5 Petua Hilangkan Bengkak Gusi Dengan Cepat

Bengkak gusi boleh menyebabkan rasa yang tidak selesa sehingga mengganggu aktiviti seharian, jom ketahui petua untuk mengurangkan gejala ini.

Bengkak gusi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak. Rasanya nyeri dan mengganggu. Nak makan, sakit. Nak bercakap pun, tak senang. 

Bengkak gusi ada kalanya tidak berbahaya dan akan reda dengan sendiri. Namun, ia boleh juga menjadi petanda kepada masalah gusi yang lebih serius contohnya gingivitis. Dalam artikel ini, kami kongsikan 5 petua hilangkan bengkak gusi dengan cepat.

1. Berkumur dengan air garam

Berkumur dengan air garam adalah petua bengkak gusi paling mudah dipraktikkan. Kerana setiap dapur, pasti ada garam.

Air garam dipercayai dapat meredakan gusi yang meradang dan membantu gusi sembuh lebih cepat. Hal ini kerana bakteria penyebab bengkak gusi tidak dapat berkembang dengan mudah. 

Cara menyediakan air garam, larutkan setengah sudu garam ke dalam air suam. Meski memberikan kelegaan, anda disarankan untuk tidak berkumur air garam terlalu kerap kerana berpotensi menghakis enamel gigi yang akan menimbulkan masalah gigi yang baru.

2. Cengkih

Cengkih dipercayai dapat meningkatkan peredaran darah. Apabila biji cengkih diletakkan pada gusi yang bengkak, pembuluh darah akan mengecut. Keadaan ini membolehkan darah beredar dengan lebih baik dan bengkak akan lebih cepat surut.

Selain itu, cengkih kaya dengan antioksidan eugenol yang memberi kesan kebas dan dapat meredakan rasa nyeri bengkak gusi yang berpanjangan.

Bagi mendapatkan manfaat cengkih buat bengkak gusi, tumbuk 4-5 biji cengkih menjadi pes dan letakkan ia pada bahagian yang sakit.

Anda juga boleh gunakan air rebusan cengkih sebagai larutan kumur bagi menghilangkan bau mulut busuk.

3. Minyak Tea Tree

Minyak pati tea tree sudah lama digunakan sebagai bahan antibakteria merawat  masalah kulit seperti jerawat. Menariknya, ia turut berkesan bagi mengatasi masalah kesihatan mulut. Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Pergigian Eropah pada tahun 2013, penggunaan minyak tea tree ditemui dapat menghalang pembiakan mikroorganisma di dalam mulut. 

Cara menggunakan minyak tea tree,  titiskan 3 titik minyak ke dalam segelas air suam dan jadikan ia larutan kumur. Gunakan tiga kali sehari sehingga bengkak gusi hilang.

4. Kunyit

Kunyit terkenal sebagai bahan masakan yang mampu meningkatkan kapasiti tubuh menyerap bahan-bahan antioksidan. Dan bagi masalah bengkak gusi, antioksidan berperanan mengurangkan masalah keradangan.

Cara menggunakan kunyit, ambil 2 inci kunyit hidup dan tumbuk sehingga lumat. Pes kunyit ini kemudian ditampal pada gusi yang membengkak sekitar 5 ke 10 minit. 

Jika sukar mendapatkan kunyit hidup, anda boleh gantikan dengan serbuk kunyit. Serbuk kunyit dicampur dengan sedikit air, dan tampal pada gusi yang bengkak.

5. Minum air kosong

Petua hilangkan bengkak gusi yang paling penting – minum air kosong dengan banyak sepanjang hari!

Selain menghilangkan sisa-sisa makanan pada celah gigi, minum air kosong juga dapat mengelakkan mulut menjadi kering. Mulut yang kering membuatkan kuman lebih galak  membiak dan gusi semakin bengkak. 

Jadi, pastikan anda minum air kosong secukupnya selain mengamalkan petua-petua hilangkan bengkak gusi di atas.

Kesimpulan

Kelima-lima petua hilangkan bengkak gusi yang dikongsikan sangat mudah dipraktikkan. Bahan-bahan yang diperlukan juga senang didapati di ruang dapur kita.

Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa bengkak gusi mungkin petanda masalah gigi yang lebih serius seperti gingivitis. Jadi, sangat penting untuk anda dapatkan rawatan daripada doktor gigi dengan segera.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.