaan khusus.

Hampir semua kehamilan adalah normal dan melalui proses semulajadi. Bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan yang membuatkan doktor anda berpendapat ianya berisiko sama ada ke atas bayi ataupun ibu dan perlu dirawat.

Contohnya adalah jika anda mempunyai masalah kesihatan atau mungkin hamil anak kembar. Kadangkala simptom bertambah teruk dan akan memberi petanda kepada doktor bahawa anda memerlukan penjagaan khusus.

Anemia

Kebanyakan wanita mengalami sedikit anemia semasa mereka hamil dan ini biasanya disebabkan oleh kekurangan zat besi dan darah menjadi lebih cair sewaktu hamil. Keadaan ini perlu diatasi bagi memenuhi keperluan kehamilan dan pendarahan semasa bersalin kelak.

Rawatan

Cegah anemia dengan mengambil makanan diet yang pelbagai, dengan makanan yang kaya dengan zat besi. Jika ujian darah menunjukkan anda mengalami anemia, doktor akan memberi kan zat besi tambahan.

Ambil tablet selepas makan bersama air yang banyak kerana ia boleh menyebabkan radang pada perut dan sembelit, cirit-birit atau muntah. Makanan yang kaya zat besi seperti bayam, hati dan daging merah boleh mengatasi masalah ini.

Kencing Manis (Diabetes)

Kencing manis mesti diawasi dengan berhati-hati semasa anda hamil dan tahap gula di dalam darah perlu diperhatikan dengan kerap.

Rawatan

Anda perlu mengawal tahap gula dalam darah, doktor boleh menyesuaikan pengambilan insulin bagi anda yang sedang hamil. Anda memerlukan perhatian khusus dalam diet. Anda juga perlu kerap ke klinik antenatal. Sesetengah wanita mendapati penyakit ini timbul pada awal kehamilan. Ia biasanya hilang sebaik sahaja selepas bersalin.

Rahim Tidak Kuat

Dalam kehamilan biasa, serviks atau pintu rahim masih tertutup sehingga bayi dilahirkan. Tetapi jika keguguran kerap berlaku selepas tiga bulan kehamilan, ini mungkin disebabkan oleh pintu rahim yang lemah dan terbuka lalu janin akan terkeluar.

Rawatan

Doktor mungkin mencadangkan pembedahan kecil bagi menutup semula serviks pada awal kehamilan. Jahitan ini akan dibuka semula pada hujung kehamilan, atau bila hampir tempoh bersalin.

Pra-eklampsia

Pra-eklampsia berlaku disebabkan tekanan darah yang tinggi ketika kehamilan. Simptom-simptomnya ialah apabila tekanan darah meningkat lebih 140/90, berat badan yang meningkat mendadak, bengkak buku lali, kaki dan tangan dan terdapat protein dalam air kencing.

Jika anda mempunyai simptom-simptom ini, doktor akan memerhatikan anda dengan lebih teliti. Sekiranya tekanan darah yang meningkat tidak dirawati, ia boleh menyebabkan bahaya pada uri.

Rawatan

Doktor anda akan menasihatkan anda berehat. Bagi menurunkan tekanan darah, anda boleh mengambil ubat atau mengurangkan kandungan garam dalam makanan. Jika keadaan tidak berubah dan serius, anda akan dimasukkan ke hospital walaupun anda merasakan cukup sihat. Anda mungkin bersalin secara induksi (induce).

Faktor Rhesus Negatif

Darah anda akan diuji semasa lawatan pertama ke klinik bagi menentukan sama ada anda mempunyai faktor rhesus positif atau negatif. Kira-kira 15 peratus orang mengalami rhesus negatif dan jika anda salah seorang daripadanya, anda akan mengalami masalah ketika hamil jika anda melahirkan bayi rhesus positif. Ini bermakna kumpulan darah anda tidak sama. Bagaimanapun ini tidak mendatangkan bahaya kepada bayi pertama. Biasanya anda akan menghadapi masalah pada kehamilan seterusnya.

