Bagaimana Mendidik Anak Sejak Dari Dalam Rahim

Anda juga perlu taat pada perintah Allah, jangan ingkari suruhannya, kerana segala tingkah laku anda juga bakal mencorakkan bayi dalam kandungan.

Anak pintar boleh dibentuk

Pendidikan dan persekitaran boleh mempengaruhi perkembangan bayi sama ada untuk menjadi kanak-kanak yang sihat mental, fizikal dan emosi atau sebaliknya.

  • Faktor pemakanan dan jalinan antara ahli keluarga membantu perkembangan otak dan kestabilan emosi. Ibu-ibu yang hamil hendaklah memastikan pengambilan makanan yang berkhasiat terutamanya yang kaya dengan vitamin C, kerana mengikut kajian, vitamin C mampu meningkatkan IQ seseorang. Ambil dalam kuantiti dos yang ditetapkan atau secara sederhana kerana pengambilan vitamin yang melampau akan meninggalkan kesan terhadap janin.
  • Para ibu juga digalakkan mengambil zat tambahan iaitu asid folik ketika hamil bagi mengelakkan masalah spina bifida yang boleh membantutkan perkembangan anak.
  • Jangan merokok, kerana asap rokok yang masuk ke dalam aliran darah sebenarnya mengandungi lebih 2000 jenis toksik.
  • Ibu bapa digalakkan berbual dengan janin apabila janin mula bergerak.
  • Ibu perlu menjaga emosi. Sentiasa berada dalam keadaan tenang.

Suami juga mempunyai peranannya. Penting baginya untuk mewujudkan keadaan yang aman dan tenteram dalam rumahtangga. Berikan sokongan moral terhadap isteri agar menghasilkan pertumbuhan janin yang sihat dan pintar.

Janin sebenarnya amat peka dengan keadaan sekeliling. Segala suasana hingar bingar atau kebisingan dan kerunsingan ibu, akan menghasilkan bayi yang hiperaktif, sering sakit, cacat anggota dan sebagainya.

Waktu hamil merupakan tempoh kritikal. Oleh itu, segala masalah yang timbul perlu ditangani secara bijaksana. Anda boleh mewujudkan pendidikan secara formal apabila otak janin mulai berkembang. Bacalah buku-buku cerita supaya ia boleh didengar oleh janin.

Ibu perlu sentiasa bersikap positif dan ia juga perlu dibantu oleh bapa, kerana ketika ini pelbagai kerenah dari ibu akan timbul. Bagaimanapun ada sesetengah kanak-kanak dilahirkan dengan memiliki kepintaran semulajadi.

Berusahalah untuk mendapat anak yang cemerlang sejak dari dalam rahim lagi. Selain daripada mengekalkan usaha-usaha di atas, berdoalah kepada Allah agar memberikan anak yang cerdas pintar. Anda juga perlu taat pada perintah Allah, jangan ingkari suruhannya, kerana segala tingkah laku anda juga bakal mencorakkan bayi dalam kandungan.

Pendidikan anak-anak: Apa yang perlu diutamakan?

Tidak semua anak-anak boleh diberi pendidikan melalui satu kaedah yang sama. Ia berbeza, bergantung pada sikap, umur, tahap IQ dan lain-lain lagi yang terdapat pada anak tersebut.

Berikut adalah beberapa panduan untuk anda dalam kaedah untuk mendidik anak-anak:

  1. Didik anak anda sejak dari dalam kandungan lagi. Bagi yang beragama Islam ada baiknya anda sebagai ibu dan juga disertai oleh bapanya memperdengarkan bayi dalam kandungan ini dengan bacaan al-Quran. 

    Bagi yang gemar dengan teknologi barat, bolehlah merangsang otak bayi dalam kandungan dengan memperdengarkannya dengan alunan muzik yang lembut. 
  2. Lahir sahaja ke dunia, pendidikan pertama yang akan mereka lalui ialah kaedah penyusuan. Mereka akan mula belajar untuk menerima makanan dari ibu tidak seperti semasa mereka dalam kandungan. 

    Oleh itu, ada baiknya ibu memberi susu badan mereka kepada bayi baru lahir ini kerana ia permulaan yang baik untuk mengeratkan jalinan kasih sayang antara ibu dengan anak.
  3. Apabila anak-anak ini mencecah sekitar umur 4 atau 5 tahun, cetusan minat mereka sudah mula bercambah. Mereka mudah untuk membuat atau mencuba sesuatu perkara yang baru. Mereka gemar mendengar cerita, melihat buku-buku bergambar, melukis dan mewarna dan akan merasa gembira jika dibawa ke zoo untuk melihat keletah binatang-binatang di situ.

    Bermula dengan minat begini minda mereka akan terbuka luas untuk meneroka alam dengan lebih teliti dan mendalam lagi. Inilah yang dinamakan pembentukan peribadi.
  4. Pembentukan peribadi di peringkat umur muda perlu dikawal oleh ibu bapa kerana matlamat utama dalam mendidik anak ialah untuk melahirkan seorang yang antaranya:

    – mempunyai keyakinan diri
    – menghormati orang lain
    – pandai menyesuaikan diri ketika bersosial dan faham fungsi mereka dalam masyarakat
    – berdisiplin
    – berminat untuk memajukan diri sendiri
    – seorang yang pandai membalas dan mengenang jasa
    – taat dengan suruhan agama
  5. Ada ibu bapa yang ingin mendidik anak mereka mengikut kaedah orang-orang barat. Contohnya, lebih suka anak mereka berdikari, bebas meluahkan pandangan, bersosial dan sebagainya, mengikut pendekatan pendidikan di barat. 

    Namun ada baiknya corak atau kaedah pendidikan barat yang ingin dijadikan contoh itu, diteliti dan dihalusi terlebih dahulu agar sesuai dan mengikut keadaan masyarakat timur kita yang lebih mementingkan sikap hormat-menghormati antara satu dengan lain, di samping mempunyai adat, budaya dan tatasusila ketimuran yang jauh lebih halus dan teratur berbanding masyarakat barat.
  6. Ibu bapa perlu selalu berbincang dengan anak-anak supaya anak-anak dapat merasakan diri mereka dihargai dan tidak diabaikan. Ibu bapa jangan terlalu ego dengan status mereka sehingga tidak mahu mendengar atau menerima pendapat anak-anak dalam menentukan perkara kecil yang mampu diselesaikan oleh mereka (anak-anak). Hargailah anak dan hormati juga perasaan mereka
Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.