Demam Tifoid (Kepialu) – Simptom Dan Punca

Demam tifoid adalah disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi dan boleh merebak melalui makanan serta air yang tercemar di samping sentuhan.

demam tifoid punca

Demam tifoid atau dipanggil juga sebagai demam kepialu adalah penyakit yang berpunca dari jangkitan bakteria Salmonella typhi. Penyakit ini jarang berlaku di negara maju dan merupakan ancaman serius di negara membangun terutamanya pada kanak-kanak.

Demam tifoid merebak melalui makanan dan air yang tercemar atau melalui sentuhan dengan seseorang yang telah dijangkiti. Tanda-tanda dan simptom termasuklah demam panas, sakit kepala, sakit perut dan juga sembelit atau cirit-birit.

Kebanyakan penghidap demam tifoid akan pulih selepas beberapa hari rawatan dengan antibiotik, walaupun ada antara penghidap yang meninggal dunia disebabkan komplikasi.

Terdapat vaksin untuk demam tifoid. Vaksin akan diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi terdedah kepada penyakit ini ataupun yang ingin pergi ke kawasan yang selalu terdapat kes demam tifoid.

Tanda-tanda dan Simptom

Tanda-tanda dan simptom demam tifoid muncul perlahan-lahan, selalunya antara satu ke tiga minggu setelah dijangkiti.

Tanda-tanda awal penyakit

Antara tanda-tanda awal penyakit demam tifoid termasuklah:

  • Demam yang semakin meningkat, suhu boleh mencecah sehingga 40.5 darjah celcius
  • Sakit kepala
  • Lemah badan dan keletihan
  • Sakit otot
  • Berpeluh
  • Batuk kering
  • Hilang selera makan dan berat badan
  • Sakit perut
  • Cirit-birit atau sembelit
  • Ruam badan
  • Perut kembung

Jika tidak dirawat

Jika pesakit tidak dirawat, mereka mungkin mengalami:

  • Kekeliruan dan gelisah
  • Baring tidak bergerak dengan mata separuh tertutup yang dikenali sebagai ‘keadaan tifoid’

Pada masa ini, komplikasi yang mengancam nyawa boleh berlaku.

Pada sesetengah keadaan, tanda-tanda di atas boleh kembali selepas dua minggu demam kebah.

Bila perlu berjumpa doktor

Jumpa doktor dengan segera sekiranya anda mengesyaki dijangkiti demam tifoid. Sebelum memulakan perjalanan, dapatkan maklumat berkenaan tempat yang dituju sekiranya banyak kes tifoid (endemik).

Jika anda mendapat tanda-tanda selepas pulang dari tempat yang mempunyai kes tifoid, sila berjumpa doktor dengan segera dan ceritakan sejarah perjalanan anda supaya doktor dapat membuat diagnosis yang lebih tepat.

Punca

Demam tifoid adalah disebabkan bakteria yang boleh berjangkit dikenali sebagai Salmonella typhi. Bakteria ini berbeza dengan bakteria yang menyebabkan penyakit salmonellosis walaupun namanya hampir sama.

Penyebaran melalui najis ke mulut

Penyebaran bakteria punca demam tifoid adalah melalui makanan dan air yang tercemar dan boleh juga berlaku melalui sentuhan terhadap mereka yang telah dijangkiti. Di negara yang mempunyai banyak kes tifoid, ia selalunya disebabkan oleh pencemaran air dan sistem kumbahan yang tidak sempurna. Kebanyakan penghidap dari negara maju pula mendapat penyakit ini ketika melancong atau bekerja di negara lain dan menyebarkannya secara najis ke mulut apabila pulang ke negara asal.

Salmonella typhi boleh disebarkan melalui najis dan air kencing mereka yang telah dijangkiti. Anda juga boleh mendapat penyakit ini melalui penyediaan makanan oleh mereka yang dijangkiti demam tifoid yang tidak membersihkan tangan mereka dengan betul selepas menggunakan tandas. Anda juga boleh dijangkiti apabila meminum air yang dicemari bakteria tifoid.

Pembawa tifoid

Kadangkala walaupun sudah menerima rawatan dengan antibiotik, terdapat sesetengah orang yang pulih tetapi bakteria masih hidup di dalam usus dan hempedu mereka selama bertahun-tahun. Mereka dikenali sebagai pembawa tifoid kronik dan masih boleh menyebarkan bakteria melalu najis walaupun mereka sendiri tidak mempunyai simptom demam tifoid.

Faktor risiko

Demam tifoid terus menjadi ancaman jangkitan di seluruh dunia, selalunya di negara mundur dan membangun dan menjangkiti lebih 26 juta orang setiap tahun. Penyakit ini menjadi endemik dan banyak terdapat di India, sesetengah negara Asia Tenggara, Amerika Selatan dan lain-lain.

Kanak-kanak merupakan kumpulan berisiko tinggi walaupun mereka selalunya tidak mendapat jangkitan yang teruk berbanding orang dewasa.

Jika anda tinggal di negara yang jarang berlaku kes demam tifoid, anda masih boleh mendapat jangkitan jika:

  • Anda melancong atau pergi bekerja ke negara yang terdapat banyak kes (endemik)
  • Bekerja di bahagian makmal yang perlu menganalisa sampel najis termasuk pesakit demam tifoid
  • Terdapat sentuhan terhadapa mereka yang dijangkiti demam tifoid atau pembawa
  • Minum air ynag tercemar dengan bakteria Salmonella typhi

Komplikasi

Pendarahan atau kebocoran usus

Antara komplikasi merbahaya demam tifoid termasuklah pendarahan atau kebocoran usus yang boleh terjadi pada minggu ketiga jangkitan. Kebocoran usus terjadi apabila terdapat lubang pada usus kecil atau usus besar yang membebaskan kandungan usus dan menyebabkan simptom seperti sakit perut, mual, muntah dan jangkitan dalam darah (sepsis). Ianya memerlukan rawatan kecemasan kerana boleh mengancam nyawa.

Komplikasi lain yang jarang berlaku

Antara komplikasi lain yang boleh berlaku termasuklah:

  • Keradangan pada otot jantung (myokarditis)
  • Keradangan kepada lapisan yang melindungi jantung (endokarditis)
  • Jangkitan paru-paru (pneumonia)
  • Keradangan pankreas (pankreatitis)
  • Jangkitan buah pinggang atau pundi kencing
  • Jangkitan dan keradangan pada lapisan pelindung otak dan saraf tunjang (meningitis)
  • Masalah psikiatri seperti kekeliruan, halusinasi dan psikosis paranoid

Dengan rawatan segera, hampir kesemua penghidap demam tifoid mampu sembuh. Jika tidak menerima rawatan atau terlewat, sesetengah penghidap mungkin akan meninggal dunia akibat komplikasi.

Bacaan lanjut berkenaan demam tifoid:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.