Intoleransi Laktosa – Simptom dan Punca

Intoleransi laktosa berlaku apabila laktosa tidak dapat dicerna dan akan menyebabkan cirit-birit, kentut, dan kembung perut selepas mengambil produk tenusu.

Intoleransi laktosa adalah keadaan di mana badan tidak dapat mencerna sejenis gula dalam susu yang dipanggil laktosa. Walaupun kadangkala dipanggil alah laktosa namun ianya bukanlah alahan yang sebenar.

Apabila laktosa tidak dapat dicerna ianya akan menyebabkan cirit-birit, kentut, dan juga kembung perut selepas makan atau minum produk tenusu. Keadaan ini tidak bahaya tetapi menyebabkan ketidakselesaan.

Ianya terjadi kerana enzim laktase yang bertanggungjawab membantu mencerna laktosa dalam usus kecil tidak dihasilkan atau terlalu sedikit. Kebanyakan penghidap intoleransi laktosa mampu menghadapi keadaan ini walaupun mengambil sedikit produk tenusu setiap hari.

Tanda-tanda dan simptom

Tanda-tanda dan simptom intoleransi laktosa selalunya bermula seawal 30 minit hingga 2 jam selepas memakan makanan yang mengandungi laktosa. Tanda-tandanya seperti:

  • Cirit-birit
  • Mual dan muntah
  • Senak perut
  • Kembung perut
  • Kentut

Bila perlu berjumpa doktor

Jumpa doktor jika anda ada tanda-tanda di atas selepas memakan produk tenusu, terutamanya jika anda risau akan mengalami kekurangan kalsium.

Punca intoleransi laktosa

Intoleransi laktosa berlaku apabila usus kecil tidak menghasilkan enzim laktase yang cukup untuk mencerna gula dalam susu (laktosa).

Biasanya laktase akan mencerna susu menjadi dua jenis gula ringkas iaitu glukos dan galaktos yang boleh diserap ke dalam salur darah melalui lapisan mukosa usus.

Jika anda kekurangan laktase, makanan akan bergerak di dalam usus tanpa dicerna dan diserap oleh badan. Di dalam usus besar, laktosa yang tidak dicerna akan diproses oleh bakteria usus lalu menyebabkan simptom seperti yang dinyatakan.

Terdapat tiga jenis intoleransi laktosa yang disebabkan tiga faktor berbeza.

Intoleransi laktosa primer

Jenis ini adalah yang paling ramai penghidap. Penghidap intoleransi laktosa jenis ini pada awalnya boleh menghasilkan cukup enzim laktase dan boleh memproses susu ketika dilahirkan.

Ketika susu mula digantikan dengan makanan lain, jumlah enzim laktase yang dihasilkan akan menurun sedikit demi sedikit tanpa diketahui punca dan selalunya simptom akan keluar apabila dewasa di mana semakin sukar untuk badan mencerna produk tenusu.

Intoleransi laktosa sekunder

Intoleransi laktosa jenis ini terjadi apabila usus kecil kurang menghasilkan enzim laktase akibat penyakit tertentu, kecederaan ataupun pembedahan yang melibatkan usus kecil. Antara penyakit yang sering dikaitkan termasuklah jangkitan usus, penyakit celiac, pertumbuhan bakteria berlebihan dan juga penyakit Crohn.

Rawatan kepada penyakit yang disebutkan mungkin akan mengembalikan semula kadar laktase dan dapat memulihkan simptom intoleransi tetapi akan mengambil masa.

Intoleransi laktosa kongenital atau ketika membesar

Selalunya jarang untuk bayi baru lahir mendapat intoleransi laktosa disebabkan kekurangan enzim laktase. Ianya disebabkan penyakit keturunan autosomal resesif, yang bemaksud ibu dan bapa perlu mempunyai gen yang sama untuk penyakit itu keluar pada bayi. Bayi tidak cukup bulan juga boleh menghadapi intoleransi laktosa berikutan usus masih belum matang.

Faktor risiko

Faktor yang meningkatkan risiko untuk mendapat intoleransi laktosa termasuklah:

  • Umur meningkat. Intoleransi laktosa selalu berlaku apabila dewasa dan jarang pada bayi atau kanak-kanak.
  • Etnik. Selalunya berlaku pada keturunan Afrika, Asia, Hispanik dan India Amerika.
  • Kelahiran tidak matang. Selalunya bayi tidak matang mengalami kekurangan enzim laktase kerana usus mereka belum cukup matang untuk menghasilkannya.
  • Penyakit pada usus kecil. Masalah pada usus kecil boleh menyebabkan kurang penghasilan enzim laktase seperti penyakit celiac, pertumbuhan bakteria tidak terkawal dan penyakit Crohn.
  • Rawatan kanser. Sesetengah rawatan kanser seperti kemoterapi yang menyebabkan komplikasi usus dan terapi radiasi untuk kanser perut boleh meningkatkan risiko mendapat intoleransi laktosa.

Bacaan lanjut berkenaan intoleransi laktosa:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.