Demam Pada Kanak-kanak – Punca dan Rawatan

Peningkatan suhu badan semasa demam ini berpunca daripada reaksi sel-sel di dalam badan terhadap kuman yang menjangkitinya.

Demam ialah salah satu daripada tanda atau gejala penyakit dan bukannya sejenis penyakit. Anak dikatakan demam jika suhu badannya meningkat. Peningkatan suhu badan ini berpunca daripada reaksi sel-sel di dalam badan terhadap kuman yang menjangkitinya.

Suhu badan biasa yang diambil dengan menggunakan termometer adalah di antara 36°C hingga 37°C. Suhu naik-turun mengikut masa (rendah pada waktu pagi dan tinggi pada waktu petang), tahap kegiatan anak, umur, jenis makanan, pakaian dan suhu sekeliling.

Suhu anak yang demam selalunya di antara 37.6°C hingga 40°C. Suhu tinggi ini sahaja tidak akan merosakkan otak anak anda. Kebanyakan demam adalah disebabkan oleh jangkitan virus. 

Tanda-tanda

  • Muka dan badan panas
  • Muka merah
  • Pernafasan yang cepat
  • Berpeluh dan menggigil
  • Menangis

Tindakan ibu bapa

  • Tujuan rawatan untuk demam adalah bagi membuatkan anak berasa selesa dan mengurangkan risiko kekurangan air (dehidrasi) di dalam badan anak. 
  • Pakaikan anak dengan pakaian yang nipis berlengan pendek. 
  • Beri ubat paracetamol dengan dos yang mencukupi tiap-tiap 4-6 jam jika suhu badan melebihi 38°C. Dos ubat ini ialah 15 hingga 20 mg setiap kilogram berat badan. Paracetamol boleh diberi tiap-tiap 6 jam.
  • Lapkan air suam keseluruh badan anak jika demam tidak turun setelah satu jam diberi ubat demam. Jangan gunakan air sejuk atau ais kerana ini akan membuatkan anak menggigil dan meningkatkan lagi suhu badannya. 
  • Pasang kipas untuk menurunkan suhu sekeliling anak dan untuk keselesaannya. 
  • Beri anak minum secukupnya dan berikannya makan bubur supaya senang dihadamkan. Aiskrim atau jeli boleh diberi untuk menolong mengurangkan suhu badan anak. 

Rujukan kepada doktor

  • Anak demam yang berumur kurang daripada 6 bulan
  • Demam sederhana yang berpanjangan melebihi 3 hari
  • Demam tinggi yang melebihi 24 jam
  • Anak kelihatan tidak bermaya, keliru, enggan makan atau minum, atau susah dikejutkan daripada tidur
  • Ruam atau tompok, tompok yang kelihatan apabila demam bermula
  • Nafas sesak
  • Untuk memastikan demam tidak disebabkan oleh penyakit-penyakit yang lebih berbahaya

Rawatan

  • Kebanyakan demam disebabkan oleh virus yang tidak memerlukan rawatan antibiotik. Walau bagaimanapun, ubat antibiotik perlu diberikan dalam keadaan yang besar kemungkinan jangkitan bakteria berlaku. 
  • Ubat paracetamol tidak patut diberikan lebih kerap daripada tiap-tiap 4 jam dan berterusan lebih daripada 3 hari tanpa anak diperiksa doktor. Penggunaan ubat ini secara berlebihan adalah berbahaya. 
  • Ubat aspirin tidak lagi digunakan untuk kanak-kanak yang demam. 
  • Salah satu daripada sebab demam yang jarang dikenali ialah jangkitan air kencing yang mungkin memerlukan pemeriksaan yang lebih lanjut. 
  • Sawan demam berlaku dalam lebih kurang 3 peratus kanak-kanak sahaja apabila demam mereka terlalu tinggi. 

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.