Kanser Usus Kecil – Punca, Tanda & Rawatan

Kanser usus kecil merupakan kanser yang berlaku pada duodenum, jejunum dan ileum. Jom ketahui berkenaan jenis, tanda-tanda dan rawatan kanser ini.

Kanser usus kecil merupakan kanser yang jarang berlaku dan ianya melibatkan saluran pencernaan. Terdapat beberapa jenis kanser usus kecil seperti kanser karsinoid, adenokarsinoma, sarkoma dan limfoma.

Pengesanan kanser ini memerlukan beberapa ujian dan prosedur dilakukan. Perkembangan kanser ini bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis kanser, tahap kanser dan lokasi kanser ini pada usus.

Lokasi kanser

Kanser usus kecil berlaku apabil sel kanser yang malignan muncul di dalam usus kecil. Usus kecil merupakan sebahagian dari saluran pencernaan yang juga melibatkan organ hati, pankreas, hempedu dan juga saluran gastrointetinal (saluran GI).

Kedudukan usus kecil dalam abdomen

Usus kecil merupakan sebahagian dari saluran gastrointestinal ini, iaitu satu laluan yang bermula dari esofagus, perut, usus kecil dan usus besar (kolon). Usus kecil menghubungkan perut ke usus besar.

Usus kecil terdiri dari tiga bahagian iaitu:

  • Duodenum: Bahagian pertama usus kecil berdekatan perut.
  • Jejunum: Bahagian tengah usus kecil.
  • Ileum: Bahagian akhir dan paling panjang pada usus kecil.

Kebanyakan kanser usus kecil berlaku sama ada pada duodenum atau ileum.

Kekerapan

Kanser usus kecil sebenarnya jarang berlaku dan hanya menyebabkan 3% daripada keseluruhan kanser ganstrointestinal. Kanser usus besar, kanser rektum, kanser esofagus dan kanser perut lebih kerap berlaku daripada kanser usus kecil.

Jenis kanser usus kecil

Terdapat beberapa jenis kanser usus kecil yang dikelaskan mengikut jenis sel di mana kanser ini bermula:

  • Tumor karsinoid bermula daripada sel neuroendokrin. Sel ini berfungsi untuk menghasilkan hormon dan mengawal pengeluaran cecair pencernaan dalam usus kecil. Lebih kurang separuh daripada kanser usus kecil melibatkan tumor karsinoid.
  • Adenokarsinoma bermula daripada sel epithelial berkelenjar yang melapisi usus kecil. Lebih kurang satu pertiga daripada kanser usus kecil adalah dari jenis adenokarsinoma.
  • Sarkoma bermula daripada tisu penghubung seperti kartilaj atau otot. Jenis sarkoma yang paling kerap berlaku dalam usus kecil dikenali sebagai GIST (gastrointestinal stromal tumor). Sebelum ini tumor ini dikenali sebagai leiomyosarkoma.
  • Limfoma bermula daripada sel yang dikenali sebagai limfosit. Limfosit merupakan sejenis sel darah putih yang ditemui dalam sistem limfatik. Sistem limfatik merupakan bahagian yang penting dalam sistem imuniti yang membantu badan melawan sel yang tidak normal atau kuman yang boleh menyebabkan penyakit.

Tanda dan gejala

Tanda dan gejala kanser usus kecil bergantung kepada jenis tumor dan di mana ianya berlaku. Kadangkala, tiada gejala yang berlaku dan dipanggil sebagai asimptomatik.

Sebagai contoh tumor karsinoid selalunya tidak menyebabkan sebarang gejala. Selalunya ia ditemui secara tidak sengaja ketik prosedur pengimejan untuk masalah yang lain.

Antara gejala yang boleh berlaku untuk kanser usus kecil termasuklah:

  • Sakit atau kejang abdomen
  • Rasa terdapat benjolan di dalam abdomen
  • Muntah, mual dan cirit-birit
  • Hilang berat secara tiba-tiba
  • Anemia
  • Jaundis (kuning pada mata atau kulit)
  • Najis berdarah (boleh kelihatan merah atau hitam ketika berak)
  • Kulit kemerahan atau ungu pada lengan dan bahagian atas badan

Punca kanser usus kecil

Tumor malignan terbentuk di dalam usus kecil apabila sel kanser membahagi dengan cepat lalu membentuk ketumbuhan. Lama-kelamaan sel kanser ini akan berpisah dari tumor asal (tumor primer) dan masuk ke dalam kelenjar limfatik atau salur darah untuk pergi ke bahagian badan yang lain dan membentuk tumor sekunder. Proses ini dikenali sebagai metastasis.

