Bagaimana Membantu Anak Anda Menjadi Cemerlang

Usaha kecemerlangan tidak seharusnya diletakkan pada bahu anak semata-mata kerana kejayaan mereka juga bergantung kepada persekitaran yang baik.

Setiap ibu bapa menginginkan anak yang cemerlang dalam pelajaran. Anak juga inginkan perkara yang sama. Namun kecemerlangan ini tidak seharusnya diletakkan pada bahu anak semata-mata kerana kejayaan mereka juga bergantung kepada persekitaran yang baik.

Ibu bapa dan anak harus menjadi rakan sepasukan dalam memastikan mereka berjaya dalam pelajaran dan seterusnya kehidupan. Berikut merupakan cara yang boleh diamalkan bagi membantu anak-anak anda.

Formula B=F+I+P 

Setiap kali kita BELAJAR, kita perlu FAHAM dan INGAT yang kita belajar sehingga mampu memberikan PENERANGAN yang tepat dan betul.

BELAJAR = FAHAM + INGAT + PENERANGAN.

Jika kita hanya faham tetapi lupa, kita belum belajar. Jika kita faham dan ingat tetapi tidak dapat memberikan keterangan yang tepat atau betul, kita belum belajar.

Oleh itu, anak mesti membiasakan dirinya untuk betul-betul faham apa yang ia belajar dan berusaha mengingat atau menghafalnya, serta mencari peluang-peluang untuk menerangkan apa yang dia faham dan ingat agar penerangan yang betul itu mencerminkan kefahaman dan ingatan yang betul.

Pembelajaran mesti diperkukuhkan 

Hanya dengan mengulangkaji dan ujian anak-anak kita akan berpeluang untuk benar-benar mengekalkan pembelajaran dan mengetahui sejauhmana pemahaman-pemahaman itu tepat dan sempurna.

Berikut adalah antara empat cara ulangkaji yang berkesan:

  • Sediakan diri dengan membaca bahan-bahan sekolah sebelum bahan-bahan itu diajar: (Preknowledge)
  • Ulangkaji sejurus selepas guru selesai mengajar
  • Ulangkaji sejurus sebelum tidur
  • Ulangkaji sejurus selepas bangun tidur

Anak yang banyak membaca awal topik-topik yang bakal diajar oleh guru akan lebih cepat memahami apa yang akan diajar oleh gurunya.

Anak yang terus mengulangkaji sejurus selepas guru habis mengajar di kelas akan berpeluang memperkukuhkan bahan-bahan pembelajaran.

Bantu anak anda mengulangkaji semasa di rumah

Jika ia mengulangkaji sebelum tidur, bahan-bahan yang diulangkaji itu akan mudah meresap ke dalam ingatannya semasa ia tidur.

Dan jika ia mengulangkaji sejurus selepas ia bangun dari tidur, amalan ini akan memperkukuhkan lagi ingatan yang tersusun di dalam ingatannya.

Hal-hal ini perlu dijadikan amalan harian bagi meringankan proses belajar dan ulangkaji. Jika tidak, atau jika ulangkaji ditangguh-tangguhkan, ia akan merasa bahan-bahan yang perlu dipelajari bertimbun-timbun dan menjadi terlalu banyak. Hal ini akan menimbulkan rasa beban.

Ia mula merasa takut, mudah putus asa …. dan mudah gagal dalam peperiksaan di sekolah. Perkara ini akan menggugat keyakinan dan motivasinya. Oleh itu anak mesti dibantu untuk belajar secara konsisten tiap-tiap hari, walaupun hanya sedikit.

Anak perlu sihat

Anak yang kurang sihat akan mengalami terlalu banyak masalah. Ia mudah letih, mudah pening, sering rasa tidak selesa, mudah mengantuk, kerja rumah yang diberikan oleh guru menjadi beban. Kerja-kerja tambahan yang boleh membantunya dilihatnya sebagai tekanan atau masalah. Sekolah menjadi masalah. Utamakan kesihatan anak-anak, pesan mereka empat perkara berikut:

  • Jangan makan ‘Junk-food’ 
  • Tidur awal 
  • Sering tenteram dan solat 
  • Makan Vitamin C, B Complex dan minyak ikan

Jangan mudah meradang, dengki dan bersikap negatif 

Anak yang mudah meradang, dengki atau putus asa akan menyebabkan otaknya mengeluarkan banyak kimia seperti adrenaline.

