Bayi Menangis Tanpa Sebab (Kolik) – Punca dan Rawatan

Ramai bayi berumur kurang daripada 3 bulan menghidap kolik dan akan hilang sendiri apabila bayi semakin membesar.

Kolik dari segi perubatan bermaksud bayi yang menangis tanpa sebab yang jelas (tidak sakit atau lapar) melebihi 3 jam sehari, 3 hari seminggu dan melebihi 3 minggu. Ramai bayi berumur kurang daripada 3 bulan menghidap kolik dan akan hilang sendiri apabila bayi semakin membesar.

Kolik merupakan diagnosis untuk anak yang menghidap sakit perut. Sakit perut yang dihidapi bayi-bayi ini berlainan kerana selain menangis dan menjerit, tiada tanda-tanda lain seperti demam , najis berdarah, muntah , air kencing kotor atau cirit-birit .

Bayi-bayi ini tidak boleh ditenangkan dan akan menangis di antara 1-5 jam dengan kakinya ditarik ke dada dan mukanya menjadi merah. Ibu bapa selalu berasa cemas kerana tiada cara untuk mengurangkan jeritan dan tangisan bayi mereka.

Bayi ini haruslah diperiksa oleh doktor bagi memastikan bayi tidak menghidap penyakit-penyakit yang lain seperti jangkitan kuman, masalah pencernaan, kecederaan dan sebagainya.

Tanda-tanda kolik

  • Bayi berumur kurang daripada 3 bulan
  • Menangis dan menjerit
  • Kaki ditarik ke dada semasa menangis
  • Tangisan yang berlaku pada lebih kurang masa yang sama tiap-tiap hari

Tindakan ibu bapa

  • Pastikan dengan doktor bahawa anak anda menghidap kolik dan bukan penyakit lain yang membahayakan anak. 
  • Kurangkan jumlah susu yang diberi dan lebihkan kekerapan penyusuan
  • Sendawakan anak apabila ia menangis berpanjangan untuk mengeluarkan angin dari dalam perutnya. 
  • Pastikan suhu bilik tidur tidak terlampau panas atau sejuk. 
  • Pastikan lampin bayi kering. 
  • Tenangkan bayi dengan mendukung dan mendakapnya. 

Rujukan kepada doktor

  • Untuk memastikan diagnosis kolik (jika berlaku tangisan tiba-tiba dan tidak terkawal)
  • Jika tangisan anak berlainan daripada biasa
  • Bayi tidak menyusu atau kelihatan tidak bermaya
  • Jika bayi mempunyai tanda-tanda seperti Sakit Perut
  • Ibu bapa bimbang dan perlukan nasihat

Rawatan kolik

Ramai ibubapa suka mengunakan gripe water untuk mententeramkkan anak. Ubat-ubatan seperti Dentinox atau Infacol boleh membantu melegakan bayi namun mestilah diambil atas nasihat doktor. Bincanglah ubat-ubat ini dengan doktor anda. Rawatan kolik yang melibatkan penukaran susu anak jarang sekali berkesan.

Tangisan bayi yang berterusan boleh memberikan tekanan kepada ibu bapa jika tidak terkawal. Minta bantuan ahli keluarga yang lain untuk sama-sama menjaga bayi yang menghidapi kolik dan pastikan ibu bapa mendapat rehat yang secukupnya.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.