Ciri-ciri dan Jenis Dadah Rekaan (Designer Drugs)

Dadah jenis ini juga dikaitkan dengan sindrom goyang kepala berasaskan irama muzik yang kuat dan menyebabkan denyutan jantung menjadi laju.

Dadah rekaan ataupun designer drugs merupakan satu kumpulan dadah analog yang direka untuk meniru kesan dadah induk dari segi kesan farmakologi ke atas pengguna. Dadah analog adalah dadah tiruan yang hanya berbeza sedikit dari segi struktur kimianya jika dibandingkan dengan dadah induknya. 

Ciri-Ciri Utama Dadah Rekaan

1. Dikeluarkan dengan tujuan mengelakkan kawalan undang-undang. Dadah disenaraikan mengikut nama dan struktur kimia di bawah kebanyakan undang-undang. Dadah rekaan terkecuali daripada kawalan undang-undang kerana ia merupakan bahan-bahan kimia yang baru dicipta dan seringkali diubah struktur kimianya. Oleh itu amat rumit sekali untuk menyenaraikan bahan-bahan ini mengikut struktur kimia tertentu.

2. Dicipta dan dikeluarkan secara haram oleh ahli kimia yang mahir. Ahli kimia yang mahir dan berpengalaman mencipta dan mengeluarkan dadah rekaan ini secara haram dengan menggunakan peralatan yang ringkas dan sedikit sahaja bahan mentah. Tiada risiko yang dihadapi kerana tiada bahan mentah seperti heroin yang perlu diseludup untuk membuat dadah ini. Keuntungan yang diperoleh pula adalah besar.

3. Bahan ini sangat susah untuk dikesan dalam cecair badan kerana jumlahnya yang sangat sedikit dan identitinya yang tidak menentu. Walau bagaimanapun, ia mendatangkan kerosakan tisu yang teruk dan boleh membawa maut.

Sejenis dadah rekaan telah dilaporkan menyebabkan sebanyak 100 kes kematian di California, Amerika Syarikat. Sejenis dadah rekaan lain (MPTP) telah mengakibatkan sejenis penyakit neurologi seakan-akan penyakit Parkinson yang mana sukar untuk diubati. Dadah rekaan MDMA pula telah didapati menyebabkan keadaan psikotik seperti mana yang dialami oleh pengguna kokain dan amfetamin.

Tiga Kumpulan Utama Dadah Rekaan

Analog Fentanyl

Contohnya 3-methyl fentanyl yang merupakan analog kepada dadah fentanyl. Fentanyl adalah sejenis dadah yang digunakan dalam perubatan sebagai ubat bius. Fentanyl adalah 100 kali lebih kuat daripada morfin, manakala analognya iaitu 30-menthyl fentanyl yang dikeluarkan secara haram adalah kira-kira 3000 kali lebih kuat daripada morfin. 

Analog Pethidine

Contohnya MPPP atau 1-methyl-4-phenyl-propionoxy-piperidine dan MPTP atau 1-methyl-4-phenyl-1,2,3,6-tetrahydropyridine yang lebih kuat daripada dadah induk iaitu pethidine.

Analog Methamphetamine

Contohnya MDMA atau 3,4-methylenedioxyamphetamine yang juga lebih kuat kesannya daripada bahan kimia induk iaitu methamphetamine. MDMA juga dikenali sebagai Ecstasy.

Kesan Dan Bahaya Penggunaannya

Ecstasy merupakan mood enhancing drug yang mempunyai kesan terhadap persepsi pengguna kepada keadaan sekeliling terutama warna dan bunyi.

Dadah jenis ini juga dikaitkan dengan sindrom goyang kepala berasaskan irama muzik yang kuat yang akan menyebabkan denyutan jantung menjadi laju. Kesannya kerosakan otak, kekejangan otot dan tangan menggeletar.

Ecstasy memberi kesan kepada neurotransmitter yang dipanggil serotonin yang mengawal rasa lapar, letih dan tekanan perasaan. Semasa pengambilan dadah ini, seseorang itu akan menjadi seronok dan boleh berseronok sepanjang malam tanpa berasa letih. Apabila kesan berkurangan, penyalahgunanya akan mengalami keletihan dan tekanan perasaan yang teruk. Jika diteruskan boleh menyebabkan masalah mental.

Pengambilan ecstasy bersama-sama dengan minuman keras sewaktu menari akan menjadikan badan seseorang kehilangan air dan suhu badan meningkat, bollleh mengakibatkan pengsan dan kemungkinan merosakkan organ-organ seperti buah pinggang, hati dan jantung.

Sumber:

  1. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK27974/

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.