Batuk Pada Kanak-kanak – Tips dan Rawatan

Batuk merupakan satu tanda bagi penyakit lain seperti bronkiolitis, asma, krup, pneumonia, batuk kokol dan batuk kering.

Kanak-kanak sering sekali batuk. Ini adalah cara mereka membersihkan kerongkong dan saluran pernafasan. Batuk dapat mengeluarkan kahak yang kental daripada saluran pernafasan.

Ramai kanak-kanak batuk apabila mereka menghidap selesema kerana hingus daripada hidung akan mengalir ke kerongkong dan seterusnya mengakibatkan batuk. Batuk begini tidak membahayakan. 

Tanda-tanda

Batuk merupakan satu tanda bagi penyakit lain seperti bronkiolitis, asma/lelah, krup, pneumonia dan batuk kokol. Penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering juga akan membuatkan pesakit batuk berbulan-bulan lamanya.

Selalunya penyakit yang disebutkan tadi mempunyai ciri-ciri lain. Misalnya pneumonia akan menyebabkan batuk bersama dengan demam. Doktor akan mengenalpasti ciri-ciri yang khusus bagi setiap penyakit sebelum diagnosis dibuat.

Tindakan ibu bapa

  • Beri anak minum secukupnya. 
  • Galakkan anak mengeluarkan kahak setiap kali mereka batuk.
  • Ajar anak menghembuskan hingusnya sendiri. 
  • Rawatan selanjutnya bergantung kepada punca batuk dan nasihat doktor.

Rujukan kepada doktor perlu apabila

  • Usia anak kurang daripada 6 bulan kerana jangkitan paru-paru seperti bronkiolitis sering melibatkan anak dalam lingkungan usia ini. . Penyakit bronkiolitis adalah jangkitan paru-paru disebabkan virus yang dinamakan RSV (Respiratory Syncytial Virus). 
  • Demam (Ukurlah suhu badan anak dengan termometer digital).
  • Kadar pernafasan semakin cepat (lebih daripada 40 seminit pada bayi dan lebih daripada 30 seminit pada anak yang lebih besar). 
  • Batuk yang mengakibatkan pernafasan terhenti dan muka anak menjadi biru. 
  • Kurang selera atau daya untuk menyusu.
  • Batuk berterusan lebih daripada 7 hari.
  • Batuk mengganggu tidur.
  • Batuk mengakibatkan muntah setiap kali anak makan atau minum. 
  • Anak tertelan benda asing kecil.
  • Anda risau melihat anak anda.

Peringatan

Ubat batuk yang mengandungi codeine tidak sesuai untuk anak. Ubat batuk jarang diberi kepada anak yang batuk beberapa hari sahaja.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.