Rawatan

Jika bayi pertama ande rhesus positif manakala anda pula rhesus negatif, anda akan diberikan vaksin perlindungan yang dikenali sebagai anti D sebaik sahaja selepas kelahiran. Ini akan mencegah masalah apabila anda hamil kelak. Vaksinasi ini mungkin diberikan semasa hamil di sesetengah hospital.

Keguguran

Keguguran adalah penamat kehamilan dan ini boleh berlaku satu dalam lima kehamilan. Kebanyakan keguguran berlaku dalam minggu ke 12, kerap berlaku sebelum seseorang wanita itu tahu dia hamil, biasanya kerana bayi tersebut tidak berkembang secara normal. Pendarahan dari vagina adalah tanda awal.

Rawatan keguguran

Jika pendarahan hanya berlaku sedikit, kehamilan boleh diselamatkan. Doktor anda akan mencadangkan anda banyak berehat, pendarahan mungkin terhenti dan jika anda berehat beberapa hari, kehamilan akan berlangsung seperti biasa. Tiada risiko kelainan kepada bayi. Anda akan diberikan ujian kehamilan atau ultra sound bagi memastikan bayi selamat.

Jika pendarahan berlaku dengan banyak dan anda dalam kesakitan, ini mungkin bermakna janin telah mati. Anda perlu ke hospital bagi membersihkan semula rahim. Disebabkan anda kehilangan bayi semasa awal kehamilan, anda mungkin akan rasa tertekan.

Anda juga mungkin bimbang sama ada anda boleh melahirkan bayi yang sihat lagi, rasa bersalah dan menyalahkan diri sendiri tetapi kajian telah menunjukkan bahawa kebanyakan kes keguguran adalah disebabkan kecacatan janin sejak awal lagi.

Pendarahan Vagina

Jika anda mendapati terdapat pendarahan dari vagina pada sebarang masa kehamilan, hubungi doktor dan berbaring segera di atas katil. Jika ini berlaku sebelum minggu ke-28, ini mungkin tanda keguguran. Selepas tempoh ini, ia bermaksud uri mengalami pendarahan. Ini boleh berlaku jika uri mula renggang dari dinding rahim atau jika uri terlalu rendah di dalam rahim dan tertutup atau menutupi separuh serviks.

Rawatan

Uri adalah garis hidup bayi. Jadi jika doktor fikir terdapat risiko anda akan dimasukkan terus ke hospital, di mana kedudukan uri boleh diperiksa. Anda perlu tinggal di dalam hospital sehingga bersalin. Jika anda kehilangan darah, anda perlu menjalani pemindahan darah dan bayi mungkin dilahirkan lebih awal melalui induksi atau pembedahan cesaerean.

Jika pendarahan terlalu sedikit dan berlaku beberapa minggu sebelum kelahiran, doktor mungkin memutuskan untuk anda bersalin secara semulajadi tetapi dalam pemerhatian yang rapi.

Kehamilan Kembar

Proses kehamilan dan bersalin untuk kembar akan mengalami perkembangan yang normal namun simptom kehamilan adalah lebih teruk berbanding kehamilan biasa. Anda mungkin mengalami komplikasi seperti anemia, pra-eklampsia atau songsang. Anda juga mungkin mengalami masalah-masalah kehamilan yang biasa dengan lebih teruk, terutama dalam bulan-bulan terakhir.

Rawatan

Lawatan tetap ke klinik antenatal perlu kerap jika anda hamil kembar, agar sebarang komplikasi boleh dikenalpasti dengan segera. Kehamilan lebih dari satu membebankan tubuh anda lebih dari biasa, jadi pastikan keadaan badan anda sentiasa dalam keadaan sihat terutamanya dalam minggu-minggu terakhir. Bagi mengelakkan masalah pada penghadaman anda, makanlah dalam jumlah yang sedikit dan segar.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.