10 Mitos Berkenaan Koronavirus (Covid-19) Dirungkai

Dalam keadaan kecemasan sejak penyebaran wabak Covid-19, mitos dan fakta yang salah boleh menimbulkan panik kepada orang ramai.

mitos koronavirus

Semakin ramai yang dijangkiti penyakit Covid-19 di seluruh dunia, banyak artikel dan media sosial yang melaporkan berita berkenaan wabak ini. Malangnya dengan terlampau banyak maklumat yang disebarkan setiap hari, semakin sukar untuk kita membezakan antara fakta dan mitos. Dalam keadaan kecemasan ini, mitos dan fakta yang salah boleh menimbulkan panik kepada orang ramai.

Kami telah mengumpulkan 10 mitos yang sering disebarkan melalui media sosial.

Mitos: Topeng muka boleh melindungi diri sepenuhnya dari jangkitan Covid-19

Topeng muka pembedahan yang biasa dipakai tidak mampu untuk melindungi sepenuhnya dari virus SARS-CoV-2, kerana masih terdapat ruang yang mampu dilepasi virus ini. Namun topeng muka ini boleh mengurangkan penyebaran virus dari orang yang telah dijangkiti dengan mengelakkan titisan air tersebar melalui mulut dan hidung penghidap.

Topeng yang betul-betul berkesan untuk melindungi diri adalah topeng N95 yang dipakai oleh anggota kesihatan barisan hadapan dan juga di hospital. Topeng ini memerlukan teknik khas untuk dipakai supaya tiada udara boleh keluar atau masuk melalui topeng ini. Pemakai juga perlu tahu untuk memeriksa jika terdapat kebocoran.

Mitos: Virus ini lebih susah berjangkit berbanding selsema biasa

Pengkaji telah menggunakan teknik R0 (R-nought) yang boleh menjangka jumlah orang yang bakal dijangkiti daripada seorang penghidap Covid-19. Data menunjukkan penyakit COVID-19 mempunyai R0 sebanyak 2.2 yang bermaksud seorang penghidap boleh menjangkiti 2.2 orang yang lain sedangkan selsema biasa hanyalah 1.3 sahaja.

Ini juga bermaksud yang vaksin selsema mungkin memberi kesan terhadap kurangnya penyebaran virus selsema biasa dan pengkaji menjangkakan penyebaran wabak Covid-19 akan berkurangan selepas wujudnya vaksin untuk virus SARS-CoV-2.

Mitos: Virus penyebab Covid-19 hanyalah mutasi dari virus selsema biasa

Jawapannya tidak. Koronavirus merupakan sekumpulan virus yang boleh menyebabkan banyak jenis penyakit. Walaupun kadangkala berkongsi persamaan seperti boleh menyebabkan selsema, namun ianya sangat berbeza disebabkan kehadiran protein berbeza pada permukaan virus.

Virus SARS-CoV-2 berkongsi 90% persamaan dengan koronavirus yang menjangkiti kelawar, sebab itu pengkaji mencadangkan virus ini berasal daripada kelawar.

Terdapat beberapa jenis koronavirus lain yang juga berasal dari haiwan seperti SARS yang berasal dari musang dan MERS yang berasal dari unta sebelum kedua-duanya menjadikan manusia sebagai perumah.

Mitos: Virus ini mungkin dihasilkan di makmal

Tiada bukti yang menunjukkan virus ini adalah buatan manusia. Virus SARS-CoV-2 (Covid-9) menunjukkan banyak persamaan dengan dua koronavirus lain yang telah menyebabkan 2 wabak dalam dekad yang lepas iaitu SARS-CoV dan MERS-CoV. Ketiga-tiga koronavirus ini dipercayai berasal dari kelawar.

Jadi kesimpulan yang boleh dibuat adalah ketiga-tiga koronavirus ini melalui proses mutasi semulajadi yang hampir sama sebelum menjangkiti manusia.

