Dual Diagnosis: Penagihan Dadah dan Masalah Kesihatan Mental

Walaupun gejala pesakit yang mempunyai dual diagnosis ini adalah lebih teruk, namun pesakit ini masih boleh dipulihkan.

Penyalahguna dadah yang mengalami masalah kesihatan mental dikenali sebagai dual diagnosis. Kedua-dua masalah ini mestilah dirawat pada masa yang sama kerana kepulihan individu ini bergantung kepada kejayaan mengatasi kedua-dua masalah tersebut.

Antara masalah kesihatan mental yang sering dihidapi oleh penyalahguna dadah adalah seperti kemurungan (depression), keresahan (anxiety), schizophrenia, dan bipolar disorder.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Journal of the American Medical Association:

  • Lebih kurang 50% individu yang didiagnos dengan masalah kesihatan mental yang teruk terlibat dengan penyalahgunaan dadah
  • 53% penyalahguna dadah menghidap sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan mental

Menurut statistik di atas, sememangnya penyalahgunaan dadah dan masalah kesihatan mental mempunyai hubungkait yang rapat. 

Punca perkaitan antara penyalahgunaan dadah dan masalah kesihatan mental:

  1. Individu yang mempunyai masalah kesihatan mental lebih cenderung untuk merawat diri sendiri berbanding mendapatkan bantuan profesional disebabkan stigma masyarakat lalu memilih untuk menyalahguna dadah untuk mengurangkan gejala masalah mental mereka.
  2. Kesan sampingan dadah sendiri yang boleh menyebabkan kemunculan masalah mental tersebut seperti dadah Ketamine yang boleh menyebabkan keresahan.
  3. Dadah boleh menyebabkan masalah mental menjadi lebih teruk dan meningkatkan kebergantungan penagih.

Bagaimana mengenalpasti jika seseorang mengalami dual diagnosis ini?

  1. Jika seseorang itu bergantung kepada dadah untuk mengawal mood, kesakitan, ketakutan ataupun ingin fokus.
  2. Jika masalah kesihatan mental muncul ketika pengambilan dadah seperti merasa resah, murung atau agresif ketika mengambil dadah.
  3. Masalah kesihatan mental masih berterusan walaupun tidak mengambil dadah.
  4. Jika anda pernah dirawat untuk penagihan dadah tetapi rawatan tersebut gagal disebabkan masalah kesihatan mental.
  5. Jika terdapat sejarah keluarga yang mengalami masalah kesihatan mental akibat pengambilan dadah.

Walaupun gejala pesakit yang mempunyai dual diagnosis ini adalah lebih teruk, namun pesakit ini masih boleh dipulihkan jika dikesan lebih awal dan mendapat sokongan semua pihak terutamanya ahli keluarga dan masyarakat.

Rawatan terbaik bagi pesakit ini adalah untuk mengikuti program pemulihan di samping mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat daripada pakar perubatan psikiatri.

Di AADK, klien yang mempunyai gejala kesihatan mental akan dikesan melalui ujian saringan oleh kakitangan perubatan AADK dan akan terus dirujuk ke fasiliti kesihatan KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Bacaan lanjut:

Sumber:

  1. https://jamanetwork.com/journals/jama/article-abstract/383975
Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.