Wabak Demam Rift Valley pernah melanda Semenanjung Tanah Arab melibatkan negara Arab Saudi dan Yaman. Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan seramai 113 kes serta 30 kematian di Yaman dan 38 kes serta 16 kematian di Arab Saudi pada sekitar tahun 2000.
Punca jangkitan
Penyakit ini adalah penyakit zoonotik yang boleh menjangkiti binatang seperti lembu, kerbau, unta, kambing dan biri-biri serta manusia. Penyakit ini disebabkan oleh virus dari kumpulan Phlebovirus.
Cara penularan penyakit ini adalah melalui:
- Gigitan oleh pelbagai jenis nyamuk termasuk nyamuk Aedes yang telah yang dijangkiti oleh virus ini
- Kontak dengan darah, cecair badan atau binatang dijangkiti oleh virus ini
- Minum susu yang belum dimasak dari binatang yang dijangkiti
Temboh inkubasi adalah dari dua hingga enam hari.
Tanda dan gejala
Gejala penyakit ini adalah seperti berikut:
- Demam
- Sakit badan
- Sakit belakang
- Sakit dan kejang (stiffness)
- Takut cahaya (photophobia)
- Muntah-muntah
Dalam setengah-tengah kes yang serius, pesakit boleh mengalami gejala seperti berikut:
- Penyakit mata
- Meningoencephalitis (radang otak serta tisu sekitarnya)
- Demam berdarah
Rawatan
Setakat ini tiada rawatan tertentu seperti ubat atau vaksin untuk penyakit ini. Rawatan hanyalah bergantung kepada gejala pesakit. Biasanya gejala akan reda selepas dua hari ke seminggu jangkitan.
Pencegahan jangkitan
Semua pelawat atau pengunjung ke Semenanjung Tanah Arab termasuk Arab Saudi dan Yaman adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah seperti berikut:
- Mengelakan dari gigitan nyamuk dengan pakaian yang menutup badan mengikut kesesuaian, memakai penghalau nyamuk, serta memakai kelambu semasa tidur.
- Elakkan dari mengambil minuman susu yang tidak dimasak.
- Jauhkan diri dari sebarang binatang seperti lembu, kerbau, unta, kambing serta biri-biri.
Sesiapa yang mengalami sebarang masalah kesihatan terutama mempunyai gejala penyakit seperti yang dinyatakan seperti di atas perlu mengunjungi klinik atau hospital yang berdekatan semasa di Tanah Arab.
Sementara itu bagi mereka yang baru pulang dari Tanah Arab dan mengalami gejala penyakit yang serupa hendaklah mendapatkan rawatan dan nasihat daripada pegawai-pegawai perubatan di klinik atau hospital yang berdekatan.
Selain dari itu, kepada semua doktor yang mengesyaki ada di antara pesakit mereka terutama yang baru sahaja pulang dari melawat atau mengunjungi Tanah Arab yang mempunyai penyakit ini, sila laporkan kepada Pejabat Kesihatan yang berdekatan.
Tulis Komen