Sel kanser terbentuk disebabkan mutasi genetik atau perubahan di dalam DNA sel yang akan menyebabkannnya membahagi secara tidak terkawal. Walaubagaimanapun pengkaji masih cuba mencari punca kenapa perkara ini berlaku.

Faktor risiko

Faktor risiko termasuklah apa-apa sahaja yang boleh meningkatkan risiko mendapat kanser. Mempunyai faktor risiko tidak semestinya menandakan anda mesti mendapat kanser dan tidak mempunyai faktor risiko pula tidak menandakan anda tidak akan mendapat kanser.

Antara faktor risiko bagi kanser usus kecil termasuklah:

  • Umur: Risiko untuk mendapat beberapa jenis kanser usus kecil meningkat dengan umur. Selalunya kanser usus kecil dikesan pada umur 65 tahun.
  • Jantina: Kanser usus kecil lebih kerap berlaku pada lelaki.
  • Bangsa: Kanser usus kecil lebih kerap berlaku pada bangsa berkulit hitam kecuali limfoma yang lebih kerap berlaku pada bangsa berkulit putih.
  • Masalah genetik keturunan: Mempunyai ibu bapa, adik-beradik atau anak yang mempunyai penyakit tertentu juga boleh meningkatkan risiko. Antaranya adalah FAP (familial adenomatous polyposis), sindrom Peutz-Jeghers, HNPCC (hereditary nonpolyposis colorectal cancer) dan sindrom Lynch.
  • Penyakit keradangan: Penyakit yang melibatkan keradangan kronik pada usus seperti penyakit Crohn dan penyakit celiac juga boleh meningkatkan risiko.
  • Masalah autoimun atau lemah sistem imuniti: Apa-apa keadaan yang boleh melemahkan sistem imuniti seperti penyakit HIV atau AIDS, penyakit Crohn dan penyakit celiac juga boleh meningkatkan risiko. Rawatan seperti terapi radiasi boleh melemahkan sistem imuniti dan meningkatkan risiko mendapat kanser usus kecil. Ubat yang menekan sistem imuniti selepas pemindahan organ juga dapat meningkatkan risiko.

Sesetengah kajian mencadangkan bahawa pemakanan (daging merah, makanan salai dan masin), pengambilan tembakau dan alkohol boleh memainkan peranan dalam meningkatkan risiko mendapat kanser usus kecil.

Bincang dengan doktor anda jika anda risau berkenaan risiko-risiko di atas.

Pengesanan

Kanser usus kecil susah untuk dikesan kerana ianya jarang berlaku. Tambahan pula gejalanya adalah bergantung kepada jenis tumor. Ujian yang lengkap dan terperinci diperlukan sebelum pengesahan kanser dapat dibuat.

Sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal

Doktor akan memeriksa keadaan kesihatan anda secara keseluruhan untuk melihat tanda-tanda penyakit. Doktor juga akan bertanyakan sejarah perubatan terutamanya berkenaan gejala-gejala kanser usus kecil.

Ujian darah

  • Ujian kimia darah: Ujian yang mengukur bahan-bahan tertentu yang dihasilkan oleh organ dan tisu badan. Jika paras bahan ini lebih tinggi atau rendah dari biasa, ianya boleh menandakan penyakit pada organ yang menghasilkan bahan ini. Sebagai contoh, ujian fungsi hati dapat melihat jika kanser telah merebak ke hati.
  • Ujian kiraan darah lengkap: Ujian ini dapat memberikan informasi kepada doktor berkenaan sel darah. Kanser usus kecil mungkin menyebabkan pendarahan yang boleh mengurangkan sel darah merah seterusnya menyebabkan anemia.

