Ekzema Pada Kanak-kanak – Gejala dan Rawatan

Ramai pesakit yang mempunyai alahan sering menghidap ekzema, oleh itu amat penting untuk mengetahui punca atau trigger kepada penyakit ini.

Ekzema atau ruam kulit kering sering terjadi di kalangan kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke bawah. Dari segi perubatan ekzema juga dikenali sebagai atopic dermatitis.

Puncanya tidak diketahui walaubagaimanapun, ramai pesakit yang mempunyai alahan/alergi sering menghidap ekzema. Oleh itu amat penting untuk mengetahui punca atau trigger kepada penyakit ini.

Di antara pesakit yang terlibat termasuklah pesakit asma/lelah dan pesakit yang mempunyai alahan/alergi kepada sesuatu jenis makanan. Makanan yang sering dikaitkan termasuklah telur, susu lembu, udang dan makanan laut yang lain.

Ekzema bukanlah sejenis penyakit kulit yang boleh berjangkit.

Tanda-tanda

  • Kulit kering, ada ruam dan bersisik
  • Kulit menggelupas
  • Kegatalan
  • Kurang tidur kerana kulit gatal

Tindakan ibu bapa

  • Gunakan losyen bayi atau krim pelembap (seperti aqueous cream) untuk mengurangkan kekeringan. 
  • Gunakan sabun tanpa wangian ketika memandikan anak. 
  • Rendamkan pakaian anak di dalam air selepas membasuhnya untuk menghilangkan kesan-kesan sabun yang tertinggal. 
  • Elakkan anak daripada menggaru bahagian terlibat kerana boleh menyebabkan jangkitan kuman. Boleh pakaikan sarung tangan untuk mengelakkan luka.

Pencegahan Ekzema

  • Penjagaan kulit melalui saranan doktor.
  • Elakkan punca atau trigger kepada ekzema. Boleh lakukan ujian alergi untuk memastikan trigger tersebut.
  • Antara contoh trigger termasuklah:
    • Habuk
    • Pewangi
    • Peluh dan panas
    • Hormon
    • Gigitan serangga
    • Binatang peliharaan
    • Debunga
    • Asap rokok atau vape
    • Kapas atau fabrik tertentu

Rujukan kepada doktor 

  • Penyakit tidak kurang dengan tindakan di atas
  • Kulit menjadi merah, basah dan bernanah
  • Anak kurang tidur disebabkan kegatalan

Rawatan Ekzema

Doktor akan memberi nasihat serta ubat krim steroid dan ubat antihistamine yang sesuai. Ubat antibiotik juga akan diberi jika terdapat jangkitan pada kulit.

Tujuan rawatan ekzema ialah untuk melembapkan kulit yang kering supaya anak berasa selesa. Kulit yang kering akan menjadi gatal dan jika anak menggarunya, kulit akan menjadi merah dan dijangkiti kuman.  Apabila kemerahan dan menggelupas semakin kurang, kekerapan pemberian ubat boleh dikurangkan.

Adakala doktor akan meminta supaya anak tidak diberi susu lembu dan diberi pula susu soya. Bincanglah perkara ini dengan doktor anda.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.