Kaedah Semulajadi Mencegah Kehamilan

Pada masa kini terdapat banyak aplikasi telefon yang membolehkan anda menganggarkan tempoh subur berdasarkan faktor-faktor tertentu.

Kaedah-kaedah pencegah kehamilan merupakan satu keperluan penting bagi merancang saiz dan masa yang tepat untuk mendapatkan anak. Ini adalah penting terutama bagi mereka yang baru bersalin atau mempunyai masalah kesihatan untuk mengelak dari mengandung. Salah satu cara mencegah kehamilan adalah dengan penggunaan kaedah semula jadi.

Kaedah Mengelak Masa Subur

Pasangan suami isteri yang memilih kaedah ini harus memastikan tempoh kesuburan wanita. Kaedah ini biasanya digunakan bagi pasangan yang tidak ingin mengambil apa-apa ubat. Pasangan yang memilih kaedah ini tidak boleh melakukan seks pada hari-hari yang dikatakan subur (semasa ovulasi). Ini akan menghalang telur disenyawakan oleh sperma.

Pasangan wanita juga perlu menyimpan rekod kitaran haid mereka dengan teliti untuk memastikan tempoh subur. Kaedah semula jadi juga berasaskan menganggarkan perubahan mukus membran serviks dan suhu badan.

Terdapat empat jenis cara menganggarkan masa subur iaitu :

  • kaedah kalendar
  • suhu badan basah
  • kaedah mukus serviks
  • kaedah suhu badan

Bagi sesetengan pasangan, kaedah semula jadi tidak sesuai terutama pada:

  1. Wanita yang mempunyai kitaran haid tidak menentu
  2. Pasangan yang tidak dapat merancang hubungan kelamin dengan baik seperti mereka yang baru berkahwin, atau lama berpisah
  3. Wanita yang sering terlupa kitaran haid disebabkan terlalu sibuk

Pada masa kini terdapat banyak aplikasi telefon yang membolehkan anda menganggarkan tempoh subur berdasarkan faktor-faktor di atas seperti Period Tracker.

Penggunaan kaedah semula jadi tidak mampu menghalang daripada jangkitan penyakit kelamin. Penggunaan kaedah semula jadi hanyalah bertujuan untuk merancang kehamilan semata-mata.

Bagi wanita yang tidak sesuai menggunakan kaedah semula jadi, masih terdapat cara-cara lain bagi mengelakkan kehamilan yang tidak dirancang. Anda perlu berbincang dengan doktor  agar dapat memastikan kaedah yang digunakan bersesuaian dengan diri anda.

Kaedah Pancut Luar

Kaedah ini merupakan kaedah yang popular kerana pasangan boleh menikmati seks tanpa apa-apa gangguan dan peralatan. Namun kaedah ini mempunyai peratusan kegagalan yang tinggi dan perlukan latihan dan konsentrasi dari pihak lelaki.

Antara punca kegagalan termasuklah:

  • Masalah ejakulasi pra-matang
  • Terlampau seronok sehingga terlupa mengeluarkan zakar
  • Pancutan di sekitar faraj yang menyebabkan air mani masuk ke dalam faraj
  • Tidak menyedari air mani keluar ketika melakukan hubungan

Kaedah Menjaga Kesucian Diri

Menjaga kesucian diri adalah sesuatu yang dituntut dalam agama Islam. Walaupun mereka yang bukan beragama Islam bebas melakukan apa sahaja, Islam melarang mereka yang beragama Islam daripada melakukan zina. Ini adalah sebagai satu perintah Allah yang termaktub dalam Al Quran.

Mereka yang mengamalkan hubungan seksual terlalu awal atau terlalu kerap juga berhadapan dengan risiko barah pangkal rahim (kanser serviks) yang lebih tinggi. Selain itu, mengelak daripada melakukan hubungan seksual bagi mereka yang belum berkahwin merupakan salah satu cara bagi menjaga zuriat keturunan dan mengelakkan penyakit kelamin.

Kaedah mengelak daripada melakukan hubungan seks merupakan satu cara yang selamat tanpa sebarang kesan sampingan atau gangguan kesihatan. Kaedah mengelak daripada melakukan hubungan seks juga merupakan cara mencegah kehamilan yang paling berkesan.

Adalah penting bagi wanita yang mengamalkan kaedah ini agar tidak mudah mengikut pujuk rayu pasangan mereka kerana sekiranya pasangan mereka benar-benar mencintai mereka, sudah tentu mereka sanggup menunggu sehingga berkahwin sebelum mula melakukan hubungan seks.

Selain itu wanita yang mengamalkan kaedah mengelak daripada melakukan hubungan seks perlu mengelakkan daripada terjerumus kearah keadaan yang menyukarkan lagi untuk memilih kaedah ini seperti berdua-duaan dengan pasangan ditempat sunyi, berduaan di dalam bilik atau kawasan tertutup, dan meminum atau mengambil bahan yang mengkhayalkan seperti dadah atau minuman keras.

Sekiranya perlu mengikuti pasangan kerumah mereka, tunggu pasangan anda di luar rumah atau dari dalam kenderaan. Bagi wanita yang tidak sesuai menggunakan kaedah mengelak daripada melakukan hubungan seks disebabkan seperti:

  • tiada dalam perintah agama
  • mudah terpengaruh
  • tidak dapat menahan nafsu
  • suami/isteri tidak bersetuju
  • atau dirogol

Masih terdapat cara-cara lain bagi mengelakkan kehamilan yang tidak dirancang. Anda perlu berbincang dengan doktor  agar dapat memastikan kaedah yang digunakan bersesuaian dengan diri anda. 

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.