Pengimejan

  • Endoskopi: Prosedur yang menggunakan alat berbentuk tiub dengan lampu dan kamera yang dimasukkan ke dalam salur gastrointestinal. Endoskopi bahagian atas dilakukan dengan memasukkan alat endoskopi melalui mulut bagi memeriksa esofagus, perut dan bahagian pertama usus kecil berdekatan perut (duodenum). Alat enteroskopi belon khas akan digunakan bagi memeriksa bahagian dalaman usus kecil. Doktor juga boleh mengambil sampel bagi tujuan biopsi, yang akan dihantar ke makmal bagi melihat kehadiran sel kanser.
  • Endoskopi kapsul (pil): Prosedur ini memerlukan pesakit menelan kapsul yang mengandungi kamera kecil. Kapsul ini akan bergerak melalui saluran pencernaan sambil merakam video dan gambar yang boleh dilihat pada skrin. Prosedur ini tidak melibatkan penggunaan alat endoskopi.
  • Imbasan CT: Posedur pengimejan di mana gambar yang terperinci untuk bahagian dalaman badan akan dihasilkan. Komputer yang disambungkan dengan mesin x-ray akan memaparkan gambar ini. Bahan kontras atau dye juga boleh disuntik ke dalam salur vena atau ditelan bagi membantu menunjukkan imej organ atau tisu dengan lebih jelas.
  • Imbasan MRI: Prosedur yang menggunakan magnet, medan radio dan komputer bagi menghasilkan siri gambar bahagian dalaman badan. Ianya juga boleh menunjukkan dengan jelas berkenaan organ dan tisu badan sama seperti imbasan CT. Walaubagaimanapun untuk kanser usus kecil, imbasan CT lebih kerap digunakan.
  • X-ray abdomen: X-ray merupakan pancaran tenaga yang dapat menembusi badan dan dipaparkan pada filem bagi melihat keadaan dalaman badan.
  • X-ray barium: Prosedur ini memerlukan saluran gastrointestinal dilapisi oleh barium. Barium membantu memudahkan saluran gastrointestinal dilihat dengan lebih jelas pada x-ray.

Pembedahan

Doktor mungkin akan mencadangkan pembedahan jika ujian-ujian di atas tidak dapat memberikan informasi secukupnya bagi melakukan diagnosis. Pembedahan membolehkan doktor melihat organ yang terlibat dengan lebih jelas. Selain itu biopsi juga dapat diambil jika disyaki terdapat sel kanser.

Antara prosedur pembedahan yang boleh dilakukan adalah:

  • Laparoskopi: Prosedur pembedahan di mana alat tiub khas yang mengandungi kamera dimasukkan ke dalam abdomen menerusi lubang kecil yang dibuat. Laparoskop ini membolehkan doktor melihat jika terdapat tanda-tanda kanser di dalam abdomen dan mengambil biopsi jika perlu.
  • Laparotomi: Presedur pembedahan di mana potongan akan dibuat ke dalam abdomen bagi membolehkan doktor memeriksa jika terdapat tanda-tanda kanser.

Tahap kanser usus kecil

Tahap kanser dapat memberikan informasi berkenaan saiz tumor, di mana lokasinya dan jika ianya sudah merebak (metastasis). Ujian dan prosedur untuk menentukan tahap kanser selalunya adalah bersekali dengan ujian pengesanan.

Jenis kanser usus kecil yang dihidapi (tumor karsinoid, adenokasinoma, sarkoma atau limfoma) akan menentukan sistem tahap kanser yang akan digunakan oleh doktor yang merawat anda.

Rawatan

Rawatan yang akan diterima bergantung kepada jenis kanser, tahap kanser, lokasi kanser dan juga karakter sel yang membentuk kanser. Selain itu pilihan pesakit sendiri juga akan diambilkira.

Pembedahan

Pembedahan merupakan rawatan yang sering dijalankan untuk kanser usus kecil. Antara contoh pembedahan ini termasuklah:

  • Pembuangan organ: Pembedahan pembuangan organ atau reseksi ini merupakan pembedahan bagi membuang kesemua atau sebahagian dari organ yang mengandungi kanser. Doktor mungkin akan membuang sebahagian usus kecil dan organ berdekatan (jika kanser sudah merebak). Selepas itu usus yang tidak dibuang akan dihubungkan semula (anastomosis). Doktor juga akan membuang kelenjar limfatik berdekatan usus kecil untuk diuji bagi melihat jika sel kanser telah merebak.
  • Pintasan: Pembedahan untuk membolehkan makanan memintas ketumbuhan yang menghalang laluan usus, ini dilakukan bagi kes ketumbuhan yang tidak boleh dibuang.

