Bahaya Pengambilan Ganja

Kesan jangka panjang penggunaan ganja adalah termasuk peningkatan risiko masalah kesihatan mental seperti keresahan, kemurungan atau psikosis.

Ganja, Kanabis atau Marijuana merupakan sejenis tumbuhan yang mengandungi pelbagai jenis bahan kimia. Antara bahan kimia utama dalam tumbuhan tersebut adalah delta-9-tetrahydrocannabinol (Δ9-THC) yang bersifat psikoaktif (mampu mempengaruhi minda) dan cannabidiol (CBD) yang tidak bersifat psikoaktif. 

Ganja digunakan melalui pelbagai cara termasuk oral (telan), namun cara menghisap seperti rokok gulung, mengunakan alat “bong” atau  “shisha” merupakan cara yang sering digunakan. Cara pengambilan ini akan menggunapakai daun tersebut secara keseluruhan dan mengandungi pelbagai bahan kimia dengan kepekatan atau kandungan bahan aktif (THC atau CBD) berbeza. Kandungan bahan aktif kanabis tidak terjamin  kerana ditanam dalam keadaan yang tidak terkawal.   

Kesan pengambilan ganja pada umumnya bergantung kepada kandungan bahan aktif THC dan CBD. Antara kesan jangka pendek ganja adalah termasuk pening serta gangguan terhadap memori jangka pendek, konsentrasi, imbangan dan koordinasi. . Kanabis juga menyebabkan kesukaran bernafas dan meningkatkan kadar denyutan jantung untuk golongan remaja dan kanak-kanak. Kebanyakan kesan sampingan ini adalah seperti kesan yang disebabkan oleh THC.

Kesan jangka panjang penggunaan ganja adalah termasuk peningkatan risiko masalah kesihatan mental seperti keresahan, kemurungan atau psikosis. Penggunaan ganja secara kronik terutamanya di kalangan remaja adalah lebih berbahaya kerana kesan yang lebih serius terhadap sel otak yang masih berkembang.

Ganja juga boleh menyebabkan kesan ketagihan kepada orang yang menggunakan ganja secara berterusan atau setiap hari. Antara gejala tarikan (withdrawal) yang dapat dilihat pada orang tersebut apabila mereka secara tiba-tiba tidak mengambil ganja adalah termasuk gangguan sistem pencernaan, perubahan pola dan nafsu makan, mudah marah, kegelisahan, paranoia dan gangguan tidur.

Terdapat beberapa negara yang membenarkan penggunaan kanabis bagi rawatan beberapa masalah perubatan seperti mual dan muntah yang disebabkan oleh kemoterapi (Chemotherapy induced nausea & vomiting), kesakitan kronik (chronic pain), gangguan tidur (sleep disorder) dan “spasticity associated with multiple sclerosis”. Namun, terdapat bukti saintifik yang terhad dalam penggunaan tersebut, dan biasanya digunakan dalam kajian (experimental use).  

Berhubung dengan kawalan dadah di peringkat antarabangsa, ganja dalam sebarang bentuk persediaan termasuk resin, minyak, dan daun masih lagi  dikawalselia mengikut Article 2.3, Single Convention on Narcotic Drugs 1961. Di Malaysia, kanabis, kanabis resin, kanabis ekstrak dan kanabis tincture merupakan dadah berbahaya yang tertakluk di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga racun yang tertakluk di bawah Akta Racun 1952. 

Sekiranya melibatkan produk berasaskan kanabis untuk kegunaan rawatan perubatan manusia, ia juga merupakan dadah dan produk ini tertakluk kepada Akta Jualan Dadah 1952. Akta-akta ini dan peraturan-peraturannya memperuntukkan kawalan ke atas pengendalian kanabis, antaranya pengimportan, pengeksportan, penjualan, pembekalan, pengilangan, penanaman, pemilikan dan penggunaan.

Buat masa ini, tiada produk berasaskan kanabis untuk kegunaan rawatan perubatan manusia yang berdaftar di Malaysia.

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah yang merupakan pihak bertanggungjawab untuk mendaftarkan produk di Malaysia pernah mendaftarkan satu produk berasaskan kanabis iaitu Sativex® pada tahun 2014. Namun begitu, atas permintaan pihak syarikat sendiri, pendaftaran produk ini telah dibatalkan pada tahun 2017.

Kesan Jangka Pendek

  • Tidak dapat memberikan tumpuan/ pening
  • Imbangan dan koordinasi lemah
  • Reaksi yang perlahan
  • Menjejaskan pemikiran dan memori jangka pendek
  • Motivasi yang semakin berkurangan

Gejala Tarikan (withdrawal)

  • Berasa resah
  • Kemurungan
  • Bingung
  • Paranoia (perasaan takut dan curiga yang tidak rasional)

Sumber:

  1. Extract from the Report of the 41st Expert Committee on Drug Dependence (WHO): Cannabis and cannabis-related substances
  2. Akta Dadah Berbahaya 1952
  3. https://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/entri/soalan-lazim-kanabis-cannabis.html

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.