Kimia-kimia ini merumitkan proses belajar. Sebaliknya anak yang sering atau mudah gembira, bersyukur, ikhlas dan beradab halus, otaknya akan mengeluarkan jenis-jenis kimia endorphins dan enkephalin yang memudahkan proses belajar. Oleh itu Nasihatkan pelajar menjadi orang-orang yang baik, ikhlas dan berniat mulia. Manfaatnya amat besar sekali – bukan hanya dari sudut belajar tetapi juga dari dalil agama dan kerohanian.

Di sekolah saya tidak bersaing dengan sesiapapun. Saya hanya bersaing dengan diri saya sendiri. Hakikat ini membebaskan saya dari tekanan-tekanan yang tiada punya erti.

Sebaliknya, ia mendorong saya berusaha mencapai kejayaan hari ini yang lebih baik dari semalam. Ia memberi saya hakikat hidup yang lebih suci dan positif sambil memberi saya ketenteraman yang tidak terhingga.

Mungkin inilah yang menambahkan kesabaran dalam mengurus apa juga kesulitan atau kerumitan yang saya hadapi.

Pandai menjaga dan menggunakan masa 

Ajar pelajar supaya menghormati masa belajar. Pelajar perlu mengawal diri dengan tidak mengizinkan telefon atau TV mengganggu ia belajar. Kawan-kawannya akan tahu masa ia belajar dan mereka jarang menelefonnya pada waktu-waktu belajar. Amalan belajar adalah satu perkara yang diutamakan. 

Peluang bersekolah berlaku hanya sekali dalam hidup mereka dan selepas sekolah mereka akan bekerja. Mereka perlu diajar untuk mempunyai hakikat bahawa memperolehi ilmu itu sangat penting jika mereka benar-benar ingin menjadi manusia yang berguna.

Ujian meningkatkan keyakinan diri

Pelajar digalakkan menguji diri sendiri dengan menjawab belbagai soalan dari kertas peperiksaan yang lepas. Jika mereka mampu menjawab, ini bermakna mereka mampu meningkatkan keyakinan diri. Jika tidak, bermakna mereka masih belum memahami banyak perkara. Ini memberi para pelajar ‘arah’ yang tepat dalam menyusun tindakan-tindakan yang diperlukan.

Peperiksaan adalah rahmat

Terangkan kepada pelajar bahawa peperiksaan itu adalah rahmat. Sememangnya peperiksaan membuat seseorang itu merasa cemas atau panik. Ini adalah lumrah. Tetapi peperiksaan sebenarnya memberi peluang untuk menguji diri sendiri. Hanya melalui peperiksaan, mereka dapat menilai apa yang mereka tahu dengan betul; dan juga mengetahui apa yang mereka belum ketahui dengan tepat.

Belajar sepanjang masa, jangan belajar saat akhir

Terdapat ramai anak yang yang sangat cerdik kerana mereka rajin belajar tiap-tiap hari secara konsisten. Mereka suka melengkapkan diri dengan ilmu dan pengertian seawal yang mungkin. Dengan itu mereka dapat menyediakan diri mereka dengan sebaik-baiknya, lama sebelum tarikh-tarikh peperiksaan. 

Cuti sekolah merupakan masa yang melegakan diri mereka bukan untuk relaks tetapi untuk memperkemaskan pengertian, ilmu, kemahiran diri serta masa untuk menyusun nota-nota sekolah dan memperluaskan bidang-bidang ilmu mereka. Cuti sebenarnya memberi peluang untuk membuat banyak perkara berguna yang tidak sempat dilakukan semasa waktu sekolah.

Lakukan lebih daripada apa yang disuruh 

Galakkan pelajar membuat lebih daripada apa yang disuruh. Memang berat, tetapi sangat menguntungkan. Mereka juga digalakkan menambahkan bahan-bahan pembelajaran dengan membaca berbagai sumber-sumber ilmu, lebih daripada apa yang telah diajar. Amalan ini sebenarnya memberi mereka peluang untuk mendapat latihan dan praktis yang lebih.

Dengan meluaskan bidang bacaan (yang mudah dilakukan semasa cuti sekolah) mereka memperolehi kefasihan yang luar biasa dalam memberikan penjelasan-penjelasan tentang tajuk-tajuk yang dibincangkan di kelas. Ia menguatkan keyakinan dan keazaman diri bagi mencapai kejayaan yang lebih baik dalam pendidikan. 

Yang penting adalah para pelajar mempunyai kemampuan-kemampuan tertentu dan kita harus meningkatkan kemampuan itu ke tahap yang sebaik-baiknya. Jangan mulakan dengan menunjukkan kelemahan mereka. Cari keistimewaan mereka. Jaga makanan mereka.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.