Mitos: Anda berkemungkinan besar akan mati jika menghidap Covid-19

Ini tidak benar kerana data menunjukkan 81% penghidap koronavirus hanyalah mengalami jangkitan ringan. 13.8% pula sakit teruk yang bermaksud mereka mengalami sesak nafas ataupun memerlukan oksigen manakala 4.7% lagi dalam keadaan kritikal seperti mengalami kegagalan pernafasan dan juga kegagalan organ.

Risiko adalah lebih tinggi bagi mereka yang sudah berumur ataupun mempunyai penyakit kronik yang lain. Walaupun begitu, setiap orang perlu mengambil langkah pencegahan dari mendapat penyakit ini.

Mitos: Covid-19 boleh disebarkan melalui haiwan peliharaan

Kemungkinan besar tidak boleh. Hanya satu kes sahaja yang dilaporkan di China di mana haiwan peliharaan mendapat penyakit ini dari tuannya. Tetapi anjing tersebut tidak menunjukkan sebarang tanda jangkitan.

Walaupun ada haiwan yang diuji positif, namun jangkitan dari haiwan kepada manusia belum dilaporkan. Pengalaman dari wabak SARS juga menunjukkan tiada jangkitan dari haiwan peliharaan kepada manusia berlaku.

Namun begitu dalam keadaan sekarang, lebih elok untuk sentiasa mencuci tangan sebelum dan selepas bermain bersama haiwan peliharaan anda.

Mitos: Kanak-kanak tidak boleh dijangkiti Covid-19

Kanak-kanak boleh dijangkiti penyakit ini, lebih kurang 3% dari keseluruhan yang dijangkiti adalah kanak-kanak. Namun begitu kanak-kanak selalunya tidak menunjukkan simptom ataupun hanya mendapat simptom ringan. Kajian lanjut masih dijalankan untuk menjelaskan fenomena ini.

Mitos: Anda boleh ‘rasa’ jika anda dijangkiti

Jawapannya tidak. Sukar untuk membezakan antara simptom Covid-19 dengan penyakit yang lain seperti selsema biasa kerana banyak persamaan. Oleh sebab itu ujian pengesahan perlu dijalankan jika anda mempunyai simptom dan pernah ada hubungan dengan orang yang pernah dijangkiti Covid-19.

Kadangkala ada juga yang langsung tiada simptom dan masih perlu diuji dan dikuarantin bagi mengelakkan penyebaran tanpa sedar.

Mitos: Supplemen Vitamin C boleh mencegah jangkitan Covid-19

Belum ada kajian yang menunjukkan bahawa vitamin C ataupun mana-mana supplemen yang lain memberikan kekebalan kepada penyakit ini. Mereka yang kerap mengambil vitamin C masih lagi boleh mendapat selsema biasa apatah lagi Covid-19.

Walaupun begitu vitamin C sememangnya memainkan peranan untuk menyokong sistem imuniti badan namun tidak diperlukan dalam kuantiti yang banyak. Vitamin C mempunyai sifat antioksida yang boleh meneutralkan radikal bebas yang merosakkan tisu badan manusia. Ianya juga terlibat dalam penghasilan hormon dan kolagen badan.

Berhati-hati terhadap pengeluar produk yang suka mengambil kesempatan di kala serangan wabak ini.

Mitos: Tidak selamat untuk menerima penghantaran barang dari China

Sebenarnya masih selamat untuk menerima sebarang surat atau bungkusan dari China kerana virus ini tidak dapat hidup lama di atas permukaan objek. Berdasarkan kajian koronavirus yang lain, virus akan mati jika tidak dapat menjumpai perumah untuk sesuatu tempoh.

Kajian yang dijalankan ke atas koronavirus yang lain menunjukkan ianya boleh bertahan pada permukaan besi, gelas dan plastik selama 9 hari paling lama. Namun pada permukaan pembungkusan selalunya ia akan mati dengan lebih cepat.

Setakat ini tiada lagi jangkitan yang dikesan melalui pengimportan barangan dari negara yang dijangkiti ke negara yang belum dijangkiti. Jangkitan hanyalah daripada manusia kepada manusia melalui titisan cecair.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.