Kemoterapi

Kemoterapi menggunakan ubat bagi menghentikan pertumbuhan sel kanser, sama ada dengan membunuh atau menghentikan proses pembahagian sel. Bergantung kepada rawatan kemoterapi, ubat ini mungkin akan mensasarkan bahagian badan tertentu (kemoterapi regional) atau memusnahkan sel pada seluruh badan (kemoterapi sistemik).

Doktor akan memberikan rawatan kemoterapi selepas pembedahan bagi membunuh lebihan sel kanser (terapi adjuvan). Pesakit juga akan menerima kemoterapi sistemik jika kanser telah merebak (metastasis).

Terapi radiasi

Terapi radiasi menggunakan x-ray bertenaga tinggi atau radiasi jenis lain bagi membunuh sel kanser atau menghalangnya bertumbuh. Doktor mungkin akan mencadangkan terapi radiasi jika kanser tidak boleh dibuang melalui pembedahan.

Terapi radiasi juga boleh menjadi rawatan paliatif yang boleh mengurangkan gejala. Kadangkala radiasi diberikan bersama-sama dengan kemoterapi (terapi kemoradiasi) selepas pembedahan bagi membunuh lebihan sel kanser.

Analog somastatin

Doktor juga boleh mencadangkan analog somatostatin untuk merawat tumor karsinoid pada usus kecil. Ubat ini akan menghentikan penghasilan hormon yang terlalu banyak seterusnya dapat melegakan gejala dan mengawal kanser. Antara contoh ubat analog somatostatin adalah seperti lanreotide dan octreotide.

Kajian lanjut diperlukan bagi memahami kelebihan penggunaan radiasi dengan kemoterapi selepas pembedahan kanser usus kecil.

Terapi bersasar

Terapi bersasar akan mengenalpasti kelemahan sel kanser dan kelemahan ini akan digunakan bagi memusnahkannya. Kajian sedang dijalankan bagi melihat bagaimana terapi bersasar ini dapat membantu dalam rawatan adenokarsinoma, GIST dan limfoma.

Imunoterapi

Imunoterapi akan meningkatkan aktiviti sistem imun badan supaya lebih cekap melawan kanser. Sistem imun badan secara semulajadinya akan melawan sel kanser dan penceroboh lain dalam badan seperti kuman. Walaubagaimanapun kadangkala sel kanser ini dapat melepasi sistem pertahanan badan.

Imunoterapi akan membolehkan sel kanser ini lebih senang dikesan oleh sistem imuniti untuk dimusnahkan. Bergantung kepada mutasi genetik ketumbuhan tersebut, doktor mungkin akan mencadangkan rawatan imunoterapi.

Kadar kelangsungan hidup

Kadar kelangsungan hidup bergantung kepada jenis kanser, tahap dan di mana kanser ini bermula pada usus kecil. Sebagai contoh, 65% mereka yang dikesan menghidap adenokarsinoma tahap awal boleh hidup melebihi tempoh lima tahuun. Tahap kanser yang lebih lewat hanya mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sebanyak 4%.

Tumor karsinoid tahap awal pula mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sebanyak 95% dan tahap seterusnya akan berkurang kepada 42%. Sila bincang dengan doktor anda berkenaan bagaimana kanser yang anda alami boleh memberi kesan terhadap kelangsungan hidup anda.

Kesimpulan

Memahami kesan kanser dan memilih rawatan untuk kanser usus kecil adalah agak mencabar kerana kanser ini jarang berlaku. Pelbagai faktor akan menentukan jenis rawatan dan kadar kejayaan rawatan yang dijalankan.

Bincang dengan mendalam berkenaan pilihan rawatan yang tersedia dan apakah kesan yang akan berlaku selepas rawatan tersebut dengan doktor anda. Bergantung kepada jenis kanser, doktor mungkin akan mencadangkan kombinasi rawatan secara pembedahan dan terapi untuk memusnahkan sel kanser dan mencegahnya dari merebak ke bahagian badan yang lain.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.